Pendekatan Prinsipal Hyundai Motor Malaysia, Mengukuhkan Kehadiran Jenama Secara Rasmi di Pasaran Tempatan
- Anna Chong

- 18 Jun
- 5 min membaca

Hyundai Motor Company (HMC) mencatat pencapaian penting dengan penubuhan rasmi Hyundai Motor Malaysia (HMY), sebuah entiti tempatan baharu hasil daripada kemasukan terus jenama ini ke pasaran tempatan. Langkah strategik ini menandakan evolusi Hyundai daripada model berasaskan pengedaran oleh Sime Motors kepada pendekatan operasi berasaskan prinsipal, yang disokong oleh komitmen pasaran yang lebih mendalam, libat urus pelanggan yang dipertingkatkan, serta penumpuan baharu terhadap inovasi dan pertumbuhan jangka panjang.
Peralihan ini merupakan sebahagian daripada strategi global Hyundai untuk membina hubungan yang lebih kukuh dalam pasaran pertumbuhan utama, selaras dengan visi jenamanya “Progress for Humanity”, menunjukkan kepentingan strategik Malaysia dalam menentukan masa depan jenama itu. Melalui langkah ini, Hyundai akan mengambil alih peranan utama, memikul tanggungjawab penuh untuk jenama, pemasaran, jualan, dan pengalaman pelanggan. Sebuah pasukan tempatan yang khusus turut dibentuk dan diberi kuasa untuk membuat keputusan yang lebih pantas dan relevan dengan pasaran, selain membina hubungan lebih erat, yang mengutamakan pelanggan.

Maju Ke Hadapan: Komitmen Jangka Panjang Hyundai terhadap Pertumbuhan di Malaysia
Kemasukan Hyundai secara terus ke pasaran Malaysia menandakan satu pencapaian penting dalam strategi peluasan global syarikat itu, menggariskan komitmen jangka panjangnya terhadap pertumbuhan ekonomi dan industri negara. Komitmen ini direalisasikan menerusi penekanan terhadap pembangunan mampan dan pengukuhan kedudukannya di peringkat tempatan.
Syarikat itu kini giat memperluaskan pasukan tempatannya dengan membina rangkaian pengedaran yang mantap di seluruh negara dan akan melancarkan pelbagai inisiatif bagi mengukuhkan lagi kedudukan jenama Hyundai dalam landskap automotif tempatan. Selaras dengan matlamat itu, Hyundai telah menubuhkan ibu pejabat di tengah-tengah daerah kewangan Kuala Lumpur, di Menara Affin @TRX dengan jumlah tenaga kerja yang dijangka mencecah 100 orang menjelang akhir tahun ini, mencerminkan aspirasinya untuk menjadi peneraju inovasi dan kemajuan di Malaysia.
“Hyundai sentiasa memperjuangkan kemajuan, bukan sahaja dalam mobiliti, tetapi juga dalam cara kami berhubung dengan masyarakat, komuniti, dan masa depan. Kepercayaan pengasas kami terhadap usaha ke arah kebaikan dan kemampanan terus memberi inspirasi kepada kami dalam usaha mengembangkan jejak global kami. Penubuhan Hyundai Motor Malaysia membolehkan kami membawa kekuatan dan ketangkasan jenama global ke negara ini. Ini bukan hanya satu fasa baharu, tetapi merupakan komitmen jangka panjang terhadap usaha menjadikan Malaysia sebuah hab strategik di ASEAN. Dengan sokongan inovasi, integrasi vertikal, dan pertumbuhan yang bermatlamat, kami berharap untuk terus maju bersama rakan kami, memenuhi keperluan pelanggan, dan memberi sumbangan bermakna kepada ekonomi Malaysia,” ujar Presiden Hyundai Motor Malaysia, Eric Lee.

