top of page

BMW Motorrad Malaysia Perkenal BMW R 1300 RT Serba Baharu, Tetapkan Penanda Aras Baharu Dalam Keunggulan Pengembaraan Jarak Jauh

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 12 Jun
  • 8 min membaca
BMW R 1300 RT Serba Baharu

BMW Motorrad Malaysia mengumumkan kehadiran BMW R 1300 RT Serba Baharu, evolusi terkini motosikal kembara lagenda jenama tersebut. Menggabungkan reka bentuk yang lebih ringan dan dinamik dengan enjin boxer 1,300 cc berkuasa tinggi, BMW R 1300 RT Serba Baharu menawarkan keselesaan unggul dalam kelasnya, teknologi terkini dan prestasi BMW yang tidak dapat disangkal.


Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Model RT telah lama menjadi simbol keunggulan dalam dunia pengembaraan jarak jauh – dan dengan penambahbaikan terkini pada BMW R 1300 RT Serba Baharu, kami teruja untuk mempersembahkan sebuah motosikal yang lebih ringan, lebih dinamik dan lebih pintar berbanding sebelum ini. Setiap elemen direka semula dengan keperluan penunggang moden sebagai keutamaan, menjadikan model ini penanda aras baharu dalam segmennya, selari dengan falsafah ‘Make Life A Ride’ yang memberikan penunggang di Malaysia kebebasan untuk meneroka setiap pelosok jalan dengan keyakinan dan kawalan yang baharu. Dipandu oleh prinsip Keterbukaan Teknologi dan Kuasa Pilihan, BMW R 1300 RT Serba Baharu mencerminkan komitmen kami dalam menawarkan pelbagai ciri dan pilihan canggih, yang membolehkan penunggang memperibadikan motosikal mereka mengikut gaya hidup dan citarasa tunggangan masing-masing, lengkap dengan teknologi tunggangan terkini.”


BMW R 1300 RT Serba Baharu

BMW R 1300 RT Serba Baharu merupakan gabungan sempurna antara keunggulan kembara jarak jauh dan dinamik sporty, ideal bagi penunggang yang mendambakan kepelbagaian tanpa sebarang kompromi. Casis inovatif, ergonomik boleh laras, dan sistem elektronik yang canggih memastikan kawalan yang mantap dalam apa jua keadaan sama ada di jalan bandar mahupun lebuh raya. Direka untuk tunggangan solo dan bersama penumpang belakang, BMW R 1300 RT Serba Baharu mengimbangi kuasa, ketepatan dan praktikal, menjadikannya motosikal ideal untuk penunggang yang mengutamakan prestasi serta keselesaan dalam penunggangan jarak jauh.


BMW R 1300 RT Serba Baharu

BMW R 1300 RT Serba Baharu: Menyuntik Dimensi Baharu dalam Pengembaraan Jarak Jauh

Dengan rekaan baharu yang berani dan penekanan terhadap gaya serta fungsi, BMW R 1300 RT Serba Baharu tampil dengan profil yang lebih ringan dan anggun, menyerlahkan kehadiran gahnya di atas jalan raya. Dalam varian Standard, motosikal ini mengekalkan identiti visual yang ringkas dan elegan, selari dengan warisan motorsikal kembara jarak jauh BMW yang kini diberi nafas baharu menerusi penampilan garisan yang lebih tajam, rekaan tangki yang lebih rata, serta bahagian hadapan yang direndahkan untuk penglihatan yang lebih jelas dan perkadaran keseluruhan yang lebih seimbang serta lincah. Model kembara ini turut menonjol menerusi penggunaan peredam belakang daripada keluli tahan karat dengan kemasan berus, paip ekzos utama daripada keluli tahan karat dengan kemasan berkilat, hendal berbentuk tiub, serta tangki minyak dengan kemasan Mineral Grey metalik matt. Pengurangan jisim berputar ini meningkatkan pengendalian dan kepekaan sistem brek. Selain model Standard dalam warna Alpine White, BMW R 1300 RT Serba Baharu turut diperkenalkan dalam dua varian dinamik lain iaitu varian Triple Black dalam warna Blackstorm metalik, serta varian Impulse dalam warna Racing Blue metalik yang menampilkan karakter atletik.


Varian Triple Black tampil menonjol dengan paip ekzos utama Dark Chrome, hendal yang ditempa, dan pelindung angin untuk kembara jarak jauh yang tinggi, menghasilkan profil yang berani namun sofistikated. Sementara itu, varian Impulse pula mengetengahkan karakter yang lebih dinamik dan ekspresif yang mencuri tumpuan di jalanan menerusi pelindung angin jenis sport, rim rekaan eksklusif sebagai ciri standard, serta pemesong aliran udara belakang boleh laras yang unik dan eksklusif bagi varian ini sahaja.


