Perodua Sumbang Sembilan Kenderaan kepada Dua IPD di Selangor

Perodua telah menyumbangkan sembilan unit kenderaan kepada dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), iaitu IPD Hulu Selangor dan IPD KLIA, bagi menyokong usaha penguatkuasaan undang-undang di Selangor.
Sumbangan yang terdiri daripada tujuh unit Perodua Ativa dan dua unit Perodua Aruz itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan.

“Kami menghargai jasa pihak polis dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara, selain mengiktiraf pengorbanan serta komitmen mereka dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu mempermudah urusan pihak polis dalam meneruskan khidmat kepada masyarakat,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Penyerahan kenderaan tersebut dilaksanakan secara berperingkat sejak April lalu, bermula dengan sumbangan tiga unit Perodua Ativa kepada IPD Hulu Selangor. Baki enam unit kenderaan pula diserahkan dalam satu majlis di Kuala Kubu Bharu pada 12 Oktober 2026.
Majlis penyerahan itu turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar, yang menerima replika kunci daripada Dato’ Sri Zainal sebagai simbolik kerjasama antara kedua-dua pihak.

Perodua telah lama menjalin kerjasama dengan pihak polis, khususnya di Selangor. Sejak 2019, pengeluar kereta kompak itu telah menyumbangkan sebanyak 21 unit kenderaan kepada beberapa IPD di negeri berkenaan.
Selain sumbangan terbaharu ini, Perodua turut menyerahkan dua unit Bezza pada 2019, empat unit Myvi pada 2022 serta enam unit kenderaan daripada pelbagai model pada 2024.




















Komen