Rainer Zietlow's ID.Buzz World Record Journey membuat Pit Stop di Malaysia
- Anna Chong

- 7 Okt
- 3 min membaca

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan Giti Tire Malaysia (GTM) berbesar hati mengalu-alukan ketibaan pemandu yang juga pemegang rekod dunia terkenal, Rainer Zietlow ke Malaysia dalam usaha luar biasanya untuk mencatat rekod Guinness World RecordsTM bagi kategori “negara paling banyak dilawati dengan sebuah kenderaan elektrik.”


Sejak memulakan perjalanannya, Zietlow telah merentasi 46 buah negara dalam tempoh 84 hari meliputi jarak lebih 46,400 kilometer dengan kenderaan elektrik Volkswagen ID.Buzz. Sebelum ini, beliau pernah mencatat rekod dengan memandu Volkswagen Touareg pada tahun 2012, sebuah model yang terkenal kerana kekuatan dan kepelbagaian fungsinya. Kini, pengembaraan dengan kenderaan elektrik sepenuhnya ID. Buzz menjadi bukti jelas tentang sejauh mana evolusi mobiliti moden telah berkembang. Persinggahan ini juga merupakan kali kedua Zietlow di Malaysia, sekali gus memberi peluang kepada para tetamu untuk melihat sendiri kehebatan EV ikonik ini beraksi dan bertemu dengan pemandunya.

Menurut Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia, Renate Noessler, Volkswagen melambangkan inovasi dan eksplorasi: “Misi Rainer mengingatkan kita bahawa pemanduan bukan sekadar rutin harian, tetapi boleh menjadi satu pengembaraan. Volkswagen Minibus sudah lama menjadi ikon dan
kegemaran ramai sejak bergenerasi lamanya. ID. Buzz pula merupakan kemunculan semula lagenda itu, membawa semangat yang sama tetapi telah diolah semula untuk generasi muda. Kehadiran Rainer sebagai pemandu benar-benar menyerlahkan prestasi, ketahanan dan semangat penerokaan yang dihargai serta dikagumi oleh para peminat di seluruh dunia.”


Pemanduan Rainer menjadi bukti bahawa Volkswagen bukan sekadar mengenai reka bentuk ikonik, tetapi juga tentang ketahanan, prestasi dan keberanian melangkaui sempadan. ID. Buzz bukan sekadar imbauan nostalgia, tetapi satu tafsiran semula penuh kuasa terhadap sebuah lagenda yang dibina untuk mereka yang mahu pergi lebih jauh. Dengan Rainer sebagai pemandunya, kita dapat melihat apa yang sebenarnya ingin diserlahkan oleh ID. Buzz: semangat kesukanan, kekuatan dan keinginan untuk meneroka apa sahaja tanpa batas.
Aspek yang tidak kurang pentingnya dalam usaha mencatat rekod ini ialah tayar GitiSynergy H2 yang dipilih oleh Volkswagen sebagai tayar original untuk ID.Buzz. EV sememangnya memberi cabaran unik kepada tayar, daripada menampung beban pek bateri yang lebih berat, mengawal kuasa tork serta-merta sehinggalah memaksimumkan jarak perjalanan. Tayar GitiSynergy H2 direka untuk memenuhi segala keperluan ini menerusi sebatian bunga tayar termaju, rintangan gulingan yang rendah dan binaan lebih kukuh. Lebih penting lagi, tayar ini turut cemerlang di atas permukaan basah, memastikan kestabilan dan keselamatan di banyak negara yang sentiasa dilanda hujan serta jalan licin.

Timbalan Pengurus Besar, Pemasaran Antarabangsa Giti Tire Group, Shiroo Chia menekankan bahawa perjalanan ini jelas membuktikan keupayaan teknologi Giti. “Jarak perjalanan Reiner yang sangat jauh ini adalah bukti dunia sebenar terhadap teknologi terkini dan prestasi tayar GitiSynergy H2 yang boleh
dipercayai. Kami bangga kerana Volkswagen dan pemandu bergantung kepada kemampuan Giti untuk merentasi perjalanan sejauh 80,000km yang melibatkan 70 buah negara.”
Bagi Zietlow, kerjasama di antara Volkswagen dan Giti menjadi kunci kejayaan perjalanannya setakat ini. “Saya sangat gembira kerana Volkswagen dan Giti bersama-sama saya dalam misi ini – prestasi ID. Buzz dan tayar Giti benar-benar menepati jangkaan saya,” katanya. “Pengalaman pemanduan dan keupayaan secara keseluruhan memang sangat baik. Saya yakin mampu untuk menamatkan percubaan mencatat rekod dunia perjalanan tanpa emisi ini. Saya juga menikmati kunjungan kali kedua ke Malaysia dan pastinya ini bukan kali yang terakhir.”
VPCM dan GTM menganjurkan satu majlis istimewa di bilik pameran Volkswagen Glenmarie (F.A. Wagen) bagi meraikan semangat pengembaraan, inovasi teknologi dan mobiliti lestari. Acara itu juga memberi peluang kepada hadirin untuk mendekati pemandu, kereta dan tayar yang digunakan secara lebih dekat. Ketibaan Zietlow di Malaysia menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan yang bukan sahaja melangkaui batas mobiliti elektrik, malah membuktikan peranan penting teknologi tayar dalam menjamin keselamatan, ketahanan serta kecekapan merentas benua.














































Komen