Mazda CX-60 Baharu , Keanggunan Yang Menjadi Peneraju
- Anna Chong

- 7 jam lalu
- 7 min membaca

Bermaz Motor memperkenalkan Mazda CX-60 3.3L MHEV baharu, sekali gus memperluaskan kehadiran model ini di Malaysia selepas pelancaran varian 2.5L yang berjaya pada September 2025.
Sebagai model pertama Mazda yang dibangunkan di bawah platform Large Product Group, CX-60 terus mencerminkan hala tuju premium jenama ini dengan menggabungkan prestasi pemanduan yang lebih mantap, kecekapan alam sekitar yang dipertingkatkan, serta kejuruteraan berteraskan manusia yang menjadi teras kepada ketelitian dan kualiti buatan Mazda.

CX-60 menandakan satu lembaran baharu dalam keanggunan dan prestasi dalam evolusi reka bentuk Mazda. Dibayangkan melalui konsep Noble Toughness, ia membawa kehadiran yang berkuasa namun tenang dan penuh ketelitian, menzahirkan interpretasi yang lebih matang terhadap falsafah reka bentuk Mazda, Kodo, yang bermaksud Soul of Motion dalam bahasa Jepun. Ekspresi ini dibentuk oleh estetika Ma, iaitu penghargaan terhadap ruang yang diwujudkan secara bermakna yang memberikan ketenangan, refleksi, keseimbangan dan kejelasan kepada proporsi kenderaan. Setiap garisan dan permukaan direka dengan ketepatan yang mencerminkan sesuatu yang benar-benar Crafted in Japan, di mana kekuatan dipadankan dengan kawalan dan keanggunan yang halus. Di dalam kabin, falsafah ini diteruskan melalui prinsip Kaichou, iaitu seni mewujudkan keharmonian dengan menggabungkan pelbagai bahan dan tekstur bagi membentuk suasana yang kaya dengan kedalaman dan kemewahan yang halus. Kesemua elemen ini membentuk bahasa reka bentuk yang mencerminkan dedikasi Mazda terhadap ketukangan serta keindahan seni Jepun yang kekal abadi.

Reka Bentuk Luaran
Mazda CX-60 menzahirkan kuasa yang tenang dan kehadiran yang hidup di teras reka bentuk Kodo. Bentuknya direka seolah-olah bernafas, menangkap pergerakan dalam satu detik yang pegun. Cahaya bergerak di atas permukaannya dengan ketelitian yang tenang, menzahirkan kedalaman dan disiplin di sebalik setiap bentuk yang diukir. Ekspresi ini dipandu oleh prinsip reka bentuk Kodo dan diseimbangkan dengan estetika Jepun Ma, di mana keindahan ruang yang disengajakan memberikan kejelasan dan ketenangan kepada kehadiran kenderaan tersebut. Hasilnya ialah rekaan luaran yang terasa berdisiplin namun ekspresif, dibentuk dengan ketepatan yang mencerminkan makna sebenar Crafted in Japan. Setiap lekuk dan bayangannya mencerminkan dedikasi Mazda terhadap ketukangan serta seni reka bentuk Jepun.
Bagi varian CX-60 3.3L MHEV, ekspresi reka bentuk ini dipertingkatkan lagi melalui dua kemasan luaran eksklusif, iaitu Machine Gray dan Rhodium White, yang masing-masing memberikan karakter tersendiri kepada CX-60. Machine Gray dipadankan dengan gril Honeycomb serta Signature Wing bersalut hitam, memberikan bahagian hadapan kenderaan satu rasa kekuatan atletik dan kedalaman yang lebih jelas. Sementara itu, Rhodium White menggunakan gril jenis Bar yang menekankan unsur kemurnian dan ketepatan, sekali gus memaparkan kehadiran yang lebih tenang dan sofistikated.Kedua-dua kemasan ini menampilkan lengkungan roda berwarna badan yang menghasilkan profil yang lebih lancar dan bersepadu, seolah-olah satu ukiran yang bersambung. Ia turut dilengkapi dengan rim aloi 20 inci, dalam kemasan hitam bagi Machine Gray dan Black Machined bagi Rhodium White. Kesemua elemen ini menyerlahkan lagi pendirian CX-60 yang yakin di atas jalan raya, di samping menonjolkan ketelitian mendalam terhadap perincian yang menjadi identiti pendekatan reka bentuk Mazda.
Reka Bentuk Dalaman
Di dalam CX-60, kabin direka untuk berasa tenang, terbuka dan tersusun dengan teliti, mencerminkan dedikasi Mazda dalam menghasilkan ruang dalaman yang mesra serta penuh pertimbangan. Susun atur mendatar yang luas menjadi asas kepada ruang ini, memberikan keseimbangan dan ketenangan, menghasilkan suasana yang tenang serta jelas beridentiti Crafted in Japan.

