Chery Malaysia Pacu Bintang Badminton Masa Hadapan sebagai Rakan Pembentang Lee Chong Wei Cup dengan Jumlah Hadiah RM100,000


Chery Malaysia kini membuat persiapan bagi Lee Chong Wei Cup (LCWC), pertandingan badminton belia sulung yang dijadualkan berlangsung dari 29 Ogos hingga 6 September 2026 di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
LCWC merupakan cetusan idea legenda badminton Malaysia, Dato’ Seri (Dr.) Lee Chong Wei, yang selepas melalui kerjaya gemilang dan menjadi inspirasi kepada generasi rakyat Malaysia, kini memberi tumpuan untuk menyumbang kembali kepada sukan yang telah membentuk perjalanan hidupnya.
“Acara ini semakin menghampiri tarikhnya, dan saya tidak sabar untuk menyaksikan bakat-bakat muda yang akan dipamerkan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan pembentang kami, Chery, kerana membantu merealisasikan visi saya,” kata Chong Wei pada majlis pengumuman kerjasama penajaan baru-baru ini.
Chong Wei, yang secara meluas dianggap sebagai salah seorang ikon sukan terhebat Malaysia, merupakan pemenang tiga pingat perak Olimpik dan pernah menduduki ranking No. 1 dunia selama 349 minggu, satu rekod yang mengagumkan.
Di luar pencapaiannya di gelanggang, LCWC menyerlahkan semangat berterusan beliau dalam membimbing generasi juara masa hadapan serta memajukan pembangunan badminton akar umbi di seluruh negara. “Bagi Chery, menyokong Lee Chong Wei Cup bukan sekadar mengenai penajaan. Ia merupakan satu peluang untuk memperkasakan bakat muda Malaysia, memberi inspirasi kepada bakal juara dan memberikan sumbangan positif kepada komuniti yang kami berkhidmat.”

“Badminton dekat di hati ramai rakyat Malaysia, dan semangat dalam sukan ini mencerminkan nilai-nilai yang kami pegang sebagai sebuah jenama: disiplin, keazaman dan ketekunan. Menerusi kerjasama ini, kami berharap dapat menggalakkan generasi seterusnya untuk berani mengimpikan kejayaan yang lebih besar, melampaui batas kemampuan mereka dan sentiasa berusaha mencapai yang terbaik,” kata Men Lin Bo, Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia.
Setakat ini, lebih daripada 2,000 pemain telah mendaftar untuk menyertai kejohanan tersebut. Para pemenang turut berpeluang untuk menjalani sesi pemilihan bersama pasukan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Chong Wei turut memperkenalkan trofi kejohanan serta pingat bagi setiap kategori. Trofi buatan tangan yang direka berteraskan tema “Journey Towards Greatness & Inspiring Champions” ini melambangkan keazaman, disiplin dan ketahanan yang menjadi tunjang kepada perjalanan Chong Wei hingga ke puncak dunia badminton. Reka bentuknya yang dinamik, bersama bulu tangkis yang menghala ke atas, melambangkan ketepatan dalam sukan badminton serta aspirasi generasi juara masa hadapan.
Lebih daripada sekadar simbol kemenangan, trofi ini menjadi sumber inspirasi kepada para pemain muda untuk berani mengimpikan kejayaan, bertanding dengan penuh semangat kesukanan dan mengejar kecemerlangan dalam perjalanan sukan mereka. Dengan ketinggian 60 cm dan berat kira-kira 12.5 kg, trofi ini diperbuat daripada loyang gred premium dengan kemasan saduran emas yang mewah, serta diletakkan di atas tapak kayu jati padu. Setiap elemennya direka dengan teliti bagi melambangkan prestij, hasil pertukangan yang luar biasa serta semangat kecemerlangan badminton Malaysia.
Edisi sulung LCWC akan mempertandingkan tiga kategori umur, iaitu Bawah 13 Tahun, Bawah 15 Tahun dan Bawah 17 Tahun, merangkumi kesemua lima disiplin badminton: Boys' Singles, Girls' Singles, Boys' Doubles, Girls' Doubles and Mixed Doubles.
Kejohanan ini turut memperkenalkan sistem pemarkahan 15x3, yang akan digunakan secara rasmi dalam BWF World Tour mulai tahun hadapan. Dipertandingkan dalam format kalah mati, edisi sulung ini menawarkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM100,000, menjadikannya antara kejohanan badminton belia paling lumayan di Malaysia.
Selain pertandingan, LCWC turut memberi penekanan kepada impak sosial menerusi inisiatif ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus), termasuk mengitar semula raket dan bulu tangkis terpakai, mengadakan klinik badminton di sekolah-sekolah luar bandar, serta meningkatkan kesedaran mengenai anti-buli dan ikrar sukan selamat.




















Komen