Proton e.MAS 7 PHEV Emerald Green Kini di Bilik Pameran
- Anna Chong

- 21 Apr
- 3 min membaca

PRO-NET, anak syarikat milik penuh PROTON, hari ini mengumumkan bahawa Proton e.MAS 7 PHEV dengan pilihan warna baharu Emerald Green kini sudah boleh didapati di bilik pameran di seluruh Semenanjung Malaysia, dengan ketersediaan di Sabah dan Sarawak akan menyusul dalam masa terdekat.
Sejak diperkenalkan awal tahun ini, Proton e.MAS 7 PHEV terus menerima permintaan tinggi daripada rakyat Malaysia. Sehingga 31 Mac 2026, lebih 4,900 tempahan telah direkodkan, dengan lebih 740 unit telah didaftarkan. Penghantaran yang bermula pada bulan Februari turut menunjukkan peningkatan pada bulan Mac, dengan 646 unit berjaya diserahkan dalam bulan Mac Sahaja dan menunjukkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap kenderaan berelektrifikasi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Momentum ini terus mengukuhkan kedudukan Proton e.MAS sebagai jenama EV No.1 di Malaysia, didorong oleh penerimaan produk yang memberangsangkan, kepercayaan pelanggan yang semakin kukuh, serta pengembangan berterusan ekosistem EV di seluruh negara, sekali gus menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah diakses dan semakin praktikal untuk rakyat Malaysia.
“Susulan permintaan yang kukuh terhadap Proton e.MAS 7 PHEV, kami berbesar hati untuk memperkenalkan pilihan warna Emerald Green ke dalam produk kami, sekali gus memberikan pelanggan lebih banyak pilihan warna. Pelanggan boleh melihat Proton e.MAS 7 PHEV Emerald Green ini di bilik pameran kami di seluruh negara,” kata Puan Salawati Yusoff, Ketua Pegawai Penjenamaan PRO-NET.
Beliau menambah, “Dengan jangkaan harga bahan api di Malaysia yang akan menjadi lebih bersasar dari semasa ke semasa, rakyat Malaysia kini mencari penyelesaian yang menawarkan kawalan kos yang lebih baik. Proton e.MAS 7 PHEV membolehkan pemandu memaksimumkan penggunaan elektrik untuk kegunaan harian, sambil mengekalkan fleksibiliti petrol untuk perjalanan jarak jauh.”
Menariknya, 63% daripada pemilik semasa Proton e.MAS 7 PHEV telah menukar kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) sedia ada mereka, khususnya SUV kompak dan sedan, sekali gus menunjukkan peralihan yang jelas ke arah elektrifikasi sebagai pilihan utama yang lebih praktikal.

Teknologi Hibrid EM-i Advanced membolehkan pemanduan harian yang lebih cekap dan efisien
Dikuasakan oleh Teknologi Hibrid EM-i Advanced, Proton e.MAS 7 PHEV menawarkan kecekapan sebenar yang tinggi, disesuaikan dengan keperluan pemanduan di Malaysia. Kenderaan ini mencapai penggunaan bahan api serendah 4.3L/100km, sambil menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 105km bagi varian Prime dan Premium, serta sehingga 170km bagi varian Premium Plus. Ini membolehkan kebanyakan perjalanan harian dilakukan dengan penggunaan bahan api yang minimum.
Untuk perjalanan yang lebih jauh, sistem hibrid ini menggabungkan kedua-dua sumber kuasa secara lancar bagi memberikan jumlah jarak pemanduan sehingga 1,065km, sekali gus menawarkan fleksibiliti tanpa perlu kerap mengisi bahan api.
Gabungan ini membolehkan penggunaan petrol yang jauh lebih rendah, terutamanya dalam keadaan pemanduan di bandar. Dalam konteks struktur subsidi bahan api BUDI95 di Malaysia yang sedang berkembang serta potensi pelarasan harga RON95, Proton e.MAS 7 PHEV menawarkan pendekatan yang lebih praktikal untuk menguruskan kos bahan api, sambil mengekalkan kemudahan seperti kenderaan petrol konvensional.
Dengan gabungan kecekapan, praktikaliti dan rekaan moden, dan kini dipertingkatkan dengan pilihan warna luaran Emerald Green yang lebih menyerlah, Proton e.MAS 7 PHEV terus memperluaskan tarikannya dalam kalangan rakyat Malaysia yang sedang mempertimbangkan membeli kenderaan elektrik.
Proton e.MAS 7 PHEV Emerald Green Kini Dibuka untuk Tempahan
Pelanggan boleh mendaftarkan minat mereka melalui laman web rasmi Proton e.MAS atau membuat tempahan di pengedar sah Proton e.MAS di seluruh negara bermula 17 April 2026.
Proton e.MAS terus menyokong pelanggan melalui rangkaian nasional yang semakin berkembang dengan lebih 63 buah pengedar di seluruh negara, termasuk 51 outlet yang telah beroperasi sepenuhnya, disokong oleh rangkaian lepas jualan yang semakin meluas dengan 39 pusat 3S khusus serta 10 pusat Body & Paint di seluruh Malaysia.




















Komen