Dalam varian CX-60 3.3L MHEV dengan dalaman berwarna White, falsafah ini dizahirkan dengan lebih kaya melalui penggunaan bahan dan teknik yang berakar daripada warisan Jepun. Kemasan kayu diinspirasikan daripada Hacho, iaitu estetika yang meraikan keseimbangan tidak simetri serta ketidaksempurnaan yang disengajakan. Fabrik tenunan pula menampilkan corak dan benang yang berubah secara halus mengikut cahaya, memberikan kesan visual yang hidup dan dinamik.Melengkapkan seni ini ialah dua teknik jahitan tradisional, iaitu Kakenui, yang menghasilkan jahitan “terapung” dengan jarak yang disengajakan, serta Musubu, teknik berinspirasikan ikatan simpulan yang melambangkan hubungan melalui anyaman benang. Sementara itu, dalaman Tan menawarkan pendekatan yang lebih tradisional dengan jahitan standard, namun masih mengekalkan rasa keanggunan dan ketenangan yang menjadi identiti CX-60.

Kokpit CX-60 direka berasaskan pemandu dengan susun atur yang jelas dan intuitif, memastikan setiap fungsi utama mudah dicapai tanpa kesukaran. Tiga paparan utama iaitu kluster maklumat pelbagai fungsi 12.3 inci, Active Driving Display, dan skrin infotainmen 12.3 inci, berfungsi bersama untuk menyampaikan maklumat dengan jelas dan tenang, membolehkan pemandu kekal fokus kepada jalan di hadapan.Berpandukan falsafah Human Machine Interface Mazda, setiap elemen ditempatkan untuk menyokong keterlihatan semula jadi serta mengurangkan pergerakan mata yang tidak perlu, sekali gus mewujudkan aliran maklumat yang lebih lancar dan mudah difahami. Sistem Driver Personalization pula melengkapkan pengalaman ini dengan mengenal pasti pemandu dan memulihkan tetapan tempat duduk, cermin sisi dan penyaman udara yang telah dipilih sebaik sahaja pemandu memasuki kenderaan, memberikan rasa kebiasaan dan keselesaan dalam kabin.

Mi Drive meneruskan pendekatan berpusatkan manusia ini dengan membentuk karakter kenderaan agar sesuai dengan keadaan jalan di hadapan. Penambahan Off-road Mode bagi varian 3.3L MHEV turut memperluaskan keupayaan CX-60, namun peralihan mod ini kekal tenang dan intuitif, mengekalkan sifat pemanduan Mazda yang lancar dan penuh keyakinan. Tempat duduk berkuasa 10 hala dengan fungsi pengudaraan serta pencahayaan ambien turut meningkatkan keselesaan dan suasana, menambah elemen kemewahan dalam kabin tanpa mengganggu reka letak yang bersih dan berfokuskan pemandu.
Rasa sambungan dan kawalan diperkukuh melalui paparan teks yang lebih jelas, maklumat navigasi yang diperluas serta tetapan i-Activsense yang disusun untuk bacaan yang cepat dan intuitif. 360-degree View Monitor dengan See-Through View, kamera undur dengan garis panduan, sambungan lancar Apple CarPlay dan Android Auto, serta pengecasan tanpa wayar menyokong kemudahan harian dengan lebih praktikal.
Sistem audio BOSE 12 pembesar suara melengkapkan pengalaman ini dengan persekitaran bunyi yang mengasyikkan, mengimbangi kejelasan dan kedalaman untuk menghasilkan pentas bunyi yang kaya dan menyeluruh bagi setiap penumpang.
Powertrain & Dinamik Pemanduan
Mazda CX-60 dibina berasaskan platform SkyActiv Multi-Solution Scalable Architecture, yang direka untuk menyokong susun atur enjin hadapan membujur dengan pacuan roda belakang. Gabungan ini menjadi asas kepada pengendalian yang seimbang dan pengalaman pemanduan yang lebih semula jadi.
Di jantung CX-60 ialah enjin e-SkyActiv G 3.3L enam silinder sebaris (inline-6) turbo, yang dipilih kerana operasinya yang lancar dan karakter pemanduan yang lebih halus. Dengan nisbah mampatan yang tinggi, sistem pembakaran yang dipertingkatkan serta pengecas turbo jenis twin-scroll, enjin ini menawarkan pecutan yang bertenaga dan kecekapan bahan api yang mengagumkan, sambil mengekalkan pengalaman pemanduan yang tenang, selesa dan meyakinkan.

