top of page

Hyundai Motor Malaysia Bawa Prestasi Elektrik Bertaraf Dunia ke KLIMS 2026, Lancar IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 22 Jun
  • 5 min membaca

Hyundai IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N

Hyundai Motor Malaysia mencipta satu lagi pencapaian penting di Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 menerusi pelancaran rasmi IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N, sekali gus membawa prestasi kenderaan elektrik bertaraf dunia ke jalan raya Malaysia buat julung kalinya.


“Rakyat Malaysia sentiasa mempunyai minat yang mendalam terhadap pemanduan. Di KLIMS 2026, kami berbangga dapat merealisasikan minat itu dengan memperkenalkan sesuatu yang benar-benar istimewa. Hyundai IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N membuktikan bahawa kenderaan elektrik berprestasi tinggi bukan sahaja mampu memberikan keseronokan pemanduan, malah menawarkan pengalaman yang lebih mengujakan. Sebaik sahaja pelanggan berada di sebalik stereng, mereka akan memahami maksud sebenar slogan ‘Never Just Drive’ bersama Hyundai N – kerana setiap saat di belakang stereng adalah satu pengalaman yang menyeronokkan,” kata Jahabarnisa Haja Mohideen, Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia.


Hyundai IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N

Dilahirkan di Namyang. Dipertingkatkan di Nürburgring. Kini Dilancarkan di Malaysia. 

Hyundai N ialah sub-jenama berprestasi tinggi milik Hyundai Motor Company yang dibangunkan berasaskan satu falsafah utama: Never Just Drive. Lebih daripada sekadar satu lencana, Hyundai N menggabungkan kuasa, teknologi canggih dan kejuruteraan berprestasi tinggi yang dibina berasaskan tiga tunjang utama N Feeling:


  1. Corner Rascal

    Model Hyundai N direka untuk menguasai setiap selekoh. Dengan keseimbangan casis yang optimum dan tindak balas stereng yang tepat, ia sentiasa mengikut kehendak pemandu. Teknologi canggih Hyundai N turut membantu meningkatkan kemahiran pemanduan dari satu selekoh ke selekoh yang lain.

  2. Everyday Sports Car

    Teknologi Hyundai N membolehkan karakter kenderaan berubah mengikut keperluan. Ia mampu menjadi jentera berprestasi tinggi di litar, namun pada masa yang sama kekal selesa dan praktikal untuk kegunaan harian.

  3. Race Track Capability

    Direka untuk terus beraksi di litar tanpa memerlukan sebarang pengubahsuaian tambahan. Bukan sekadar menawarkan ketahanan dan daya tahan yang tinggi, setiap model Hyundai N dibangunkan untuk memberikan keseronokan maksimum ketika dipandu di litar.


Hyundai IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N

DNA prestasi Hyundai N lahir daripada pengalaman luas jenama itu dalam World Rally Championship (WRC), di mana falsafah kejuruteraan yang sama digunakan untuk menakluk laluan rali di permukaan kerikil dan asfalt turut diterapkan pada setiap model jalan raya yang membawa lencana N.


Setiap model Hyundai N dibangunkan di Pusat Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Namyang di Korea Selatan, sebelum menjalani ujian ketat di litar legenda Nürburgring Nordschleife sepanjang 20.8 km – medan ujian paling mencabar bagi mana-mana kenderaan yang menggelarkan dirinya sebagai jentera berprestasi tinggi.


Kehadiran IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N di Malaysia menandakan lembaran baharu buat Hyundai Motor Malaysia, sekali gus memperkenalkan satu kelas baharu EV berprestasi tinggi kepada pasaran tempatan. Kedua-dua model ini menawarkan gabungan pengalaman pemanduan yang diinspirasikan daripada litar perlumbaan tanpa mengorbankan keselesaan dan kepraktisan untuk kegunaan harian.


Hyundai IONIQ 5 N

IONIQ 5 N: Crossover Berprestasi yang Sedia untuk Litar 

IONIQ 5 N membuktikan bahawa kenderaan elektrik mampu menawarkan pengalaman pemanduan yang mengujakan dan penuh emosi. Dinobatkan sebagai 2024 World Performance Car, model ini dibangunkan khusus untuk peminat pemanduan, dengan casis yang ditala untuk prestasi litar serta pelbagai teknologi eksklusif Hyundai N yang meniru karakter sebuah jentera berprestasi tinggi berenjin pembakaran dalaman. Dengan kuasa maksimum 650PS menerusi fungsi N Grin Boost, IONIQ 5 N mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 3.4 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 260 km/j. Pada masa yang sama, ia masih menawarkan jarak pemanduan WLTP sehingga 448 km, menjadikannya sebuah EV berprestasi tinggi yang kekal praktikal untuk kegunaan harian.


Hyundai IONIQ 5 N

Model ini turut menampilkan jarak roda 3,000 mm, memberikan ruang kabin yang luas tanpa menjejaskan prestasi. Hasilnya, IONIQ 5 N bukan sahaja sesuai untuk pemanduan di litar, malah cukup praktikal untuk membawa seluruh keluarga dalam perjalanan harian atau jarak jauh.


Antara teknologi eksklusif Hyundai N yang ditawarkan ialah N e-Shift, sistem EV pertama di dunia yang mensimulasikan pengalaman pertukaran gear transmisi klac berkembar (DCT) lapan kelajuan, selain N Active Sound+ (NAS+), N Drift Optimiser, N Grin Boost (NGB), N Torque Distribution (NTD) dan N Launch Control, yang bersama-sama memberikan pengalaman pemanduan lebih dinamik, responsif dan mengujakan.


IONIQ 5 N kini dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada harga runcit RM443,888. Model ini ditawarkan secara tempahan binaan mengikut pesanan (built-to-order), bagi memastikan setiap pelanggan menikmati tahap eksklusiviti dan ketelitian yang tinggi.


