‘Anak Omputeh’ karya Darwish Syahmi raih Hadiah Utama di BMW Shorties 2025.
- Anna Chong

- 3 hari lalu
- 4 min membaca

Dalam detik bersejarah bagi edisi ke-19, program BMW Shorties secara rasmi mengumumkan Pemenang Hadiah Utama terbaharu iaitu 'Anak Omputeh' oleh Darwish Syahmi dari Universiti Multimedia Cyberjaya (MMU). Darwish mengukir sejarah sebagai pengarah pertama yang memenangi Hadiah Utama dan Anugerah Pelajar Terbaik Shorties pada tahun yang sama, sekali gus menandakan satu pencapaian penting bagi dunia pembikinan filem pelajar dan penciptaan kandungan digital di Malaysia.

Diinspirasikan oleh zaman kecilnya sendiri, ‘Anak Omputeh’ karya Darwish mengisahkan mengenai Lan, seorang anak muda Melayu yang kembali ke kampung ayahnya selepas membesar di luar negara selama lima tahun. Dalam suasana tradisional yang terasa asing, Lan bergelut untuk bergaul dengan penduduk kampung dan menyesuaikan diri dengan budaya yang terasa begitu asing baginya. Melalui siri pengembaraan yang lucu dan menyentuh hati, Lan akhirnya mula menyukai kehidupan kampung serta rakan-rakan baharunya. Kisah ini meneroka pengalaman ‘Generasi Budaya Ketiga’ (Third Culture Kids) menerusi pendekatan yang jujur dan menyeronokkan, menangkap realiti penyesuaian semula budaya sambil meraikan ikatan persahabatan serta perasaan kebersamaan yang bersifat universal. ‘Anak Omputeh’ turut memenangi hati komuniti BMW Shorties, sekali gus meraih Anugerah Pilihan Penonton selepas sesi undian awam yang dijalankan selama beberapa minggu.

