Proton e.MAS Galakkan Pemilik EV Amalkan Etika Pengecasan Demi Keselesaan Bersama
Updated: 2 Okt

Dengan jumlah kenderaan elektrik (EV) di Malaysia yang terus meningkat, Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), pengendali jenama Proton e.MAS, menggesa pemilik EV supaya mengamalkan etika pengecasan yang baik bagi memastikan kemudahan pengecasan awam dapat digunakan dengan lebih teratur dan selesa.
Proton e.MAS kini mencatatkan 60.9 peratus bahagian pasaran EV di Malaysia, dengan Proton e.MAS 5 menjadi model EV No. 1 di negara ini, manakala Proton e.MAS 7 mendahului segmen SUV EV-C. Proton e.MAS 7 PHEV pula merupakan model PHEV No. 1.
Seiring dengan pertambahan jumlah kenderaan Proton e.MAS di jalan raya, PRO-NET melihat perkembangan ini sebagai satu tanggungjawab untuk menggalakkan amalan penggunaan kemudahan pengecasan yang baik dalam kalangan komuniti EV, tanpa mengira jenama atau model kenderaan.

Pertumbuhan pasaran EV turut membawa perubahan kepada cara pengguna berkongsi kemudahan awam, khususnya di stesen pengecasan. Dengan semakin ramai pemilik EV bergantung kepada pengecas awam, sikap bertimbang rasa dan penggunaan kemudahan secara berhemah menjadi semakin penting bagi memastikan setiap pengguna mendapat peluang yang sama untuk mengecas kenderaan mereka.
Keperluan ini turut selari dengan perkembangan infrastruktur pengecasan EV di Malaysia. Melalui Peta Pengecasan Langsung Bersepadu, PRO-NET menyediakan maklumat mengenai lebih 5,100 titik pengecasan yang meliputi 90 peratus kawasan di seluruh negara.
Ekosistem pengecasan PRO-NET juga merangkumi lebih 2,000 titik pengecasan di lebih 700 pembangunan kediaman bertingkat tinggi, selain 103 titik pengecasan DC yang tersedia di rangkaian pengedarnya.
“Dengan semakin banyak kenderaan EV di jalan raya dan lebih banyak kemudahan pengecasan disediakan, pengecasan kini semakin menjadi sebahagian daripada rutin harian pengguna kenderaan di Malaysia. Jadi, penting untuk kita sama-sama membentuk tabiat yang beretika sejak awal supaya pengalaman mengecas menjadi lebih mudah dan selesa untuk semua,” kata Ahmad Munif Halim, Ketua Pengecasan, PRO-NET.
Beliau berkata komuniti EV di Malaysia masih berkembang dan amalan yang dibentuk pada peringkat awal ini boleh mempengaruhi pengalaman pengecasan pada masa akan datang.
“Komuniti EV di Malaysia masih di peringkat awal, jadi tabiat yang kita bentuk hari ini boleh mempengaruhi pengalaman pengecasan untuk tahun-tahun akan datang. Kami mahu pengalaman mengecas menjadi sesuatu yang mudah dan menyenangkan untuk semua.
“Sama ada anda memandu Proton e.MAS atau EV daripada jenama lain, kita semua menggunakan kemudahan pengecasan yang sama. Dengan sedikit sikap bertimbang rasa, kesabaran dan kesedaran, kita boleh bersama-sama menjadikan pengalaman pengecasan awam lebih baik untuk seluruh komuniti,” tambah beliau.
Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, PRO-NET memperkenalkan siri mesej berkaitan etika pengecasan EV di beberapa stesen pengecasan awam JomCharge terpilih.
Mesej ringkas berkenaan akan mengingatkan pengguna mengenai amalan pengecasan yang wajar ketika mereka menggunakan kemudahan awam. Antaranya termasuk mengecas kenderaan hanya untuk tempoh yang diperlukan, mengalihkan kenderaan selepas pengecasan selesai serta memastikan petak pengecasan sentiasa tersedia untuk pengguna lain.
Pengguna juga digalakkan mengambil kira pengguna EV lain yang sedang menunggu giliran, terutama ketika kemudahan pengecasan awam mempunyai permintaan yang tinggi.
Panduan etika pengecasan yang sama turut akan diberikan kepada pemilik baharu Proton e.MAS ketika proses penyerahan kenderaan. Langkah ini bertujuan membantu membentuk tabiat pengecasan yang baik sejak awal pemilikan EV.
Ketua Pegawai Penjenamaan PRO-NET, Puan Salawati Mohd Yusoff, berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Proton e.MAS selaku jenama EV yang semakin berkembang di Malaysia.
“Dengan semakin banyak kenderaan Proton e.MAS berada di jalan raya Malaysia, pemilik Proton e.MAS mempunyai peluang untuk menunjukkan contoh pemilikan EV yang baik. Tanggungjawab ini bukan sekadar tentang cara kita memandu, tetapi juga cara kita menggunakan kemudahan pengecasan yang dikongsi bersama dan menghormati pengguna EV yang lain,” katanya.
Menurut beliau, pemilik Proton e.MAS boleh memainkan peranan dalam membentuk budaya penggunaan kemudahan pengecasan yang lebih baik dalam komuniti EV.
“Kami mahu pemilik Proton e.MAS menjadi contoh yang baik kepada komuniti EV secara keseluruhan. Sebagai jenama EV nasional yang semakin berkembang di seluruh negara, kami percaya komuniti kita boleh bersama-sama membentuk tabiat yang baik untuk diikuti oleh semua.
“Pada akhirnya, etika pengecasan yang baik bukan bergantung pada jenama atau logo pada kenderaan. Ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada sikap kita sebagai pemilik EV,” katanya.
PRO-NET turut menegaskan komitmennya dalam menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti elektrik. Perkembangan infrastruktur pengecasan EV menjadi antara fokus syarikat bagi memenuhi peningkatan permintaan pengguna, selain menyokong aspirasi negara dalam memperluas penggunaan EV dan memperkukuh keupayaan pengeluaran tempatan.
Dengan ekosistem EV yang terus berkembang, PRO-NET akan meneruskan usaha untuk memperluas akses kepada kemudahan pengecasan di samping menggalakkan penggunaan yang bertanggungjawab.
Usaha ini diharap dapat membantu mewujudkan komuniti EV yang lebih prihatin dalam berkongsi kemudahan pengecasan, sekali gus memberikan pengalaman yang lebih teratur dan selesa kepada semua pengguna.




















Komen