Hyundai IONIQ 6 N

IONIQ 6 N: Sedan Supercar yang Tampil Sederhana 

Dibangunkan berasaskan platform aerodinamik IONIQ 6 Streamliner dan dinobatkan sebagai 2026 World Performance Car, IONIQ 6 N membawa falsafah Hyundai N ke tahap yang lebih tinggi. Dengan pekali seretan (drag coefficient) hanya 0.27 Cd, sedan berprestasi ini menawarkan karakter yang lebih agresif dan fokus kepada ketepatan pengendalian. Hasilnya, ia bukan sahaja cemerlang ketika melayan selekoh, malah kekal selesa dan praktikal untuk pemanduan harian di bandar.


Dengan kuasa 650PS menerusi fungsi N Grin Boost, IONIQ 6 N mampu memecut dari 0–100 km/j dalam hanya 3.2 saat dan mencapai kelajuan maksimum 257 km/j. Prestasi ini disokong oleh jarak pemanduan WLTP sehingga 487 km, selain dilengkapi Suspensi Kawalan Elektronik (Electronically Controlled Suspension, ECS) dengan teknologi stroke-sensing, yang turut digunakan pada IONIQ 5 N, bagi memberikan pengendalian yang lebih tepat serta kestabilan yang lebih baik.


IONIQ 6 N kini dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada harga runcit RM449,888. Seperti IONIQ 5 N, model ini turut ditawarkan secara tempahan binaan mengikut pesann (built-to-order) bagi memastikan tahap eksklusiviti kepada setiap pelanggan.


Hyundai IONIQ 6 N

Tempahan boleh dibuat menerusi pengedar sah Hyundai N iaitu Sime Darby Auto Hyundai Sdn. Bhd. (Selangor/Kuala Lumpur), Goh Brothers Motor Sdn. Bhd. (Pulau Pinang) dan Heng Lian Enterprise Bhd. (Kuching). Hyundai Motor Malaysia turut memaklumkan bahawa lebih banyak lokasi pengedar akan diumumkan dalam masa terdekat


Sepanjang KLIMS 2026, Hyundai Motor Malaysia telah mengalu-alukan peminat automotif, pelanggan setia dan orang ramai untuk mengunjungi reruainya di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur. Pengunjung berpeluang melihat barisan penuh model Hyundai termasuk TUCSON, SANTA FE, STARIA serta model Hyundai N, di samping menikmati sesi pandu uji yang disediakan.


Bagi memeriahkan lagi pengalaman di reruai, Hyundai turut menganjurkan pelbagai aktiviti interaktif bertemakan bola sepak, termasuk permainan PlayStation 5 dan aktiviti menarik lain yang memberi peluang kepada pengunjung memenangi barangan eksklusif Hyundai.


Hyundai  KLIMS 2026

Jelajah Trofi Hyundai Cup™ Singgah di Malaysia 

Sebagai antara tarikan utama sepanjang KLIMS 2026, Trofi Hyundai Cup™ telah dipamerkan di reruai Hyundai Motor Malaysia dari 12 hingga 15 Jun 2026. Pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat trofi ikonik itu sebagai sebahagian daripada sambutan 30 tahun bola sepak ASEAN.


Jelajah Hyundai Cup™ Trophy Tour memulakan siri jelajah serantaunya di Thailand pada 25 Mac 2026, sebelum singgah di Malaysia dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Indonesia dalam beberapa bulan berikutnya sebagai persediaan menjelang Hyundai Cup™ 2026.


Hyundai KLIMS 2026

Promosi Hyundai Jun: Pandu Lebih, Jimat Lebih 

Selain pelancaran model berprestasi tinggi Hyundai N dan pelbagai aktiviti yang berlangsung di KLIMS 2026, pelanggan turut berpeluang menikmati tawaran istimewa sepanjang 1 hingga 30 Jun 2026. Menerusi kempen ini, Hyundai Motor Malaysia menawarkan pakej promosi eksklusif untuk keseluruhan barisan modelnya, termasuk SANTA FE, TUCSON dan STARIA. Tawaran tersebut disediakan di semua pengedar sah Hyundai di seluruh negara serta di reruai Hyundai sepanjang KLIMS 2026, memberi peluang kepada pelanggan memiliki model idaman dengan penjimatan yang lebih menarik.


Hyundai  KLIMS 2026

Pelanggan boleh memilih salah satu daripada dua pakej promosi berikut bagi setiap pembelian kenderaan Hyundai:

  • Total Drive Reward – Rebat tunai sehingga RM31,800, disertakan dengan 8 kali servis berkala percuma serta subsidi bahan api sehingga RM5,000 untuk model terpilih; atau

  • Instant Saving – Diskaun tunai serta-merta sehingga RM36,000 daripada harga jualan runcit yang disyorkan (RRP), termasuk nilai bersamaan 8 baucar servis percuma.


Bagi stok Tahun Pembuatan 2025, tawaran mengikut model adalah seperti berikut:

  • SANTA FE – Rebat tunai sehingga RM31,000 (Total Drive Reward) atau Instant Saving sehingga RM35,000.

  • TUCSON – Rebat tunai sehingga RM31,800 (Total Drive Reward) atau Instant Saving sehingga RM36,000.

  • STARIA – Rebat tunai sehingga RM20,000 bersama subsidi bahan api sehingga RM5,000 (Total Drive Reward) atau Instant Saving sehingga RM31,000.


Bagi stok Tahun Pembuatan 2026, varian terpilih SANTA FE dan STARIA turut layak menikmati subsidi bahan api atau Instant Saving sehingga RM5,000.



Komen


ADVERTISEMENT

KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page