Sistem M Hybrid Boost Mazda melengkapkan pengalaman pemanduan dengan teknologi hibrid ringan 48V yang membantu pecutan, membolehkan fungsi i-Stop beroperasi dengan lebih lancar serta menjana semula tenaga ketika nyahpecutan. Hasilnya ialah rangkaian kuasa yang responsif namun halus, menghasilkan 280 hp dan 450 Nm tork yang disalurkan melalui transmisi automatik 8-kelajuan (8-EAT) yang menawarkan pertukaran gear tepat dan lancar. Tindak balas yang intuitif ini menyokong falsafah Jinba-Ittai Mazda, di mana setiap reaksi kenderaan terasa selari dengan kehendak pemandu.
Dinamik pemanduan CX-60 pula diperkukuhkan dengan platform i-Activ AWD berasaskan pacuan roda belakang, yang mengekalkan karakter pengendalian neutral seperti sebuah kenderaan pacuan roda belakang sambil menawarkan kestabilan dan cengkaman tambahan daripada sistem AWD. Dalam mod Sport dan Off-road menerusi Mi-Drive, sistem ini bekerjasama dengan rangkaian kuasa dan sistem brek untuk mengoptimumkan pengagihan kuasa mengikut keadaan permukaan jalan dan situasi pemanduan. Hasilnya, kenderaan kekal stabil, yakin dan mudah dikawal dalam pelbagai persekitaran pemanduan.

Pusat graviti yang rendah, yang dicapai melalui penempatan bateri voltan tinggi di antara gandar dan serendah mungkin dalam casis, menyumbang kepada pengendalian yang lebih stabil serta peralihan pergerakan yang lebih lancar. Ketegaran struktur badan yang tinggi, rekaan tempat duduk baharu dengan sokongan tubuh yang lebih baik, serta sistem suspensi double wishbone di hadapan dan multi-link di belakang membantu kenderaan mengekalkan postur secara semula jadi, sekali gus mengukuhkan rasa kesepaduan antara kereta dan pemandu.
Kinematic Posture Control Mazda, yang telah diperkenalkan dalam model terdahulu, terus menyokong kestabilan dengan mengurus pergerakan badan secara halus ketika mengambil selekoh. Sistem ini berfungsi seiring dengan teknologi koordinasi brek regeneratif dan brek-by-wire, yang mengimbangi brek geseran dengan penjanaan semula tenaga untuk menghasilkan nyahpecutan yang lebih lancar dan konsisten. Gabungan semua elemen ini mewujudkan pengalaman pemanduan yang yakin, stabil dan selari dengan semangat Jinba-Ittai yang menjadi identiti Mazda.

Keselamatan
Mazda CX-60 terus mencerminkan komitmen jenama ini terhadap aspek keselamatan, dengan membawa penarafan 5 bintang daripada European New Car Assessment Programme (Euro NCAP) yang diperoleh pada tahun 2022. Pengiktirafan ini menonjolkan prestasi kukuh model ini dalam perlindungan penumpang dewasa dan kanak-kanak, keupayaannya melindungi pengguna jalan raya yang lebih terdedah serta keberkesanan sistem bantuan pemandu termaju. Ia menjadi bukti dedikasi Mazda dalam menghasilkan kenderaan yang mengutamakan perlindungan dunia sebenar dan keyakinan pemandu.
CX-60 dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan yang menggabungkan kejuruteraan struktur yang kukuh bersama teknologi i-Activsense Mazda yang canggih. Daripada sistem brek dan kestabilan sehinggalah kepada perlindungan penumpang dan ciri keselamatan kanak-kanak, setiap komponen direka dan diintegrasikan dengan teliti untuk menyokong pemandu dalam semua keadaan. Pendekatan seimbang antara keselamatan aktif dan pasif ini mencerminkan falsafah berpusatkan manusia Mazda, memastikan perlindungan tidak mengorbankan keselesaan, kejelasan atau ketenangan fikiran.

