Untuk Setiap Rentak Hidup: Volkswagen Memperkenalkan Tayron Serba Baharu di Malaysia


Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini memperkenalkan Volkswagen Tayron serba baharu, model SUV yang direka untuk setiap rentak hidup.
Dihasilkan secara pemasangan tempatan di kilang Volkswagen di Pekan, Tayron ditawarkan dalam dua varian yang memenuhi keperluan berbeza. Varian Elegance menawarkan keselesaan premium serta teknologi terkini,
manakala varian R-Line pula menampilkan prestasi yang mengujakan, karakter sporty dan penampilan yang lebih menyerlah di jalan raya. Tayron Elegance ditawarkan pada harga bermula daripada RM189,890, manakala Tayron R-Line kini tersedia untuk pratonton sahaja.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 yang bakal tiba, 69 pemilik pertama Tayron akan menikmati pakej pengenalan istimewa yang merangkumi penyelenggaraan percuma selama 7 tahun, perlindungan kemalangan diri dan kunci kereta secara percuma, serta peluang memenangi percutian mewah selama 3 hari 2 malam.

Diposisikan sebagai SUV premium dalam segmen di antara Tiguan dan Touareg, Tayron membuka lembaran baharu dalam portfolio SUV Volkswagen. SUV tujuh tempat duduk ini direka untuk mengiringi setiap fasa
kehidupan pelanggan yang sentiasa berkembang, sambil menawarkan keselesaan, teknologi canggih dan pengalaman pemanduan dinamik yang menjadi identiti jenama Volkswagen.

Sejak diperkenalkan sebagai model eksklusif untuk pasaran China pada tahun 2018, sebelum memasuki pasaran global pada tahun 2025, hampir 1.3 juta unit Tayron telah terjual di seluruh dunia.
“Dengan penambahan Tayron serba baharu dalam barisan model Volkswagen, kami memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berkembang, selari dengan perubahan gaya hidup dan jangkaan mereka terhadap sebuah kenderaan. Apabila kehidupan berubah, begitu juga keperluan dan gaya hidup mereka. Tayron serba baharu hadir untuk menemani setiap fasa kehidupan mereka,” kata Renate Noessler, Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia.

Prestasi untuk Setiap Pemanduan
Varian Elegance menyerlahkan gabungan kemewahan dan keselesaan, dilengkapi teknologi
canggih serta ciri praktikal untuk pengalaman pemanduan yang lebih sempurna.
• Kecekapan bahan api yang tinggi menerusi enjin hibrid ringan (mild hybrid) eTSI 1.5L yang menghasilkan kuasa 150PS dan tork 250Nm.
• Dilengkapi sistem pemula-penjana dipacu tali sawat 48 volt dan Active Cylinder Management (ACTplus).
Melalui ACTplus, dua daripada empat silinder enjin akan dinyahaktifkan secara automatik apabila keadaan pemanduan memerlukan, terutamanya pada beban dan kelajuan rendah hingga sederhana. Ini meningkatkan kecekapan enjin dengan memaksimumkan prestasi silinder yang aktif, manakala silinder yang dinyahaktifkan terus beroperasi dengan kehilangan tenaga yang minimum.
Kuasa tambahan daripada sistem 48 volt bertindak sebagai penggalak (booster) untuk mengoptimumkan pecutan awal enjin eTSI. Tenaga elektrik yang digunakan pula dipulihkan melalui proses pemulihan tenaga
(recuperation) ketika kenderaan memperlahankan kelajuan dan membrek. Pada masa yang sama, tenaga yang disimpan di dalam bateri membolehkan enjin dimatikan buat sementara waktu, sekali gus membolehkan kenderaan meluncur (coasting) tanpa menggunakan kuasa enjin apabila keadaan pemanduan mengizinkan. Gabungan teknologi ini memberikan kecekapan bahan api yang lebih optimum.
Bagi mereka yang menginginkan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan, Tayron R-Line menggabungkan gaya yang berani dengan prestasi yang mengagumkan.

