Suria KLCC Kini Sertai Rangkaian LPR Parking Touch ’n Go, Lebih 200 Lokasi Di Seluruh Malaysia

Suria KLCC Car Park menjadi lokasi terbaharu yang menyertai rangkaian Licence Plate Recognition (LPR) Parking Touch ’n Go Group, sekali gus memberikan pengguna pilihan pembayaran tambahan dengan caj parkir ditolak secara automatik daripada baki TNG eWallet.
Touch ’n Go Group kini mempunyai lebih 200 lokasi LPR Parking yang aktif di seluruh Malaysia, meliputi pusat beli-belah, bangunan komersial, hospital, hotel dan pelbagai destinasi lain. Penyertaan Suria KLCC Car Park dalam rangkaian ini memberikan lebih banyak kemudahan kepada pengguna yang berkunjung ke kawasan tumpuan di tengah Kuala Lumpur.

Bagi meraikan penambahan tersebut, Touch ’n Go Sdn. Bhd. (“Touch ’n Go”) dan TNG Digital Sdn. Bhd. (“TNG Digital”) hari ini memperkenalkan Golden Parking Rewards di Touch ’n Go Connected Mobility Pavilion sempena MyARTTE 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur. Pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Praba Sangarajoo, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ’n Go Sdn. Bhd.; Alan Ni, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn. Bhd.; serta wakil daripada KLCC.
LPR Parking melengkapkan pilihan pembayaran yang tersedia di Suria KLCC Car Park dengan menghubungkan sistem pengecaman kenderaan bersama pembayaran automatik. Bagi pengguna yang telah berdaftar, sistem akan mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan ketika masuk dan keluar, sebelum caj parkir ditolak secara automatik daripada baki TNG eWallet. Pengguna disarankan memastikan baki eWallet mencukupi bagi menampung caj parkir.
Perkhidmatan ini menghubungkan rangkaian parkir Touch ’n Go dengan TNG Digital, pengendali TNG eWallet yang merupakan aplikasi perkhidmatan kewangan digital dan gaya hidup terkemuka di Malaysia. Dengan lebih 27 juta pengguna, TNG eWallet menyediakan platform yang memudahkan pengguna mendaftarkan kenderaan serta menggunakan LPR Parking tanpa perlu memuat turun aplikasi parkir berasingan.
Praba Sangarajoo, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ’n Go Sdn Bhd, berkata, “Penambahan Suria KLCC Car Park ke dalam rangkaian LPR Parking kami membawa kemudahan pembayaran parkir secara automatik ke salah satu destinasi yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian ramai rakyat Malaysia. Sama ada untuk bekerja, membeli-belah atau meluangkan masa bersama keluarga, pengguna kini mempunyai pilihan pembayaran tambahan yang menjadikan perjalanan masuk dan keluar lebih mudah.”
“Dengan lebih 200 lokasi yang kini beroperasi, kami terus bekerjasama dengan pengendali parkir bagi menyediakan kemudahan ini di lebih banyak destinasi. Fokus kami adalah untuk memudahkan setiap bahagian perjalanan, daripada perjalanan di lebuh raya sehingga ke lokasi parkir,” tambah beliau.
Alan Ni, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, berkata, “TNG eWallet dibangunkan sebagai teman digital harian untuk rakyat Malaysia, dan kemudahan paling bermakna selalunya hadir melalui perkara-perkara kecil. Parkir merupakan salah satunya. Dengan LPR Parking di Suria KLCC Car Park, pengguna hanya perlu masuk, parkir dan keluar, manakala caj parkir akan dibayar secara automatik menggunakan TNG eWallet.”
“Kerjasama kami bersama Touch ’n Go dan Suria KLCC Car Park menunjukkan apa yang boleh dicapai melalui ekosistem yang lebih menyeluruh. Dengan LPR Parking yang terus diperluaskan ke lebih banyak lokasi, satu aplikasi boleh menjadikan lebih banyak urusan harian pengguna lebih mudah,” tambah beliau.

Golden Parking Rewards
Menerusi kempen Golden Parking Rewards yang akan datang, peserta terpilih yang layak, telah mengaktifkan LPR Parking melalui TNG eWallet dan melengkapkan transaksi LPR Parking yang memenuhi syarat di Suria KLCC Car Park sepanjang tempoh kempen akan menerima Touch ’n Go Limited-Edition 30th Anniversary Gold Wafer yang mengandungi 0.5g emas 999.9. Penyertaan dan pemilihan penerima ganjaran adalah tertakluk kepada terma dan syarat kempen.
Selain itu, pengguna yang pertama kali menggunakan LPR Parking akan menerima cashback RM2 apabila menggunakan perkhidmatan tersebut di Suria KLCC Car Park sepanjang tempoh kempen, sementara penebusan masih tersedia.
Tarikh mula kempen, mekanisme penyertaan penuh serta terma dan syarat akan diumumkan melalui saluran rasmi Touch ’n Go Group. Pengguna disarankan mengikuti saluran rasmi untuk mendapatkan maklumat terkini.




















Komen