Proton e.MAS Lepasi 6,000 Unit, Catat Rekod Jualan Baharu

Proton e.MAS Catat Rekod Jualan Bulanan Baharu Pada Ogos
Proton e.MAS terus mencatat momentum positif dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) Malaysia apabila merekodkan jualan bulanan tertinggi sejak dilancarkan pada Ogos 2026, dengan sebanyak 6,047 unit kenderaan terjual.
Pencapaian tersebut dicapai hanya 20 bulan selepas pelancaran Proton e.MAS 7 pada 16 Disember 2024, sekali gus menjadikan Proton e.MAS sebagai jenama xEV terpantas di Malaysia untuk melepasi angka jualan 6,000 unit dalam tempoh sebulan.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak 5,999 unit merupakan pendaftaran domestik, sekali gus mengukuhkan kedudukan Proton e.MAS sebagai jenama EV No. 1 di Malaysia. Prestasi ini turut menunjukkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrik dalam kalangan pengguna tempatan, dengan purata satu unit Proton e.MAS didaftarkan setiap tujuh minit sepanjang Ogos.
Proton e.MAS 5 menjadi penyumbang terbesar kepada prestasi tersebut apabila mencatat 4,770 unit pendaftaran domestik, mewakili hampir 80 peratus daripada keseluruhan jumlah pendaftaran bagi bulan berkenaan.
Dalam masa yang sama, Proton e.MAS 7 dan Proton e.MAS 7 PHEV turut merekodkan permintaan yang kukuh dengan masing-masing mencatat 613 unit dan 616 unit pendaftaran domestik.
Dari segi taburan jualan mengikut negeri, Selangor menjadi penyumbang terbesar dengan 51 peratus daripada keseluruhan jualan domestik Proton e.MAS pada Ogos. Ia diikuti oleh Johor dan Pulau Pinang.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga negeri tersebut menyumbang sebanyak 71 peratus daripada jualan domestik Proton e.MAS pada bulan berkenaan, menunjukkan permintaan yang semakin meluas terhadap kenderaan elektrik di seluruh Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, Proton e.MAS telah merekodkan sebanyak 27,402 unit pendaftaran domestik. Selain itu, sebanyak 453 unit telah dieksport ke Nepal, Trinidad dan Tobago, Singapura serta Mauritius.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan jualan Proton e.MAS bagi tahun semasa setakat ini kepada 27,855 unit.
“Pencapaian 5,999 pendaftaran dalam tempoh sebulan merupakan satu pencapaian yang amat bermakna bagi Proton e.MAS. Namun, yang lebih penting, pencapaian ini mencerminkan kepercayaan dan sokongan yang telah diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap jenama kami,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.
“Ketika kita meraikan semangat Merdeka dan bakal menyambut Hari Malaysia, kita dapat melihat sejauh mana Malaysia telah berkembang hasil daripada keberanian kita untuk menerima perubahan dan terus melangkah bersama.
“Kami berbangga melihat semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk bersama-sama dalam perjalanan menuju masa depan yang lebih berteraskan mobiliti elektrik. Kami juga amat menghargai kepercayaan dan keyakinan yang telah diberikan kepada Proton e.MAS,” tambah Zhang Qiang.
Rangkaian Pengedar Proton e.MAS Semakin Meluas
Pertumbuhan jualan Proton e.MAS di pasaran domestik turut disokong oleh pengembangan rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualannya di seluruh negara.
Setakat ini, rangkaian Proton e.MAS merangkumi 60 pusat pengedar, 46 pusat servis serta 10 pusat badan dan cat di seluruh Malaysia.
Jumlah tersebut menunjukkan perkembangan ketara berbanding 31 Ogos 2025, apabila Proton e.MAS hanya mempunyai 36 pusat pengedar dan 29 pusat servis.
Pengembangan rangkaian ini selari dengan visi PRO-NET untuk “Menjadi Peneraju Penyelesaian Automotif Ekosistem Tenaga Baharu”, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem pemilikan yang lebih menyeluruh dan bukan sekadar menawarkan kenderaan elektrik.
Dari segi kemudahan pengecasan, sebanyak 103 pengecas pantas DC kini tersedia di pusat pengedar terpilih di seluruh negara.
Selain itu, Peta Pengecasan Langsung Bersepadu yang tersedia dalam semua kenderaan e.MAS serta melalui aplikasi e.MAS memberikan akses kepada lebih 4,700 titik pengecasan di seluruh Malaysia.
Daripada jumlah tersebut, lebih 1,500 titik pengecasan berada di lebih 600 kediaman bertingkat tinggi.
Dengan memperluas rangkaian jualan, perkhidmatan selepas jualan dan kemudahan pengecasan, selain memperkukuh rangkaian modelnya, PRO-NET terus membangunkan ekosistem yang lebih lengkap bagi menyokong pemilik Proton e.MAS dalam peralihan ke arah mobiliti elektrik.
Memperkukuh Kepakaran EV Di Malaysia
Selain memperluas kehadiran Proton e.MAS dalam pasaran, PRO-NET turut memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja dan kepakaran tempatan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang industri kenderaan elektrik di Malaysia.
Antara usaha tersebut ialah penganjuran Pertandingan Kemahiran Perkhidmatan Selepas Jualan yang julung kali diadakan dengan kerjasama TVETMARA.
Pertandingan ini menyediakan platform kepada tenaga teknikal tempatan untuk menguji, memperlihatkan serta meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang perkhidmatan selepas jualan kenderaan elektrik.
Inisiatif ini turut bertujuan menggalakkan tahap kecekapan teknikal yang lebih tinggi dalam sektor xEV yang semakin berkembang di Malaysia.
Selain pertandingan tersebut, kerjasama berkenaan turut menyokong pembangunan bakat dan keupayaan tempatanbagi membentuk kumpulan tenaga kerja mahir dalam bidang berkaitan EV.
Usaha ini dilihat penting dalam menyokong pertumbuhan jangka panjang serta proses lokalisasi industri automotif berteraskan mobiliti elektrik di Malaysia.




















Komen