PROTON Perkasa Khidmat Selepas Jualan Menerusi Kempen Baharu di Seluruh Negara

PROTON terus memperkukuh pengalaman selepas jualannya menerusi pengenalan Kempen Stay Safe & Save serta fasa terbaharu kerjasama PROTON x Little Joe. Kedua-dua inisiatif ini dirangka bagi memberikan lebih nilai kepada pelanggan, meningkatkan aspek keselamatan serta menjadikan setiap kunjungan ke pusat servis bertauliah PROTON lebih berbaloi dan memuaskan.
Diskaun Alat Ganti Tulen Serta Pemeriksaan Keselamatan Percuma
Berkuat kuasa mulai 1 September 2026 dan berlangsung sehingga stok habis, Kempen Stay Safe & Save dibuka kepada semua pelanggan PROTON di pusat servis bertauliah seluruh negara, termasuk cawangan 2S.
Menerusi kempen ini, pelanggan boleh menikmati diskaun 10% bagi bateri, pad brek dan bilah pengelap cermin tulen PROTON terpilih, dengan syarat alat ganti tersebut dibeli serta dipasang di cawangan yang mengambil bahagian. Harga promosi pula berbeza mengikut model kenderaan.
Lebih menarik, pelanggan yang menyertai kempen turut menerima pemeriksaan keselamatan kenderaan 40 perkara secara percuma. Pemeriksaan tambahan ini menawarkan penilaian yang lebih menyeluruh berbanding pemeriksaan standard 20 perkara, sekali gus membantu mengenal pasti keadaan sistem utama kenderaan dengan lebih awal.
Dengan menawarkan diskaun untuk komponen penting yang lazimnya mengalami kehausan serta pemeriksaan keselamatan yang lebih menyeluruh, PROTON mahu membantu pemilik mengesan sebarang potensi masalah lebih awal, memastikan penyelenggaraan kenderaan dilakukan dengan baik dan memberikan keyakinan lebih tinggi ketika berada di jalan raya.
Pewangi Eksklusif PROTON x Little Joe Pada Harga RM17
Dalam perkembangan berkaitan, fasa ketiga kerjasama PROTON x Little Joe telah bermula pada 25 Ogos 2026 dan akan berlangsung sehingga stok habis.

Pelanggan berpeluang mendapatkan pewangi udara 3D PROTON x Little Joe pada harga hanya RM17 tanpa sebarang syarat perbelanjaan minimum. Produk ini ditawarkan dalam dua pilihan wangian eksklusif, iaitu Amber dengan kemasan merah dan Ginger Lemon dalam kemasan biru.
Pewangi tersebut boleh didapati untuk semua model PROTON di pusat servis bertauliah 4S, 3S dan 2S.
Little Joe, jenama dari Switzerland, menggunakan bahan polimer tidak toksik bersama minyak wangian yang diperoleh dari Itali dan Perancis. Setiap pewangi direka untuk memberikan haruman sehingga 45 hari.
Kerjasama terbaharu ini meneruskan kejayaan inisiatif PROTON x Little Joe sebelum ini, selain memberikan pelanggan satu lagi pilihan produk gaya hidup yang mampu milik ketika mendapatkan servis kenderaan.

Mengulas mengenai inisiatif tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa berkata penjagaan terhadap pelanggan bukan sekadar berakhir selepas kenderaan diserahkan, sebaliknya diteruskan sepanjang tempoh pemilikan.
Menurut beliau, Kempen Stay Safe & Save membolehkan PROTON membantu mengurangkan kos bagi beberapa alat ganti tulen yang penting, di samping menawarkan pemeriksaan keselamatan kenderaan yang lebih menyeluruh.
Pada masa sama, kerjasama bersama Little Joe memberikan elemen tambahan yang lebih santai dan menyeronokkan kepada pengalaman pelanggan ketika berada di dalam kenderaan.
Kedua-dua inisiatif tersebut mencerminkan komitmen PROTON untuk menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang lebih mudah, diyakini serta menawarkan nilai terbaik kepada pemilik.
PROTON kini mempunyai rangkaian 196 pusat servis bertauliah di seluruh negara, disokong tenaga kerja terlatih, penggunaan alat ganti tulen PROTON serta kemudahan tempahan janji temu menerusi aplikasi PROTON Link 2.0.
Pelanggan digalakkan membuat tempahan servis lebih awal dan mengunjungi pusat servis bertauliah PROTON pilihan mereka bagi mendapatkan manfaat daripada kedua-dua kempen ini, tertakluk kepada ketersediaan stok.




















Komen