Pada usia baru mencecah 20 tahun, Darwish Syahmi menyertai BMW Shorties dengan asas kreatif yang kukuh. Dari Fakulti Seni Sinematik MMU Cyberjaya, Darwish membina kepakaran dalam menggabungkan ironi komedi dengan realiti kehidupan yang mendalam, bakat yang diasah sejak kecil lagi. Antara karya terdahulunya adalak ‘Kapak’ (2023), yang dicalonkan di Mini Film Festival ke-20 di Sarawak; filem eksperimental ‘FORYOU32GODSAVEOURCHILDREN’ (2023), dicalonkan di Taylor's University Film Festival 2024; dan mini-dokumentari Kintsugi (2024), yang memenangi Naib Juara di Echo Film Fest: The Sequel. Melangkah ke masa hadapan, Darwish mempunyai satu matlamat jelas iaitu untuk meninggalkan impak dalam dunia perfileman Malaysia melalui penulisan dan pengarahan sebuah filem cereka.
Mengimbau kemenangannya, Darwish berkongsi, "Seluruh pengalaman ini benar-benar luar biasa. 'Anak Omputeh' lahir daripada tempat yang sangat peribadi dengan hasrat untuk menunjukkan pengalaman ‘Generasi Budaya Ketiga’ ', bahawa walaupun kami tidak bercakap dalam bahasa yang sama, kami masih boleh bersatu melalui bahasa universal iaitu kebaikan dan belas kasihan. Saya amat berterima kasih kepada barisan pelakon dan kru yang memberi kepercayaan kepada karya ini, dan kepada BMW Shorties kerana memberikan peluang kepada pencipta daripada kalangan pelajar untuk tampil di platform berprestij ini. Memenangi kedua-dua Hadiah Utama dan Anugerah Pelajar Terbaik Shorties telah memberikan saya keyakinan untuk membawa minat ini lebih jauh lagi, dan saya teruja untuk terus menghasilkan karya yang jujur serta berakar pada pengalaman orang Malaysia."
Darwish Syahmi menerima RM50,000 sebagai geran produksi untuk merealisasikan projek seterusnya. Selain itu, beliau turut menerima OPPO Find X9 Pro terbaharu, sumbangan OPPO Malaysia, membolehkan beliau terus menghasilkan kandungan digital yang menakjubkan secara visual dengan teknologi mudah alih tercanggih.
‘Anak Omputeh’ dipilih kerana penerokaan budayanya yang asli dan penceritaannya yang menarik oleh panel tokoh industri yang telah memenangi pelbagai anugerah, termasuk pembuat filem dan dokumentari Zan Azlee (The Life & Times of an Islamic Insurgency), pelakon veteran dan penulis Fatimah Abu Bakar (Tiger Stripes, Imaginur), pengarah terkenal Nadiah Hamzah (Motif), pengarah bertaraf antarabangsa Saw Teong Hin (Puteri Gunung Ledang, You Mean The World To Me), dan suara perintis dalam industri perfileman Tamil di Malaysia Ts. Dr. Vimala Perumal (Vedigundu Pasangge, Tamiletchumy).
Nadiah Hamzah berkata, “Kisah ini menangani kompleksiti identiti budaya dengan penuh sensitif dan santai. Cara cerita ini berkembang tanpa sebarang kritikan, serta bagaimana komuniti secara semula jadi menerima Lan, mencerminkan pemahaman mendalam terhadap hubungan manusia. Darwish menunjukkan kematangan dalam penceritaannya, membuktikan potensinya sebagai pengarah yang mampu meneroka tema kompleks dengan hati dan nuansa.”
Rakan juri, Saw Teong Hin, mengulas, “Apa yang membuat ‘Anak Omputeh’ istimewa adalah keikhlasannya – tiada kesempurnaan yang dipaksa, dan ini membolehkan keaslian cerita bersinar. Darwish dan pasukannya telah membuktikan bahawa penceritaan hebat hanya memerlukan suara yang jujur dan semangat yang tulus. Jika mereka dapat mengekalkan semangat riang dan ketenangan ini ketika mengembangkan bakat mereka, saya teruja untuk melihat sejauh mana mereka akan berjaya.”
‘Anak Omputeh’ memperlihatkan inti pati tema tahun ini, ‘New Dimensions’, yang menggalakkan para peserta untuk melangkaui penceritaan konvensional dan meneroka perspektif baru dengan berani. Melalui penerokaan identiti budaya yang asli, disampaikan dengan gabungan humor dan emosi yang mendalam, karya ini mencerminkan semangat inovatif yang sama seperti pendekatan BMW Group Malaysia terhadap mobiliti dan reka bentuk.
Pencapaian berganda Darwish sebagai Pemenang Hadiah Utama dan penerima Anugerah Pelajar Terbaik Shorties membuktikan kualiti bakat luar biasa yang lahir dari institusi akademik Malaysia serta komuniti kreatif, di samping mengukuhkan komitmen berterusan BMW Shorties untuk mencungkil, memupuk, dan meraikan generasi pencerita di negara ini.
Senarai Pemenang Anugerah BMW Shorties 2025 adalah:
Anugerah Hadiah Utama
Anak Omputeh – Darwish Syahmi
Anugerah Pilihan Penonton
Anak Omputeh – Darwish Syahmi
Anugerah Pengarah Terbaik
Shamalan Nagayai & Wong Zhao Quan untuk ‘Perfect Family’
Anugerah Pelakon Wanita Terbaik
Kimberly Chuah dalam ‘Flat No. 4’
Hana Roanne dalam ‘tragedy of youth.’
Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik
Dexter Zhen untuk ‘Perfect Family’
Anugerah Pelajar Shorties Terbaik 2025
Darwish Syahmi dalam ‘Anak Omputeh’
Anugerah Sinematografi Terbaik
Vishnu Attiappan untuk ‘Sayap’
Anugerah Suntingan Terbaik
Shamalan Nagayai untuk ‘Perfect Family’
Anugerah Kisah Terbaik
Wong Zhao Quan untuk ‘Perfect Family’
Anugerah Adunan Bunyi Terbaik
Teo Wey Yinn untuk ‘Sayap’
Anugerah Rekaan Produksi Terbaik
Khor Chin Joe untuk ‘Kedai Runcit Jiwa’










































Komen