Volvo Car Malaysia Raih Grand Effie, Brand of the Year dan Anugerah Emas di Effie Awards 2026

Volvo Car Malaysia mencipta sejarah di Malaysia Effie Awards 2026 selepas membawa pulang tiga pengiktirafan utama, iaitu Grand Effie, Brand of the Year dan Gold menerusi kempen Selamat is Volvo.
Pencapaian itu turut menjadikan Volvo sebagai jenama automotif pertama dalam sejarah Malaysia Effie Awards yang berjaya meraih anugerah Gold. Kejayaan tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan Volvo Car Malaysia sebagai antara jenama yang mencatat pencapaian besar dalam keberkesanan pemasaran dan hubungan dengan pengguna di Malaysia.
Pada malam anugerah berkenaan, Volvo Car Malaysia meraih:
Grand Effie: Selamat is Volvo
Brand of the Year: Volvo
Gold: David vs. Goliath (Situational)
Bronze: Automotive - Vehicles
Finalist: Multicultural - Products
Kemenangan tersebut melengkapkan minggu yang cukup penting buat Volvo Car Malaysia, yang turut menyaksikan pelancaran evolusi SUV keluarga utamanya, Volvo EX90.

Mendefinisikan Semula Keselamatan Automotif Menerusi Selamat
Kempen Selamat is Volvo yang diperkenalkan pada awal tahun ini mengambil pendekatan luar biasa dalam mengetengahkan mesej keselamatan.
Volvo terlebih dahulu mencetuskan persoalan dalam kalangan orang ramai dengan memperkenalkan Selamat seolah-olah ia merupakan sebuah jenama kereta baharu. Identiti misteri itu kemudiannya diperkuatkan menerusi pelekat penyamaran, paparan luar digital dan perbualan yang semakin hangat di media sosial.