Dalam masa terdekat, HMY akan memperkenalkan tiga model baharu yang merangkumi segmen SUV dan MPV. Hyundai bukan sahaja memainkan peranan dalam jualan domestik, malah melalui kerjasama strategik dengan rakan lamanya Inokom Corporation Sdn. Bhd., Hyundai merancang untuk menubuhkan operasi pemasangan tempatan di Kedah, Malaysia, bermula pada suku ketiga tahun 2025. Kemudahan ini dijangka akan mengeluarkan sehingga tujuh (7) model kenderaan dalam tempoh lima tahun, sekali gus mengintegrasikan Malaysia ke dalam rangkaian pengeluaran global Hyundai. Selaras dengan aspirasi negara ke arah kelestarian, peluasan operasi pembuatan Hyundai akan memberi tumpuan pada peringkat awal kepada pemasangan tempatan bagi kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik hibrid (HEV). Ini termasuk pelbagai model SUV dan MPV yang direka khusus untuk memenuhi permintaan tinggi rakyat Malaysia terhadap kenderaan pelbagai guna berspesifikasi tinggi. Dengan peningkatan kapasiti pengeluaran, kira-kira 30 peratus daripada kenderaan yang dipasang di Malaysia akan dieksport ke pasaran jiran.
Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen, ketika mengulas mengenai langkah pengembangan Hyundai ke pasaran Malaysia berkata, “Malaysia merupakan pasaran yang sangat berpotensi, ia mencatat permintaan tertinggi untuk kenderaan penumpang di ASEAN sebanyak 35%. Pertumbuhan KDNK yang stabil pada kadar 4.3% turut mencerminkan keyakinan pengguna yang tinggi serta peningkatan kuasa membeli.”
"Keadaan inilah yang akan memacu inovasi dan pelaburan jangka panjang. Melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan tempatan, Malaysia menjadi lokasi ideal untuk memperluaskan kehadiran Hyundai dan menubuhkan hab utama dalam strategi pengembangan Hyundai di rantau Asia Pasifik."
Sementara itu, Sime Motors akan terus menjadi rakan kongsi penting dalam usaha Hyundai melebarkan sayapnya Malaysia, sebagai sebahagian daripada rangkaian pengedarnya.
“Kami berbangga kerana telah memainkan peranan penting dalam perkembangan Hyundai di Malaysia. Ketika Hyundai melangkah ke fasa baharu ini, kami kekal komited menyokong operasi jualan serta perkhidmatan selepas jualannya, memastikan kesinambungan, keyakinan, dan pengalaman servis yang lancar untuk pelanggan Hyundai yang sedia ada dan akan datang," kata Pengarah Urusan Sime Motors Asia Tenggara, Jeffrey Gan yang turut menegaskan komitmen syarikat itu dalam memastikan kelancaran proses peralihan.

Rancangan Terdekat: Tumpuan Kepada Masa Depan Bersama Malaysia
Walaupun tumpuan ketika ini adalah memastikan peralihan operasi berjalan lancar dan perkhidmatan diteruskan dengan baik, Hyundai turut mempunyai visi jangka panjang yang lebih luas. HMY giat menaik taraf rangkaian pengedar serta perkhidmatan selepas jualannya dengan meletakkan pengalaman pelanggan sebagai keutamaan — daripada pemodenan bilik pameran dan integrasi digital yang dipertingkatkan hinggalah kepada pengalaman pemilikan kenderaan yang lebih intuitif dan lancar. Dalam masa yang sama, HMY menyasarkan untuk menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan perkhidmatan selepas jualan dengan memanfaatkan amalan terbaik global serta melabur dalam keupayaan perkhidmatan tempatan. Hyundai merancang untuk melakukan penambahbaikan utama ke atas rangkaian perkhidmatannya, termasuk membuka sehingga 25 cawangan menjelang tahun 2030 dan menaik taraf sistem selepas jualan bagi meningkatkan lagi pengalaman pelanggan.
Mengulas mengenai peranan penting yang dimainkan oleh Malaysia dalam strategi serantau Hyundai, Lee berkata, “Malaysia sentiasa memainkan peranan penting dalam perjalanan Hyundai di Asia Tenggara. Dengan penubuhan Hyundai Motor Malaysia, kami kini memasuki fasa baharu yang membolehkan kami bekerjasama lebih rapat dengan pelanggan, rakan niaga, dan komuniti kami." Selaras dengan penubuhan HMY, semua laman sesawang dan saluran media sosial rasmi Hyundai turut diberikan nafas baharu.
Untuk memastikan pelanggan boleh terus mendapat akses kepada maklumat terkini yang penting, termasuk peringatan servis, kemas kini perisian, kempen penyelenggaraan, faedah pemilikan kenderaan dan pelbagai maklumat penting lain pada masa depan, pelanggan Hyundai sedia ada di Malaysia digalakkan untuk mengemaskini butiran hubungan mereka melalui pautan berikut. Langkah ini bertujuan memastikan HMY dapat memberikan khidmat sokongan secara berterusan tanpa gangguan serta meningkatkan pengalaman pemilikan kenderaan yang lebih lancar kepada keseluruhan pelanggan Hyundai di Malaysia.
Perjalanan Hyundai di Malaysia
Hyundai telah menjadi nama yang tidak asing lagi di jalan raya Malaysia sejak awal tahun 2000-an. Kedudukannya di pasaran tempatan semakin kukuh, terutamanya selepas menjalinkan kerjasama strategik dengan Sime Motors (ketika itu dikenali sebagai Sime Darby Motors) pada tahun 2004. Kerjasama ini memainkan peranan penting dalam pengembangan jangkauan dan pengiktirafan jenama itu di seluruh negara.
Sepanjang tempoh tersebut, rakyat Malaysia telah menyambut baik pelbagai model keluaran Hyundai yang merangkumi pelbagai rangkaian kuasa (ICE, Hibrid, BEV & HFCV), daripada sedan, SUV dan MPV popular hinggalah kepada kenderaan gaya hidup seperti Elantra, Veloster, Palisade, Sonata, Tucson, Santa Fe, Starex, dan Staria, serta kenderaan elektrik dan cekap tenaga yang lebih baharu seperti IONIQ Hybrid, dan IONIQ 5 N. Secara keseluruhannya, kenderaan-kenderaan ini telah mencatatkan jumlah jualan melebihi 147,862 unit, membuktikan penerimaan di pasaran yang semakin meningkat dan pangkalan pelanggan yang setia kepada Hyundai.




















Komen