Proton e.MAS Cecah 40,000 Unit Diserahkan, Tawar Diskaun Pengecasan 40% serta Lebih Banyak Ganjaran
Updated: 2 Okt

PRO-NET, anak syarikat milik penuh PROTON Holdings Berhad, hari ini meraikan penyerahan unit Proton e.MAS yang ke-40,000, sekali gus mencatatkan satu lagi pencapaian penting buat jenama kenderaan elektrik Malaysia serta komuniti pemiliknya yang terus berkembang.
Pencapaian yang dicapai dalam tempoh 20 bulan selepas pelancaran jenama Proton e.MAS ini bukan sekadar mencerminkan jumlah kenderaan yang telah diserahkan kepada pelanggan. Sebalik 40,000 kenderaan tersebut terdapat rakyat Malaysia yang telah memilih mobiliti elektrik, termasuk pemilik EV kali pertama, keluarga serta pelanggan yang menjadikan EV sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka. Komuniti yang semakin berkembang ini turut memainkan peranan penting dalam perjalanan Proton e.MAS, dengan para pemilik berkongsi pengalaman, maklum balas dan pandangan mereka selari dengan perkembangan jenama tersebut.

Sebagai tanda penghargaan atas pencapaian ini serta sokongan pelanggan yang menjadi antara penyumbang kepada kejayaan tersebut, Proton e.MAS memperkukuh Janji Pelanggan menerusi pelbagai manfaat pemilikan yang dipertingkatkan, meliputi pengecasan, perkhidmatan selepas jualan, ganjaran, e.MAS Care serta perkhidmatan digital. Inisiatif tersebut merangkumi diskaun 40% bagi pengecasan dari 1 hingga 5 Oktober 2026, selain pelbagai manfaat jangka panjang yang memberikan lebih nilai dan kemudahan kepada pelanggan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.

“Penyerahan 40,000 kenderaan Proton e.MAS merupakan pencapaian yang cukup bermakna buat kami kerana setiap kenderaan mewakili pelanggan yang memilih untuk bersama dalam perjalanan ini. Dengan komuniti yang terus berkembang, tanggungjawab kami juga semakin besar untuk memastikan pengalaman pemilikan EV menjadi lebih mudah, selesa dan memberikan lebih banyak manfaat. Pencapaian ini menjadi peluang untuk kami menghargai para pemilik serta memperkukuh Janji Pelanggan dengan menawarkan lebih perhatian, keyakinan dan nilai pengecasan yang lebih berbaloi sepanjang tempoh pemilikan mereka,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.

Zhang Qiang turut berkata: “Rangkaian kami kini merangkumi 60 pengedar di seluruh negara, dengan sokongan lebih 1,600 tenaga kerja profesional dalam bidang jualan dan perkhidmatan selepas jualan. Kami menyasarkan untuk memperluaskan rangkaian ini kepada lebih 70 cawangan menjelang akhir 2026, termasuk 57 pusat servis dan 14 pusat Body & Paint. Perkembangan rangkaian ini akan memastikan pelanggan terus menerima sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh pemilikan mereka.”

Diskaun 40% bagi Pengecasan Sempena Meraikan 40,000 Pendaftaran
Bermula pukul 11:00 pagi pada 1 Oktober 2026 sehingga pukul 11:00 pagi pada 5 Oktober 2026, pemilik Proton e.MAS akan menikmati diskaun 40% bagi pengecasan menerusi aplikasi Proton e.MAS. Pelanggan tidak perlu membuat sebarang pendaftaran atau tuntutan kerana mereka hanya perlu mengecas seperti biasa menggunakan aplikasi tersebut untuk menikmati kadar yang lebih rendah.
Selain tawaran yang berlangsung selama empat hari ini, PRO-NET turut meneruskan usaha memudahkan pengalaman pengecasan bagi pemilik Proton e.MAS. Kadar pengecasan menerusi aplikasi Proton e.MAS adalah sama seperti kadar yang ditawarkan oleh aplikasi pengendali titik pengecasan (CPO) terpilih. Ini membolehkan pelanggan mendapatkan kadar pengecasan yang sama tanpa perlu menggunakan pelbagai aplikasi.

Pemilik juga boleh mendapatkan akses kepada rangkaian 12 Pengendali Titik Pengecasan (CPO) melalui aplikasi Proton e.MAS, termasuk kadar istimewa sehingga RM1.20/kWj di pengecas DC Handal serta diskaun 20 peratus di stesen pengecasan RExharge melalui aplikasi Proton e.MAS dari 5 Oktober hingga 31 Disember 2026.
Lebih Manfaat dan Keyakinan Sepanjang Tempoh Pemilikan
Bukan sahaja tertumpu kepada pengecasan, PRO-NET turut memperluaskan sambutan sempena penyerahan kenderaan ke-40,000 ini kepada beberapa aspek pemilikan lain, termasuk perkhidmatan selepas jualan, urusan tukar beli dan e.MAS Care.
Sepanjang 1 hingga 31 Oktober 2026, pelanggan boleh mendapatkan diskaun 10% untuk servis dan penyelenggaraan, manakala 1,000 pelanggan pertama yang mendapatkan servis akan menerima kad Touch ’n Go Proton e.MAS 5 secara eksklusif.