• Enjin 2.0L TSI turbo berprestasi tinggi yang menghasilkan 265PS dan tork 400Nm.
• Sistem pacuan semua roda (AWD) 4MOTION yang memberikan cengkaman, kelincahan dan keyakinan pemanduan yang luar biasa dalam pelbagai keadaan.
Kedua-dua varian dilengkapi transmisi DSG tujuh kelajuan serta Volkswagen Dynamic Chassis Control Pro (DCC Pro), yang melaras sistem suspensi secara automatik mengikut perubahan keadaan jalan. Hasilnya, Tayron menawarkan keseimbangan ideal antara keselesaan, kestabilan dan keyakinan pemanduan.

Reka Bentuk Volkswagen Kontemporari yang Menonjol
Tayron serba baharu menampilkan bahasa reka bentuk SUV terkini Volkswagen. Bahagian hadapannya direka dengan penampilan yang lebih tinggi, menyerlahkan karakter SUV yang yakin dan berwibawa. Bonet hadapan yang lebar dengan kemasan berukir menampilkan garisan yang jelas hingga ke bahagian sisi, manakala siluetnya diperkemaskan dengan garis bumbung yang memanjang. Di bahagian belakang pula, rekaan lampu yang moden melengkapkan bampar dengan sentuhan yang bergaya.
Garisan badan yang kemas serta jarak panel badan yang rapat menyerlahkan siluet Tayron sebagai sebuah SUV yang premium dan kukuh. Setiap varian turut hadir dengan identiti reka bentuk tersendiri, sambil mengekalkan DNA reka bentuk Volkswagen yang ikonik.

Elegance:
• Lampu hadapan LED Plus dan lampu belakang 3D LED.
• Elemen reka bentuk ‘Elegance’ pada bampar hadapan dan belakang.
R-Line:
• Lampu hadapan IQ.LIGHT HD Matrix dengan teknologi lampu tinggi bebas silau (glare-free high beam) serta lampu belakang 3D LED dengan lampu isyarat membelok dinamik.
• Elemen reka bentuk ‘R-Line’ berinspirasikan prestasi pada bampar hadapan, bampar belakang dan bahagian sisi.

Kedua-dua varian menampilkan logo Volkswagen bercahaya di bahagian hadapan dan belakang. Tayron serba baharu ditawarkan dalam lima pilihan warna, termasuk dua warna baharu iaitu Nightshade Blue dan Oyster Silver, serta Dolphin Grey, Oryx White dan Grenadilla Black.

Keselesaan Premium Tanpa Kompromi
Tayron serba baharu menggabungkan keselesaan premium dengan ciri yang memenuhi keperluan harian menerusi susunan tujuh tempat duduk yang fleksibel serta ruang kargo sehingga 1,905 liter apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat.

Tempat duduk baris kedua dengan lipatan 40:20:40 dan baris ketiga dengan lipatan 50:50 membolehkan ruang kabin disesuaikan dengan mudah mengikut keperluan penumpang atau barangan. Ciri Hands-Free Tailgate pula memudahkan proses memuat dan mengeluarkan barangan.

Tempat duduk hadapan Varenna Leather ergoActive Plus dilengkapi pelarasan kuasa elektrik 12 hala, fungsi pemanas, pengudaraan serta fungsi urutan pneumatik menggunakan 10 kusyen udara dengan pilihan program
urutan selama 10 hingga 30 minit, memberikan keselesaan yang luar biasa sama ada untuk pemanduan harian mahupun perjalanan jauh.

Melengkapkan lagi pengalaman audio di dalam kabin ialah sistem audio yang ditawarkan mengikut varian. Elegance didatangkan dengan sistem audio 8 pembesar suara, manakala R-Line dilengkapi sistem audio premium Harman Kardon dengan 10 + 1 pembesar suara, subwufer khusus, kuasa output 700 watt dan penguat digital 16 saluran.
Pengalaman Digital yang Lebih Mudah
Tayron serba baharu menampilkan ekosistem digital generasi terkini Volkswagen yang direka untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih terhubung, intuitif dan menyeronokkan.
Kedua-dua varian dilengkapi stereng sport pelbagai fungsi dengan paddle shifters, manakala pemilih gear yang dipasang pada ruang stereng membantu mewujudkan konsol tengah yang lebih kemas dan praktikal.

