JETOUR Melantik Mohd Azhar Untuk Memacu Peluasan Jualan Di Malaysia
- Anna Chong

- 22 Okt
- 2 min membaca

JETOUR Malaysia telah mengumumkan pelantikan Mohd Azhar Bin Mustaffa Kamal sebagai Pengarah Jualan, yang akan memimpin pertumbuhan jualan di seluruh negara, peluasan rangkaian pengedar serta memperkukuh strategi penglibatan pelanggan. Dengan lebih dua dekad pengalaman dalam industri automotif, Mohd. Azhar dikenali sebagai tokoh yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem pengedar, meningkatkan kecekapan operasi jualan serta memperbaharui pengalaman pelanggan — menjadikannya aset utama dalam perkembangan JETOUR di Malaysia.
Pelantikan Mohd Azhar dibuat pada saat penting ketika JETOUR giat memperluaskan kehadirannya di Malaysia susulan pelancaran operasi pemasangan tempatan yang bermula pada Jun 2025. Dalam tempoh hanya tiga bulan, lebih 1,000 kenderaan telah diserahkan kepada pelanggan dan lebih 2,000 tempahan diterima – satu petanda jelas terhadap permintaan kukuh bagi rangkaian SUV jenama ini. Rangkaian pengedar JETOUR turut berkembang kepada 20 pengedar sah di seluruh negara, dengan sasaran mencapai 30 cawangan menjelang akhir tahun. Pelantikan ini menandakan tekad JETOUR untuk terus memperluas bahagian pasaran sambil membina asas pertumbuhan yang mampan dalam salah satu sektor automotif paling kompetitif di Malaysia.
Encik Fu Yong, Ketua Pegawai Eksekutif JETOUR Malaysia berkata, “Pelantikan Mohd Azhar merupakan langkah strategik bagi JETOUR Malaysia. Beliau dikenali sebagai pemimpin berwawasan yang menggabungkan strategi jangka panjang dengan penglibatan langsung serta kepimpinan melalui kerjasama, ketahanan dan inovasi. Dengan Mohd Azhar menerajui operasi jualan, jenama ini berada dalam kedudukan kukuh untuk meningkatkan pertumbuhan, memperluas bahagian pasaran dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pesaing utama dalam segmen SUV di Malaysia.”
Sepanjang 20 tahun penglibatannya dalam industri automotif Malaysia, Mohd Azhar telah membina reputasi sebagai peneraju yang berjaya mencapai prestasi jualan yang konsisten, di samping membangunkan rangkaian pengedar yang berdaya saing serta mengekalkan standard perkhidmatan bertaraf tinggi. Di sebalik angka dan kejayaan tersebut, beliau turut diiktiraf kerana membawa pendekatan baharu dalam membina hubungan pelanggan menerusi inisiatif yang memperkukuh kesetiaan terhadap jenama dan menambah nilai kepada pengalaman pemilikan. Bagi Mohd Azhar, pembelian kenderaan bukan sekadar soal mobiliti, tetapi lambang gaya hidup dan rasa bangga menjadi sebahagian daripada jenama yang diyakini.
Mohd Azhar berkata, “Bagi saya, kepimpinan ialah tentang memperkasakan orang lain untuk mencapai kejayaan. Saya mahu melihat JETOUR Malaysia dikenali bukan sekadar melalui kenderaan yang kami hasilkan, tetapi juga melalui kepercayaan, inovasi dan nilai yang kami berikan kepada setiap pelanggan dan rakan niaga. Lebih daripada sekadar menjual kenderaan, ia adalah tentang membina hubungan yang bermakna dan berkekalan.”
Sejak memegang jawatan tersebut, Mohd Azhar telah merangka pelan hala tuju strategik yang memberi tumpuan kepada peluasan rangkaian jualan dan perkhidmatan JETOUR di seluruh negara bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat. Beliau turut menekankan usaha memperkukuh kesetiaan pelanggan melalui program pemilikan, inovasi selepas jualan dan perkhidmatan nilai tambah, di samping memperkukuh kedudukan JETOUR sebagai jenama berasaskan gaya hidup yang seiring dengan falsafah globalnya, “Travel+”. Visi ini mencerminkan tekad Mohd Azhar untuk meletakkan JETOUR sebagai jenama dipercayai bagi keluarga moden dan individu yang menghargai keseimbangan antara teknologi, keselesaan dan nilai.
Encik Fu Yong turut menambah, “Kepimpinan Mohd Azhar menjadi contoh bagaimana hala tuju yang mantap dan berwawasan boleh mengubah sebuah jenama baharu menjadi entiti yang kukuh dan berdaya tahan dalam landskap automotif masa kini.”




















Komen