Aveta Jadikan Perjalanan Harian Lebih Selamat, Pintar dan Bergaya dengan Nova 160 Signature Edition
- Anna Chong

- 5 Nov
- 2 min membaca

Aveta Malaysia, salah satu jenama motosikal tempatan yang terkemuka di Malaysia, telah melancarkan Nova 160 Signature Edition (SE), versi skuter Nova 160 popularnya yang telah dinaik taraf. Model terbaharu kini dilengkapi dengan Sistem Brek AntiKunci (ABS) DwiSaluran dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) untuk meningkatkan keselamatan dan kestabilan menunggang dalam perjalanan setiap hari.

Naik taraf terkini mematuhi peraturan baharu Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang mewajibkan penggunaan ABS bagi semua motosikal berkuasa lebih daripada 150 cc mulai 2025 — satu langkah penting untuk meningkatkan piawaian keselamatan negara bagi penunggang motosikal.
“Pelancaran Nova 160 Signature Edition mencerminkan kesediaan Aveta untuk memenuhi keperluan MOT dan komitmen kami untuk mengutamakan keselamatan penunggang motosikal,” kata Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia. “Dalam usaha memenuhi syarat-syarat peraturan yang lebih ketat, kami terus memberi tumpuan menawarkan kelebihan teknologi canggih dan penampilan bergaya pada harga mampu milik.”

Nova 160 Signature Edition menggabungkan prestasi yang diyakini dengan sistem keselamatan dinaik taraf dan gaya serba baharu untuk memenuhi keperluan para penunggang bandar moden. Penggunaan ABS DwiSaluran dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) menambah baik pengendalian dan kestabilan di atas jalan basah atau tidak rata, memberikan tahap ketenangan fikiran lebih tinggi kepada penunggang motosikal masa kini. Sementara itu, reka bentuk pelekat baharu dengan tiga pilihan warna menarik — Teal Green (Hijau Teal), Copper Blaze (Tembaga Bersinar) dan Dark Blue (Biru Pekat) — menjadikanya lebih dinamik dan bergaya sukan.
Dari segi enjin, Nova 160 Signature Edition, mengekalkan kuasa 160cc dengan prestasi dan kebolehpercayaan terbukti yang menjadikan Nova 160 motosikal kegemaran penunggang Malaysia sejak dilancarkan awal tahun ini. Berpegang pada falsafah “mampu milik” Aveta, model dinaik taraf ini terus menyediakan tahap keselamatan lebih tinggi dan penampilan bergaya pada harga yang sangat berpatutan.
“Model terkini Aveta sejajar dengan inisiatif ini, memaparkan kesediaan jenama untuk mematuhi piawaian keselamatan yang kian berubah sambil mengekalkan ciri mampu milik yang menjadi falsafah utamanya,” tambah Steven. “Nova 160 Signature Edition merupakan komitmen berterusan kami untuk memastikan ciri-ciri keselamatan lanjutan boleh dinikmati oleh semua penunggang motosikal. Kami telah mereka bentuk versi dinaik taraf ini berasaskan maklum balas pengguna, dengan tumpuan terhadap ciri-ciri yang paling dihargai oleh penunggang Malaysia — keselamatan, sifat praktikal dan gaya.”

Nova 160 Signature Edition boleh dimiliki pada harga tawaran RM8,088.00 (sah sehingga Disember 2025), dan selepas itu akan dijual pada harga biasa RM8,388.00. Harga yang dinyatakan tidak termasuk insurans dan cukai jalan — nilai hebat bagi skuter dilengkapi ABS dwisaluran dengan fungsi kawalan cengkaman.

Model baharu ini boleh didapati di semua pengedar sah Aveta di seluruh negara mulai minggu depan, menawarkan pengalaman menunggang motosikal yang lebih selamat, pintar dan bergaya di Malaysia pada harga mampu milik.






































Komen