Konsol Tengah Pelbagai Fungsi yang baharu membolehkan pemandu mengakses mod pemanduan, pencahayaan ambien dan kawalan audio dengan mudah menerusi tombol putar yang intuitif.
Kesalinghubungan turut dipertingkatkan menerusi sistem infotainmen baharu: paparan Discover bersaiz 12.9 inci bagi varian Elegance dan paparan Discover Pro Max bersaiz 15 inci bagi varian R-Line. Kedua-duanya dilengkapi perisian MIB4 serta menyokong Wireless App-Connect untuk Apple CarPlay dan Android Auto, sekali gus membolehkan integrasi telefon pintar yang lancar.

Kedua-dua varian turut dilengkapi pembantu suara IDA untuk kawalan bebas tangan, serta Digital Cockpit Pro bersaiz 10.25 inci yang menawarkan paparan instrumen beresolusi tinggi dan boleh disesuaikan sepenuhnya, membolehkan maklumat penting dipaparkan terus dalam medan penglihatan pemandu.
Bagi varian R-Line, paparan head-up turut disediakan bagi memaparkan maklumat penting seperti kelajuan, arahan navigasi dan amaran sistem bantuan pemandu terus pada cermin hadapan.

Keyakinan di Jalan Raya dengan IQ.DRIVE
Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan Volkswagen. Tayron serba baharu telah menerima penarafan keselamatan tertinggi, iaitu 5 bintang, dalam penilaian Program Penilaian Kenderaan Baharu Eropah (Euro NCAP). Model ini mencatat keputusan cemerlang menerusi standard keselamatan aktif dan pasif yang tinggi, dengan skor 87% bagi Perlindungan Penumpang Dewasa, 85% bagi Perlindungan Penumpang Kanak-kanak, 83% bagi Perlindungan Pengguna Jalan Raya yang Berisiko, dan 80% bagi Sistem Bantuan Keselamatan.

Dilengkapi rangkaian sistem bantuan pemandu termaju IQ.DRIVE terkini daripada Volkswagen, Tayron serba baharu direka untuk memberikan keyakinan, kemudahan dan ketenangan fikiran dalam setiap perjalanan. Antara ciri utama yang ditawarkan bagi kedua-dua varian ialah:
• Travel Assist dengan Adaptive Cruise Control (ACC)
• Lane Assist
• Lane Change System Side Assist.
• Rear Traffic Alert dengan Exit Warning.
• Auto Emergency Assist Front Assist dengan Pedestrian and Cyclist
Monitoring.
• Park Assist Plus dengan Park Distance Control.
• Proactive Passenger Protection System dan Emergency Assist.
• Sembilan beg udara, termasuk beg udara tengah hadapan yang inovatif, direka untuk mengembang di antara pemandu dan penumpang hadapan bagi mengurangkan risiko perlanggaran antara kedua-duanya ketika berlaku hentaman sisi yang kuat.

Driver Attention Monitor turut meningkatkan tahap keselamatan dengan memantau corak pemanduan serta memberi amaran kepada pemandu sekiranya mengesan tanda-tanda keletihan atau tahap tumpuan yang berkurangan.
Gabungan sistem pintar ini berfungsi secara lancar untuk menyokong pemandu, sekali gus menjadikan setiap perjalanan lebih selamat, selesa dan meyakinkan.
Lembaran Baharu untuk #SUVW
Sama ada varian Elegance yang mengutamakan keselesaan atau R-Line yang menampilkan prestasi lebih dinamik, Tayron serba baharu direka untuk memenuhi keperluan pelanggan masa kini yang sentiasa berkembang, sambil mengekalkan kecemerlangan kejuruteraan, inovasi dan kualiti yang menjadi identiti Volkswagen.

Tayron Elegance ditawarkan pada harga bermula daripada RM189,890. Dengan Volkswagen Assurance Package (VAP) yang merangkumi penyelenggaraan percuma selama 5 tahun, waranti pengeluar selama 5 tahun dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun, harga Tayron Elegance termasuk VAP bermula daripada RM199,990. Tayron R-Line kini tersedia untuk pratonton sahaja, dengan harga anggaran antara RM259,000 - RM269,000.




















Komen