GWM WEY G9 Hi4 PHEV Terima 800 Tempahan dalam Tempoh Seminggu Selepas Dilancarkan
- Anna Chong

- 13 Feb
- 3 min membaca

GWM Malaysia hari ini mengumumkan tempahan WEY G9 Hi4 PHEV yang baharu sahaja dilancarkan telah mencecah lebih 800 buah dalam minggu pertamanya, menunjukkan permintaan kukuh bagi MPV New Energy mewah yang pertama dipasang secara lokal di Malaysia dan peningkatan keyakinan pelanggan dalam pasaran kenderaan pintar dengan sistem kuasa hibrid.

Pencapaian ini berjaya diperolehi seusai pelancaran kenderaan ini yang berlangsung pada 29 Januari 2026 bertempat di MITEC, Kuala Lumpur yang telah dirasmikan oleh tetamu kehormatnya, Yang Berhormat Tuan Sim Tze Tzin, Timbalan Menteri di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). WEY G9 Hi4 PHEV merupakan satu langkah strategik Malaysia dalam mengukuhkan kedudukannya di rantau ini sebagai pengeluar dan hab eksport bagi kenderaan New Energy mewah di seluruh ASEAN.
Antara isi-isi penting dalam ucapan beliau semasa pelancaran tersebut, beliau menekankan kepentingan strategik kemunculan WEY G9 Hi4 PHEV dalam masa depan automotif di Malaysia, “Memperkenalkan WEY G9 Hi4 PHEV adalah satu langkah berani GWM, kerana ia membuktikan kenderaan mewah kelas pertama kini ada di pasaran. Dengan mengutamakan keselesaan, keselamatan, dan mobiliti yang dipertingkatkan untuk keluarga di Malaysia, melambangkan aspirasi GWM seiring dengan matlamat negara dalam menggalakkan perkembangan ekonomi yang inklusif dan seimbang.”

Yang Berhormat Tuan Sim Tze Tzin turut memperkatakan tentang nilai strategik pemasangan secara tempatan (CKD), di mana menurut beliau, Malaysia mempunyai ekosistem yang stabil dengan lebih 72 vendor dalam pelbagai kepakaran dan tenaga kerja teknikal yang sangat mahir untuk dimanfaatkan oleh GWM.
“Pemasangan yang dibuat secara lokal membolehkan GWM memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia, seterusnya membuka laluan kepada eksport duti-bebas di rantau ini. Inisiatif ini menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dengan meningkatkan peluang ekonomi, memperkukuh penyertaan vendor tempatan, di samping memajukan kemahiran teknologi melalui pemindahan teknologi yang bernilai tinggi.”
Beliau turut memberi galakan kepada GWM untuk mempertimbangkan pemilikan industri secara menyeluruh di Malaysia bagi meneguhkan lagi peranan negara sebagai hab eksport yang mampan untuk pasaran kenderaan pemanduan sebelah kanan (RHD), “Kami mahu melihat GWM berkembang bermula daripada sebagai peserta dalam pasaran kepada teraju utama dalam ekosistem berorientasikan eksport kami.”
“Kami berasa sungguh bersemangat menerima maklum balas positif daripada pelanggan- pelanggan di Malaysia. Bagi kami, jumlah tempahan yang kami terima lebih daripada sekadar angka, ia adalah gambaran bahawa pelanggan kami memahami sepenuhnya nilai sebenar WEY G9 itu,” kata Encik Cui Anqi, Pengarah Urusan GWM Malaysia. “Kenderaan ini mewakili visi kami terhadap mobiliti pintar yang mewah, menggabungkan teknologi dengan keselesaan hakiki. Sambutan memberangsangkan ini menunjukkan yang warga Malaysia kini bersedia untuk beralih ke era baharu mobiliti New Energy.”

Encik Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia dalam kenyataannya turut berkata, “Pencapaian ini bukan sahaja menunjukkan permintaan pelanggan yang teguh, malah ia turut menggambarkan keupayaan ekosistem pemasangan lokal di Malaysia. Dengan kelebihan tenaga kerja mahir kami dan rangkaian vendor yang ada, kami membuktikan bahawa Malaysia menepati standard global di samping menjana nilai jangka panjang untuk industri tempatan.”
Dengan binaan reka bentuk berasaskan kepercayaan Keunggulan Milik Semua (First Class for All), WEY G9 Hi4 PHEV menggabungkan prestasi model hibrid, kecekapan, keselamatan dan keselesaan yang mewah dalam satu pakej pemasangan tempatan. Kejayaan mendapatkan lebih daripada 800 tempahan dalam tempoh seminggu selepas pelancarannya membuktikan tarikan kenderaan tersebut sebagai sebuah MPV mewah yang dicipta untuk keluarga dan golongan profesional, pasarannya yang kukuh, menjanjikan komitmen jangka panjang GWM terhadap Malaysia sebagai peranan utama dalam strategi New Energy di rantau ASEAN.

Dikuasakan oleh sistem pintar hibrid, Hi4 GWM, WEY G9 mampu memberikan jarak pemanduan elektrik yang sepenuhnya sehingga 170 km dan jarak keseluruhan melebihi 1,000 km, menjanjikan keupayaan perjalanan jarak jauh harian yang cekap dan senyap. Model ini boleh dimiliki pada harga RM269,800, menjadikan pasarannya mampu berdaya saing dalam kumpulan MPV mewah di Malaysia.




















Komen