Di samping kempen ini, Proton e.MAS terus mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan selepas jualan menerusi rangkaian pusat servis yang semakin meluas di seluruh negara, kadar ketersediaan alat ganti sebanyak 98.8% serta latihan berterusan bagi tenaga kerja profesional teknikal EV bertauliah bersama MARA. Usaha ini turut menyokong pembangunan bakat tempatan dalam bidang EV dan pertumbuhan ekosistem EV di Malaysia.

Bagi pelanggan yang ingin menukar kenderaan mereka, pelanggan yang memenuhi syarat boleh menikmati rebat tukar beli tambahan sehingga RM1,000 melalui CARSOME dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2026.
Pelanggan yang membeli atau memperbaharui polisi insurans e.MAS Care Elite atau e.MAS Care Flex melalui panel terpilih juga akan menerima kredit pengecasan percuma bernilai RM100. Pendaftaran dibuka dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2026 untuk 5,000 pelanggan pertama di seluruh negara.

Dalam tempoh kempen yang sama, pelanggan yang layak serta membeli atau memperbaharui insurans e.MAS akan menyertai cabutan bertuah eksklusif secara automatik, dengan hadiah yang ditawarkan termasuk Huawei Watch GT 7 dan Huawei Band 11.
Pengalaman Pemilikan Digital yang Lebih Lancar
PRO-NET turut memperkemaskan pengalaman pemilikan digital menerusi aplikasi Proton e.MAS yang telah dikemas kini, dibangunkan bersama ACOTech dan dijangka dilancarkan pada akhir 2026. Versi baharu aplikasi ini akan membolehkan pelanggan mengakses ganjaran, perkhidmatan dan pelbagai keistimewaan mereka melalui satu platform.

Antara ciri baharu yang diperkenalkan ialah PassGo, platform ganjaran Proton e.MAS berasaskan konsep “pandu dan nikmati ganjaran” yang boleh diakses melalui aplikasi Proton e.MAS. Mulai 29 September, pemilik yang mendaftarkan kenderaan mereka akan menerima 300 mata alu-aluan dan seterusnya berpeluang mengumpul satu mata bagi setiap kilometer yang dipandu dan layak, tertakluk kepada terma dan syarat.
Mata yang terkumpul boleh digunakan untuk menebus pelbagai ganjaran seperti baucar Grab, Touch ’n Go, foodpanda dan Lazada, selain barangan eksklusif. Pemilik juga berpeluang mengumpul lebih banyak mata menerusi kempen serta cabaran khas yang akan diperkenalkan.
Lebih Banyak Ganjaran dan Keistimewaan untuk Pemilik Proton e.MAS
Proton e.MAS turut memperluaskan manfaat pemilikan ke dalam kehidupan harian pelanggan. Pemilik yang layak boleh menikmati diskaun 10% untuk minuman di cawangan ZUS Coffee terpilih, manakala pelanggan yang memilih penyelesaian tenaga solar kediaman terpilih melalui Huawei FusionSolar boleh mendapatkan rebat segera sebanyak RM5,000, selain berpeluang memenangi pakej perjalanan tajaan penuh selama lima hari empat malam ke Shenzhen, China, termasuk lawatan ke Huawei Campus.

Pencapaian ini turut disambut menerusi pertandingan “Where Does Your e.MAS Take You?” yang meraikan pengalaman 40,000 pemilik Proton e.MAS. Pemilik boleh berkongsi foto atau video yang memaparkan pengalaman mereka bersama Proton e.MAS di Facebook Rasmi Komuniti Proton e.MAS untuk berpeluang memenangi model diecast edisi terhad Proton e.MAS 7 sebagai hadiah utama, selain 40 baucar Touch ‘n Go eWallet bernilai RM50 setiap satu.

Manfaat utama yang diperkenalkan kepada pelanggan sempena pencapaian penyerahan kenderaan ke-40,000 adalah seperti berikut:
Janji Pelanggan | Manfaat kepada Pelanggan |
More Charge | Diskaun 40% untuk pengecasan melalui aplikasi Proton e.MAS dari 1 hingga 5 Oktober 2026. |
Kadar istimewa sehingga RM1.20/kWj di pengecas DC Handal. | |
Diskaun 20% di stesen pengecasan RExharge melalui aplikasi Proton e.MAS dari 5 Oktober hingga 31 Disember 2026. | |
More Confidence | Kad Touch ’n Go eksklusif Proton e.MAS 5 untuk 1,000 pelanggan pertama yang mendapatkan perkhidmatan dari 1 hingga 31 Oktober 2026. |
Diskaun 10% untuk perkhidmatan dan penyelenggaraan dari 1 hingga 31 Oktober 2026. | |
More Care | Rebat tambahan tukar beli sehingga RM1,000 melalui CARSOME dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2026. |
Kredit pengecasan percuma RM100 untuk pelanggan e.MAS Care Elite atau Flex yang layak, terhad kepada 5,000 pendaftaran pertama. | |
Cabutan bertuah eksklusif e.MAS Care dengan hadiah Huawei Watch GT 7 dan Huawei Band 11. | |
More Connected | Pertandingan “Where Does Your e.MAS Take You?” dengan peluang memenangi model diecast e.MAS 7 edisi terhad serta 40 baucar Touch ’n Go eWallet bernilai RM50 setiap satu. |
Kesemua inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan PRO-NET menerusi Janji kepada Pelanggan untuk menawarkan lebih banyak kemudahan, nilai dan sokongan kepada pemilik Proton e.MAS sedia ada serta bakal pemilik sepanjang tempoh pemilikan kenderaan mereka.




















Komen