Honda City 2026 Dilancarkan di Malaysia, Harga dari RM89,900
Updated: 2 Okt

Honda City baharu dilancarkan di Malaysia dengan reka bentuk lebih bergaya, kamera 360° dan Honda SENSING. Harga bermula RM89,900 untuk 4 varian.
Honda Malaysia atau (Syarikat) hari ini secara rasminya melancarkan New City, iaitu evolusi terbaharu bagi salah sebuah model Syarikat yang telah lama bertapak dan diyakini di Malaysia. New City hadir dengan penampilan yang lebih segar dan dinamik, teknologi yang dipertingkat serta kemudahan yang lebih baik, di samping mengekalkan prestasi, kecekapan dan kepraktisan harian yang menjadikan City pilihan yang dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia selama lebih dua dekad.
Sepanjang 24 tahun kehadirannya di Malaysia, lebih 536,000 unit Honda City telah dijual di seluruh negara, membuktikan populariti City yang berterusan dalam kalangan pelanggan Malaysia. City turut memainkan peranan penting dalam perjalanan elektrifikasi Honda Malaysia, dengan varian hibrid menyumbang kira-kira 22% daripada jumlah jualan hibrid Syarikat#1, sekali gus menonjolkan sumbangannya dalam menjadikan mobiliti elektrifikasi lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia.

New City menampilkan tanggapan yang lebih kuat menerusi reka bentuk luaran yang dikemas kini, dilengkapi kabin yang dinaik taraf dan teknologi yang dipertingkat. Antara tambahan utama ialah Blind Spot Information System dengan Cross Traffic Monitoring, 360° Multi-View Camera System yang baharu dan Display Audio 10 inci yang lebih besar, yang membawa kemudahan, kesalinghubungan dan keyakinan yang lebih tinggi kepada pengalaman pemanduan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Narushi Yazaki berkata, “Selama lebih dua dekad, City telah mewujudkan kehadiran yang kukuh di Malaysia dan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat Malaysia. Apabila gaya hidup dan mobiliti terus berkembang, City juga perlu berubah. New City telah diperbaharui dengan teliti untuk gaya hidup urban masa kini, dengan reka bentuk yang lebih bergaya sukan dan bersifat kemudaan, dilengkapi teknologi yang dipertingkat untuk membawa kemudahan dan keyakinan yang lebih tinggi pada setiap pemanduan.”

“City juga terus memainkan peranan penting dalam perjalanan elektrifikasi Honda Malaysia. Berasaskan pengalaman panjang Honda dalam teknologi hibrid, teknologi e:HEV kami menggabungkan kecekapan bahan api dengan keseronokan memandu, memberikan pelanggan manfaat terbaik daripada kedua-duanya. Bagi Honda, inilah yang sepatutnya disampaikan oleh elektrifikasi – kecekapan, kepraktisan dan yang paling penting, Joy of Driving.”

New City menampilkan reka bentuk luaran yang dikemas kini, memberikan sedan ini kehadiran di jalan raya yang lebih berwibawa dan kontemporari. Di bahagian hadapan, gril yang direka semula mewujudkan identiti visual yang lebih kukuh dan dilengkapi Long Light Bar Headlights yang baharu bagi varian RS. Rekaan pencahayaan yang anggun ini memberikan New City penampilan yang tersendiri, manakala Bi-LED Headlights yang baharu menyediakan pencahayaan dan keterlihatan yang lebih baik untuk pemanduan pada waktu malam, dan disediakan sebagai kelengkapan standard bagi semua varian.

Gaya yang diperbaharui ini diteruskan ke bahagian belakang, mewujudkan penampilan yang padu dan dinamik bagi mengukuhkan personaliti muda New City. Melengkapkan transformasi luaran ialah New 16-inch Dual-Tone Milling Alloy Wheels yang menambah sentuhan akhir yang lebih bergaya sukan pada keseluruhan reka bentuknya.
Di dalam kabin, New City menggabungkan kepraktisan Honda yang sedia dikenali dengan teknologi yang dipertingkat dan sentuhan kontemporari yang direka untuk gaya hidup masa kini yang sentiasa berhubung. Menjadi tumpuan utama ialah Display Audio 10 inci yang baharu dan lebih besar, yang menyediakan antara muka yang lebih intuitif untuk kesalinghubungan dan hiburan. Untuk kemudahan tambahan, varian e:HEV RS dilengkapi Wireless Charger, membolehkan pelanggan mengecas peranti yang serasi dengan mudah ketika dalam perjalanan.