Sistem i-Activsense Mazda menggabungkan satu set teknologi menyeluruh yang direka untuk meningkatkan kesedaran dan menyokong pembuatan keputusan yang lebih selamat di jalan raya. Sistem ini menyesuaikan diri secara pintar dengan perubahan persekitaran melalui ciri seperti High Beam Assist (HBA), Adaptive LED Headlamps (ALH), Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Front Cross Traffic Alert (FCTA), Lane Departure Warning System (LDWS), Lane Keep Assist System (LAS) bersama Road Departure Prevention (RDP), Driver Attention Alert (DAA) dengan pemantauan pemandu, Front dan Rear Smart Brake Support (SBS), Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dengan Stop & Go serta Cruising & Traffic Support (CTS). Setiap fungsi ini direka untuk beroperasi secara halus di latar belakang, meningkatkan kesedaran semula jadi pemandu tanpa mengganggu aliran pemanduan yang intuitif.
Perlindungan struktur juga menyeluruh, dengan badan kenderaan berkekuatan tinggi yang direka untuk menyerap dan mengagihkan daya hentakan dengan berkesan, dilengkapi dengan set lengkap beg udara serta zon remuk (crumple zones) yang direka secara teliti. Sistem bantuan penglihatan dan manuver seperti 360° View Monitor dengan See-Through View, kamera undur dan sensor parkir turut membantu mengurangkan tekanan ketika berada dalam persekitaran sempit atau kompleks, sekali gus meningkatkan keyakinan pemanduan harian.

Secara keseluruhan, semua sistem ini mengukuhkan peranan CX-60 sebagai teman pemanduan yang melindungi dan meyakinkan dalam setiap perjalanan. Gabungan bantuan pintar, keteguhan struktur dan perlindungan kabin yang teliti memastikan keselamatan bukan sekadar satu ciri, tetapi menjadi teras utama karakter kenderaan ini, selaras dengan falsafah Mazda yang menekankan pemanduan yang jelas, yakin dan tenang.
Mazda CX-60 3.3L MHEV ditawarkan dalam dua padanan warna luaran dan dalaman eksklusif, iaitu Rhodium White dengan dalaman Pure White serta Machine Gray dengan dalaman Tan, masing-masing direka untuk menyerlahkan karakter premium yang lebih halus. Sementara itu, varian Mazda CX-60 2.5L mengekalkan pilihan warna luaran sedia ada seperti Soul Red Crystal, Rhodium White, Jet Black, Platinum Quartz dan Zircon Sand, yang mengekalkan identiti Kodo yang ekspresif dalam barisan CX-60.

Diimport sepenuhnya dari Jepun sebagai model CBU, Mazda CX-60 dihasilkan di kilang canggih Mazda Hofu di Wilayah Yamaguchi. SUV premium ini kini dibuka untuk tempahan di semua pengedar rasmi Mazda seluruh negara, dengan harga bermula dari RM250,000.00*.
Bagi memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan, Mazda CX-60 turut didatangkan dengan Waranti Pengeluar 5 Tahun dan Program Penyelenggaraan Percuma 5 Tahun (tidak termasuk Mazda BT-50), selaras dengan piawaian pengeluar Mazda. Ini merangkumi semua penyelenggaraan yang diperlukan, kos buruh, alat ganti dan pelincir. Kedua-dua waranti dan penyelenggaraan ini sah selama lima tahun atau 100,000km, yang mana dahulu.

NEW MAZDA CX-60 3.3G M HYBRID – SENARAI WARNA LUARAN (BODY COLOUR)
WARNA LUARAN (BODY COLOUR) | NEW MAZDA CX-60 3.3 |
Rhodium White dengan interior Pure White | ✔ |
Machine Gray dengan interior Tan | ✔ |
HARGA JUALAN MAZDA CX-60 3.3G M HYBRI
VARIAN | NEW MAZDA CX-60 |
MAZDA CX-60 3.3G AWD HIGH PLUS | RM 252,872.80 |
D





























Komen