Namun, persoalan tersebut akhirnya terjawab apabila Volvo mendedahkan bahawa Selamat sebenarnya merupakan kempen yang dibangunkan untuk memperbaharui janji keselamatan Volvo kepada rakyat Malaysia, selepas lebih 60 tahun menjadikan keselamatan sebagai sebahagian daripada identiti jenama.
Patricia Yaw, Pengarah Jualan & Pemasaran Volvo Car Malaysia berkata: "Dalam pasaran yang sangat kompetitif di mana setiap jenama melaungkan kehebatan teknologi masing-masing, nilai keselamatan berisiko menjadi sekadar 'satu lagi ciri' — sering disebut, tapi jarang benar-benar dirasai. Objektif Selamat bukanlah sekadar untuk mencetuskan sebutan ramai, tetapi ia adalah usaha untuk meletakkan kembali nyawa manusia sebagai nadi utama mobiliti. Menerima pengiktirafan setinggi ini daripada Effies adalah satu penghormatan yang sangat besar. Ia membuktikan bahawa apabila kita mendekati penonton dengan empati, hubungan emosi itu akan secara semula jadi bertukar menjadi satu impak yang bermakna dan berpanjangan."
Pemilihan nama Selamat juga bukan dibuat secara kebetulan. Perkataan tersebut sudah sebati dengan kehidupan seharian rakyat Malaysia dan digunakan dalam pelbagai ucapan seperti Selamat Pagi serta Selamat Jalan. Malah, perkataan Selamat disebut lebih 650 juta kali di seluruh negara, menjadikannya satu perkataan yang mudah dikenali dan difahami secara universal.
Kempen tersebut kemudiannya mengaitkan makna Selamat dengan isu keselamatan jalan raya di Malaysia, khususnya apabila kemalangan jalan raya masih menjadi antara punca utama kematian dalam kalangan golongan muda.
Melalui pendekatan ini, Volvo mahu mengubah cara masyarakat melihat keselamatan. Ia bukan sekadar mengenai keadaan apabila perjalanan berjalan seperti biasa, tetapi mengenai tahap perlindungan yang tersedia apabila sesuatu berlaku di luar jangkaan.
Walaupun aspek keselamatan sering digunakan sebagai mesej oleh pelbagai jenama automotif, Volvo mempunyai sejarah selama 99 tahun dalam membangunkan teknologi dan reputasi berkaitan keselamatan.
Daripada mengetengahkan senarai ciri atau istilah teknikal semata-mata, kempen ini memilih untuk menghubungkan keselamatan dengan pengalaman serta realiti kehidupan manusia. Pendekatan tersebut menghasilkan respons sebanyak 90.8%, sekali gus mengukuhkan hubungan antara nama Selamat dengan Volvo.
Mesej yang dibawa kempen ini akhirnya cukup jelas: Selamat itu Volvo, dan Volvo itu Selamat. Dengan meletakkan konsep perlindungan sebagai satu nilai yang dekat dengan kehidupan masyarakat, kempen tersebut turut mengangkat isu keselamatan jalan raya daripada sekadar soal pematuhan peraturan kepada satu nilai yang boleh dikongsi bersama sebagai budaya masyarakat Malaysia.
Sebuah Kemenangan Bersama
Di sebalik kejayaan Selamat is Volvo, kempen tersebut turut melibatkan kerjasama antara Volvo Car Malaysia dan beberapa rakan agensi, termasuk Invictus Blue, Grey Malaysia, Dox Digital, LAB Activations, Directors Think Tank dan Live Experience.
Graham Drew, Ketua Pegawai Kreatif Grey Malaysia berkata: "Matlamat kreatif kami adalah untuk menjadikan 'Selamat' dan Volvo itu satu entiti yang tidak boleh dipisahkan. Selamat ialah perkataan yang sememangnya diketahui, digunakan, dan difahami secara naluri oleh rakyat Malaysia, manakala Volvo pula telah meluangkan masa berdekad-dekad untuk membina imej keselamatannya. Ideanya adalah untuk menggabungkan kedua-dua fakta ini dalam cara yang ringkas, mengejutkan, dan relevan dengan budaya kita — supaya pada akhirnya, Selamat itu Volvo, dan Volvo itu Selamat."
Dari sudut strategi, Jo Yau, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Invictus Blue berkata: "Peranan kami adalah untuk mengambil idea kreatif yang hebat itu dan mengembangkannya secara strategik supaya penonton boleh menemuinya, berinteraksi, dan akhirnya bercakap tentangnya. Kami merancang pengaktifan media berdasarkan rasa ingin tahu dan perbualan, menggunakan kandungan, pencipta kandungan, serta pempengaruh untuk membina rasa ingin tahu tentang Selamat sebelum mengaitkannya kembali dengan Volvo. Dengan menggabungkan media, kandungan dan budaya, kami berjaya menjadikan idea ini sebagai perbualan yang tersebar secara organik, sekaligus meningkatkan kepopularan jenama ini.”
Strategi tersebut tidak hanya tertumpu kepada platform digital, sebaliknya turut diterapkan melalui pengalaman fizikal supaya mesej yang ingin disampaikan dapat dirasai sendiri oleh orang ramai.
Ian Lim dari LAB Activations berkata: "Keselamatan selalunya kedengaran sekadar teori di atas kertas—sehinggalah anda melihatnya, menyentuhnya, dan merasainya sendiri. Daripada konvoi kereta penyamaran misteri yang mencuri tumpuan di seluruh Kuala Lumpur, sehinggalah kepada ketepatan pemanduan Selamat Driving Experience di Sepang dan realiti visual menggerunkan menerusi pameran sebuah Volvo XC90 yang remuk teruk akibat kemalangan, matlamat kami adalah untuk menjadikan perlindungan itu sesuatu yang boleh dirasai. Sebaik sahaja pemandu merasai sendiri tahap keselamatan tersebut di dunia nyata, Erti Sebenar Selamat tidak lagi perlu diterangkan, ia terus dirasai dari sudut emosi dan fizikal."
Antara aktivasi yang dijalankan termasuk konvoi kenderaan penyamaran di sekitar Kuala Lumpur, Selamat Driving Experience di Sepang serta pameran Volvo XC90 yang mengalami kerosakan teruk akibat kemalangan. Kesemua pengalaman tersebut direka untuk menerjemahkan konsep keselamatan daripada sesuatu yang hanya didengar kepada sesuatu yang boleh dilihat dan dialami sendiri.
Dalam ruang digital pula, kempen ini menggunakan pendekatan berasaskan rasa ingin tahu bagi memastikan perbualan mengenai Selamat terus berkembang.
Razlan Rahman dari Dox Digital berkata: "Dalam persekitaran digital di mana penonton pantas melangkau mesej-mesej jenama, fokus kami adalah untuk memupuk rasa tertanya-tanya yang sebenar. Kami mahu memacu perdebatan organik dan dialog komuniti berkenaan Selamat. Mewujudkan perbualan digital merupakan salah satu pendorong utama yang membantu mengubah kempen produk menjadi satu fenomena budaya yang berpanjangan."
Dengan kejayaan merangkul Grand Effie, kempen Selamat is Volvo kini berpotensi untuk dibawa ke peringkat global. Kemenangan tersebut membuka ruang untuk kempen berkenaan dipertimbangkan di pentas antarabangsa, sekali gus membawa tafsiran unik rakyat Malaysia mengenai maksud perlindungan kepada audiens global.
Volvo Car Malaysia juga akan meneruskan Selamat sebagai platform jangka panjang jenama pada masa hadapan. Ini termasuk lebih banyak inisiatif pendidikan, pengalaman acara imersif serta kempen berteraskan matlamat yang memberi tumpuan kepada mobiliti lebih selamat dan kesejahteraan komuniti di seluruh negara.




















Komen