Pencahayaan ambien yang baharu, bersama pencahayaan footlight dan poket pintu yang baharu,
meningkatkan suasana kabin dan memberikan karakter dalaman yang lebih halus, terutamanya semasa pemanduan pada waktu malam. Di sebalik penampilan dan teknologi yang dikemas kini, New City terus menyampaikan kepraktisan yang dijangkakan daripada nama model ini. Kabinnya yang luas dan ruang kargo yang besar mampu memuatkan pelbagai keperluan, daripada barangan kerja dan membeli-belah kepada peralatan sukan dan bagasi, menjadikannya sesuai untuk rutin hari bekerja dan perjalanan hujung minggu.
New City terus menawarkan pilihan antara enjin petrol dan e:HEV kepada pelanggan, memenuhi pelbagai cita rasa pemanduan sambil menyampaikan keseimbangan prestasi dan kecekapan yang menjadi ciri khas Honda.

Varian petrol dijana oleh enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang digandingkan dengan Continuously Variable Transmission. Menghasilkan 121 PS dan tork 145 Nm, sistem penggerak ini menyampaikan pecutan yang lancar dan responsif, menjadikannya pilihan praktikal untuk pemanduan harian.

Bagi pelanggan yang mengharapkan pengalaman pemanduan yang lebih berteknologi elektrik, City e:HEV RS menyediakan prestasi responsif dengan tork maksimum 253Nm, manakala teknologi e:HEV Honda mengurus enjin petrol serta motor elektriknya secara bijak untuk memberikan pecutan yang lancar, tindak balas yang kuat dan prestasi yang cekap mengikut keadaan pemanduan yang berbeza.
City e:HEV RS disokong oleh Waranti Bateri Hibrid 10 Tahun# Honda Malaysia dengan Jarak Perjalanan Tanpa Had, memberikan pelanggan ketenangan fikiran dan keyakinan yang lebih tinggi terhadap kebolehpercayaan jangka panjang teknologi hibrid Honda yang telah terbukti.

Keselamatan kekal menjadi keutamaan dalam daya tarikan New City, dengan Honda SENSING ditawarkan sebagai kelengkapan standard bagi semua varian. Untuk meningkatkan lagi kesedaran pemandu, New City memperkenalkan Blind Spot Information System dengan Cross Traffic Monitoring merentasi semua varian. Sistem ini merangkumi Blind Spot Detection dan Lane Change Assist untuk memberi amaran kepada pemandu tentang kenderaan yang dikesan di lorong bersebelahan, manakala Cross Traffic Monitoring membantu pemandu dengan mengesan kenderaan yang menghampiri ketika mengundur keluar dari petak letak kereta. Honda LaneWatch juga merupakan kelengkapan standard bagi semua varian New City.
Bagi meningkatkan keterlihatan semasa memarkir kenderaan dan membuat pergerakan di ruang terhad, 360° Multi-View Camera System yang baharu disediakan pada varian Petrol RS dan e:HEV RS. Dengan menyediakan pandangan yang lebih menyeluruh di sekeliling kenderaan, sistem ini memudahkan pemandu melalui ruang sempit dan memarkir kenderaan dengan lebih yakin.
New City ditawarkan dalam empat varian: E, V, Petrol RS dan e:HEV RS.

Varian | Harga Runcit Tanpa Insurans#2 |
City 1.5L e:HEV RS | RM 111,900 |
City 1.5L Petrol RS | RM 99,900 |
City 1.5L V | RM 94,900 |
City 1.5L E | RM 89,900 |
New City boleh didapati dalam empat pilihan warna:
Platinum White Pearl
Meteoroid Gray Metallic
Stellar Diamond Pearl, untuk varian petrol sahaja
Blazing Red Pearl, warna baharu bagi New City

Bagi meraikan 24 tahun Honda City di Malaysia, Honda Malaysia telah memperkenalkan Program Ganjaran City Istimewa sempena pelancaran New City. Program ini menawarkan faedah eksklusif kepada 2,400 pelanggan layak yang pertama, termasuk pelanggan Honda baharu dan sedia ada, pelanggan yang menaik taraf kenderaan serta penjawat awam. Menerusi program ini, Syarikat bertujuan menjadikan New City lebih mudah diperoleh oleh lebih ramai rakyat Malaysia.

Selaras dengan komitmen Honda Malaysia untuk meningkatkan keseluruhan pengalaman pemilikan, Syarikat telah memperkenalkan waranti lanjutan sehingga 8 tahun dengan jarak perjalanan tanpa had#* bagi semua model petrol dan hibrid Honda yang baru dibeli, termasuk New City, berkuat kuasa mulai 1 September 2026.
Perlindungan yang dipertingkat ini memberikan pelanggan jaminan dan ketenangan fikiran yang lebih tinggi sepanjang tempoh pemilikan mereka, sekali gus mengukuhkan komitmen Honda Malaysia untuk menyampaikan nilai dan sokongan jangka panjang.




















Komen