PRO-NET & TVETMARA Jalin Kerjasama, Lancar Electrified Excellence Competition Proton e.MAS

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat PROTON, terus memperkukuh kerjasama dengan TVETMARA menerusi pemeteraian Surat Hasrat (LOI), bagi membuka lebih banyak peluang kepada pembangunan tenaga mahir dalam bidang kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.
Kerjasama ini memberi fokus kepada pengembangan latihan teknikal EV, pengalaman praktikal bersama industri serta pembangunan bakat, selain memperkenalkan e.MAS Electrified Excellence Competition yang pertama untuk Juruteknik EV dan Penasihat Servis.
Surat Hasrat itu ditandatangani oleh Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, bersama Encik Shabudin bin Said, Pengarah TVETMARA Masjid Tanah. Kerjasama ini mencerminkan usaha kedua-dua pihak untuk merapatkan hubungan antara industri dan institusi TVET, khususnya dalam bidang teknologi EV serta pembangunan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri.
Melalui kerjasama ini, PRO-NET dan TVETMARA akan meneroka peluang untuk memperkenalkan serta menambah baik program latihan teknikal EV yang lebih dekat dengan keperluan sebenar industri.
Langkah ini hadir ketika Proton e.MAS terus menunjukkan perkembangan positif, dengan lebih 6,000 unit telah didaftarkan sehingga 31 Ogos 2026. Dengan jumlah EV di jalan raya Malaysia yang semakin meningkat,
keperluan terhadap tenaga kerja selepas jualan yang mempunyai kemahiran khusus dalam teknologi EV juga semakin penting bagi memastikan pelanggan menerima sokongan dan perkhidmatan pada tahap yang tinggi.
Membangunkan Generasi Juruteknik EV Seterusnya
Kerjasama Proton e.MAS bersama TVETMARA turut membuka peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman menerusi latihan amali, latihan sambil bekerja (OJT), latihan industri, program perantis serta pendedahan kepada teknologi dan operasi sebenar dalam industri.

Melalui pengalaman ini, pelajar dapat membina kemahiran yang lebih relevan dengan bidang selepas jualan EV serta mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai keperluan sebenar industri. Dalam jangka panjang, inisiatif ini diharap dapat membantu melancarkan perjalanan pelajar daripada pendidikan TVET ke alam pekerjaan dan seterusnya membentuk juruteknik EV yang kompeten.
Menurut Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, kerjasama ini penting bagi memastikan pembangunan tenaga mahir di Malaysia bergerak seiring dengan pertumbuhan penggunaan EV.
“Apabila semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada kenderaan elektrik, kita juga perlu memastikan tenaga kerja kita mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang tepat untuk menyokong mereka.
“Bagi kami, usaha ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknologi EV, tetapi turut memberi mereka peluang mendapatkan pengalaman praktikal, membina keyakinan diri dan memahami keperluan sebenar industri. Kami mahu mereka bukan sahaja bersedia dari segi pengetahuan, tetapi juga yakin untuk melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan institusi TVET dalam menyediakan generasi baharu tenaga mahir bagi industri automotif.
“Institusi TVET memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga mahir untuk bidang teknikal. Melalui kerjasama dengan TVETMARA, kami dapat membawa pengetahuan dan keperluan industri lebih dekat kepada pelajar, sekali gus memberi mereka laluan yang lebih jelas daripada pembelajaran kepada kerjaya dalam industri EV.
“Pada akhirnya, kami mahu membantu membangunkan tenaga kerja selepas jualan EV yang lebih berkemahiran dan mampan untuk Malaysia,” tambah beliau.
e.MAS Electrified Excellence Competition
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, TVETMARA Masjid Tanah turut bekerjasama dalam penganjuran e.MAS Electrified Excellence Competition, yang memberi peluang kepada Juruteknik EV dan Penasihat Servis untuk menguji serta mempamerkan pengetahuan teknikal, kemahiran praktikal dan keupayaan mereka dalam teknologi EV.

Pertandingan ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada kemahiran teknikal, malah menggalakkan pembelajaran berterusan serta pembangunan profesional dalam kalangan tenaga kerja selepas jualan EV.
Pada masa sama, ia menjadi platform untuk mengenal pasti dan mengembangkan bakat teknikal baharu, seiring dengan perkembangan penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia.
Tenaga kerja selepas jualan yang berkemahiran tinggi memainkan peranan penting dalam memastikan keyakinan pelanggan terus terpelihara, kualiti perkhidmatan dikekalkan dan pemilikan EV menjadi lebih mudah dalam jangka panjang.
Dengan memperkukuh kemahiran teknikal tempatan, kerjasama PRO-NET dan TVETMARA ini dilihat sebagai satu lagi langkah dalam membina ekosistem EV Malaysia yang lebih kukuh serta menyokong perkembangan industri automotif ke arah mobiliti elektrik.




















Komen