Filem TERBANG Hidupkan Kembali Legasi Rali PROTON
Updated: 5 Okt

PROTON baru-baru ini menghimpunkan para pelanggan, pemegang taruh kerajaan serta barisan pengurusan syarikat bagi meraikan Hari Malaysia menerusi tayangan khas filem terbaharu Astro Shaw, TERBANG. Dalam filem berkenaan, PROTON turut memainkan peranan penting dengan memberikan sokongan melalui penggunaan jentera rali miliknya yang dipaparkan dalam beberapa babak sepanjang filem tersebut.

TERBANG mengangkat kisah Ajeet, seorang pelumba rali berbakat yang berdepan trauma selepas mengalami kemalangan ngeri sehingga membuatkan dirinya menjauhkan diri daripada dunia sukan permotoran. Dengan dorongan daripada rakan-rakannya, Ajeet cuba mengatasi ketakutan serta pelbagai cabaran sebelum kembali ke litar demi merealisasikan impiannya untuk mengharumkan nama Malaysia.
Jalan cerita filem ini mendapat inspirasi daripada perjalanan kerjaya pelumba rali negara, Karamjit Singh, yang pernah dinobatkan sebagai Juara FIA Production World Rally 2002, Juara FIA Asia-Pacific Rally sebanyak empat kali dan Juara Rali Kebangsaan Malaysia sebanyak 11 kali. Kisah tersebut turut diinspirasikan oleh kejayaan Karamjit ketika beliau menjadi sebahagian daripada pasukan rali PROTON yang menerima sokongan penuh daripada pengeluar.
Kisah yang Berteraskan Legasi Sukan Permotoran PROTON
Penglibatan PROTON dalam TERBANG bukan hanya tertumpu kepada paparan jenama dalam filem. Syarikat turut menyediakan sebuah jentera rali PERT bersejarah miliknya, di samping menggunakan kemudahan litar ujian dan garaj bagi menyokong penggambaran beberapa babak penting dalam filem tersebut.

Dalam masa yang sama, Proton e.MAS tampil sebagai Rakan Mobiliti Rasmi bagi TERBANG X STING EV Road Trip, iaitu sebuah kempen promosi yang dianjurkan bersempena dengan pelancaran filem berkenaan.
Menerusi kempen ini, Proton e.MAS turut menyokong penganjuran siri jelajah jalan raya serta sesi pertemuan eksklusif bersama barisan pelakon TERBANG di beberapa lokasi termasuk Melaka dan Johor Bahru, selain melibatkan komuniti Proton e.MAS serta pemilik kenderaan elektrik (EV).
Sejarah kejayaan PROTON dalam arena sukan permotoran turut menjadi salah satu asas dunia sebenar yang mengilhamkan kisah TERBANG. Pencapaian pasukan PROTON bersama Karamjit Singh dalam pelbagai kejuaraan bukan sahaja menjadi inspirasi kepada jalan cerita filem, malah turut membantu membentuk serta mengembangkan watak-watak yang diketengahkan.
Menghidupkan Kembali Era Kegemilangan Sukan Permotoran Malaysia
Meskipun PROTON kini tidak lagi terlibat secara aktif dalam sukan permotoran, syarikat itu mempunyai sejarah panjang dalam arena tersebut, termasuk menyertai dan mencatat kejayaan dalam pelbagai kejohanan di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa.

Mengulas mengenai tayangan perdana filem berkenaan, Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, berkata TERBANG menjadi satu detik yang membanggakan dalam legasi sukan permotoran syarikat, selain membuka peluang untuk memperkenalkan sejarah tersebut kepada generasi muda.
“Bagi PROTON, filem ini merupakan satu penghargaan kepada era kegemilangan sukan permotoran Malaysia yang dibina hasil usaha dan dedikasi jurutera, mekanik serta pelumba kami. Jentera seperti Proton Wira 4WD dan pasukan PERT telah membawa nama PROTON ke pentas dunia ketika Karamjit Singh mencipta kejayaan dalam pelbagai kejuaraan, dan filem ini menghidupkan kembali semangat kecekalan, kerja berpasukan serta kebanggaan negara untuk dikongsi bersama generasi baharu.
“Kami amat berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dalam projek ini dan gembira melihat jenama serta sejarah PROTON dipaparkan seiring dengan pencapaian salah seorang wira sukan permotoran terhebat negara.”




















Komen