top of page

PROTON Memperkukuh Kehadiran EV Serantau dengan Pelancaran PROTON e.MAS 5 di Singapura

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 10 Jul
  • 3 min membaca

Proton e.MAS 5
Wakil PROTON memperkenalkan ciri-ciri keselamatan utama PROTON e.MAS 5 serba baharu semasa acara pelancaran rasminya di Singapura.

PROTON terus memperkukuh kehadiran perniagaan kenderaan elektrik (EV) di peringkat antarabangsa menerusi pelancaran Proton e.MAS 5 di Singapura. Diperkenalkan oleh pengedar PROTON di Singapura, VINCAR Group, model ini merupakan kenderaan kedua dalam barisan Proton e.MAS yang dilancarkan di negara itu selepas kemunculan sulung Proton e.MAS 7 pada tahun lalu, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha pengembangan serantau pengeluar kereta nasional itu.


Proton e.MAS 5
PROTON e.MAS 5 serba baharu dipamerkan di pelancaran rasminya di Singapura, menandakan satu lagi peristiwa penting dalam pengembangan kenderaan elektrik serantau PROTON.

“Pengembangan barisan model Proton e.MAS di Singapura membuktikan komitmen PROTON untuk terus cemerlang dalam perjalanan eksport syarikat, di samping mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap produk automotif Malaysia di peringkat antarabangsa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation, Edmund Lim Meng Thong.


“Pengenalan Proton e.MAS 5 susulan sambutan yang amat menggalakkan terhadap Proton e.MAS 7 mencerminkan komitmen jangka panjang kami untuk terus meningkatkan jumlah eksport bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Pada masa sama, ia mengukuhkan kedudukan PROTON sebagai jenama yang menawarkan produk dengan gabungan teknologi canggih, ciri keselamatan dan nilai terbaik kepada pelanggan serantau, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk meluaskan lagi pasaran kami.”


Proton e.MAS 5
Encik David Chiam - Pakar Produk dari VINCAR Group mengumumkan harga pelancaran PROTON e.MAS 5 semasa acara pelancaran rasmi di Singapura.

Berusaha mencapai kejayaan melangkaui angka jualan

Singapura merupakan antara pasaran automotif paling kompetitif di Asia Tenggara dan menjadi platform penting bagi jenama automotif yang ingin mengukuhkan kehadiran di rantau ini. Kejayaan memperluaskan rangkaian Proton e.MAS di negara tersebut membuktikan keupayaan PROTON yang semakin kukuh untuk bersaing dalam pasaran yang mempunyai pengguna berpengetahuan tinggi serta ekosistem EV yang matang.


Pelancaran ini turut menyerlahkan peranan Proton e.MAS yang semakin penting dalam keseluruhan perniagaan PROTON. Selain menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti rendah karbon, jenama ini kini menjadi pemacu utama strategi pertumbuhan antarabangsa syarikat dengan membuka lebih banyak peluang eksport bagi penyelesaian mobiliti yang dibangunkan di Malaysia.


Proton e.MAS 5
Tetamu dan ahli media berkumpul di bilik pameran PROTON e.MAS di Singapura untuk pelancaran rasmi PROTON e.MAS 5 serba baharu.

“Matlamat PROTON bukan sekadar mengeksport kenderaan,” tambah Edmund Lim. “Kami sedang membina perniagaan serantau yang mampan berteraskan kerjasama strategik yang kukuh, pengalaman pemilikan pelanggan yang cemerlang serta produk yang memenuhi keperluan mobiliti setiap pasaran. Setiap pasaran baharu yang diterokai PROTON mengukuhkan lagi jenama kami di peringkat antarabangsa serta menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai pemain yang diiktiraf dalam industri mobiliti masa hadapan.”


Model EV paling laris di Malaysia dan mendapat pengiktirafan global

Kehadiran Proton e.MAS 5 di Singapura meneruskan kejayaan model yang telah menerima pengiktirafan meluas di peringkat antarabangsa. Bersama model kembarannya daripada Geely, model ini telah mencatat jualan terkumpul melebihi 610,000 unit di seluruh dunia, sekali gus mencerminkan penerimaan yang amat positif dalam pelbagai pasaran.


Proton e.MAS 5
Wakil dari PROTON dan VINCAR Group bergambar dengan PROTON e.MAS 5 serba baharu selepas pelancaran rasminya di Singapura. Dari kiri: Encik Cash Tan - Ketua Pemasaran - Acara, Kumpulan VINCAR; Cik Marisa Tan - Ketua Pegawai Operasi, Kumpulan VINCAR; Encik Hugo Chong - Pengurus Negara, PICSB; Encik Ernest Tan - Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan VINCAR

Digabungkan dengan pencapaian Proton e.MAS 5 sebagai model EV paling laris di Malaysia, kejayaan ini membuktikan keupayaan PROTON memanfaatkan platform bertaraf global yang telah terbukti, sambil memperluaskan lagi kehadiran produk automotif Malaysia ke pasaran eksport serantau.


Selain menawarkan produk yang berdaya saing, pembeli Proton e.MAS 5 di Singapura turut menikmati pelbagai manfaat pemilikan termasuk kredit pengecasan, manfaat pemilikan bernilai S$5,000, pembiayaan tanpa bayaran pendahuluan, jaminan bateri selama 10 tahun, jaminan rentas sempadan serta perkhidmatan perayauan data Malaysia-Singapura secara percuma.

Komen


ADVERTISEMENT

KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page