BMW R 1300 RT Serba Baharu

Lebih daripada sekadar penambahbaikan visual, BMW Serba R 1300 RT Baharu turut memperkenalkan susun atur ergonomik yang diperhalusi untuk menyokong gaya tunggangan aktif dan santai. Susunan “rider triangle” baharu yang melibatkan kedudukan tempat duduk, hendal dan peletak kaki telah direka semula dengan hendal yang lebih lebar dan sedikit ke hadapan, untuk membolehkan bahagian atas badan penunggang berada lebih hampir dengan roda hadapan untuk memberikan kawalan dan respons yang lebih baik. Keselesaan penumpang juga dipertingkatkan menerusi tempat duduk belakang yang lebih panjang serta reka bentuk baharu pada kotak simpanan sisi yang memberikan ruang kaki yang lebih luas dan kebolehsuaian tanpa menjejaskan kapasiti simpanan. Untuk keselesaan tambahan semasa pengembaraan, tempat duduk Comfort untuk penunggang dan penumpang disediakan sebagai ciri standard bagi semua varian.


Sebagai standard, BMW R 1300 RT Serba Baharu dilengkapi kotak simpanan sisi yang sepadan dengan warna badan (berkapasiti 27 liter setiap satu). Untuk unit Edisi Terhad, pilihan kotak simpanan Vario turut ditawarkan termasuk kotak simpanan sisi berkuasa elektrik dengan pencahayaan dalaman serta fungsi sistem kunci berpusat. Penunggang boleh memperluaskan kapasiti kotak simpanan Vario daripada 27 ke 33 liter, menyumbang kepada kecekapan bahan api serta kestabilan aerodinamik. Tambahan lagi, kotak simpanan kiri kini dilengkapi port pengecas USB-C, dan kedua-dua kotak direka kemas agar menyatu sempurna dengan siluet motosikal bagi penampilan lebih kemas dan kompak. Bagi keperluan simpanan tambahan, penunggang juga boleh memilih kotak simpanan atas bersaiz 39 liter atau 54 liter. Unit 54 liter dilengkapi operasi elektrik serta penyandar belakang dengan fungsi pemanas bagi keselesaan penumpang yang lebih premium.


BMW R 1300 RT Serba Baharu

Menjadi nadi kepada BMW R 1300 RT Serba Baharu adalah versi terkini enjin boxer dua silinder lagenda yang juga enjin boxer paling berkuasa pernah dihasilkan oleh BMW. Dengan kapasiti 1,300 cc, enjin ini menghasilkan output mengagumkan sebanyak 107 kW (145 hp) pada 7,750 rpm, serta tork maksimum 149 Nm pada 6,500 rpm. Enjin ini mampu mencecah had putaran 9,000 rpm, menawarkan kuasa tarikan yang kuat dengan penyampaian kuasa yang lancar dan responsif dalam pelbagai situasi tunggangan. Peningkatan prestasi enjin ini dicapai menerusi pembesaran pembesaran liang silinder dan pemendekan lejang, injap masuk dan ekzos yang lebih besar, nisbah mampatan 13.3:1, serta reka bentuk aci engkol yang diperbaharui. Kesemua peningkatan ini menghasilkan kuasa yang lebih tinggi dan lengkung tork yang lebih lebar, pendikit yang lebih responsif, menjadikan BMW R 1300 RT Serba Baharu pilihan yang mengujakan untuk penunggangan di laluan berliku di luar bandar mahupun di lebuh raya jarak jauh.


BMW R 1300 RT Serba Baharu

Walaupun dengan peningkatan prestasi yang ketara, kecekapan bahan api BMW R 1300 RT Serba Baharu kekal setanding dengan model terdahulu, hasil daripada teknologi BMW ShiftCam yang mengoptimumkan masa dan lejang injap berdasarkan keperluan penunggangan sama ada untuk prestasi mahupun kecekapan. Menyumbang kepada pengendalian yang lebih tepat dan prestasi membrek yang lebih responsif adalah penggunaan rim aluminium berjejari berongga bersaiz 17 inci baharu yang dibentuk melalui proses tuangan dengan berat 1.4 kg lebih ringan berbanding sebelumnya.


BMW R 1300 RT Serba Baharu

BMW R 1300 RT Serba Baharu dilengkapi tiga mod tunggangan standard: “Rain”, “Road” dan “Eco”, yang membolehkan pelarasan tindak balas pendikit, kawalan cengkaman dan penyaluran tork mengikut keadaan permukaan jalan. Mod Eco mengutamakan kecekapan bahan api dengan paparan indikator penggunaan di skrin bagi membantu penunggang mengekalkan gaya tunggangan yang jimat. Turut ditawarkan sebagai standard bagi semua varian adalah Riding Modes Pro, yang memberi akses kepada mod Dynamic dan Dynamic Pro untuk kawalan pendikit dan cengkaman lebih tinggi, serta membolehkan fungsi pra-pemilihan mod terus dari suis pada hendal.


BMW R 1300 RT Serba Baharu

Menerajui sistem suspensi BMW R 1300 RT Serba Baharu adalah evolusi terkini sistem suspensi hadapan dan belakang ikonik BMW Motorrad iaitu EVO Telelever dan EVO Paralever. Sistem hadapan EVO Telelever kini disepadukan dengan plat keluli tahan karat yang berfungsi untuk mengasingkan daya stereng daripada pergerakan penyerap hentakan, memberikan kawalan stereng yang lebih tepat sambil menyerap pergerakan mendadak semasa membrek. Di bahagian belakang, sistem EVO Paralever baharu pula dilengkapi sambungan bingkai yang lebih keras dan lengan ayun yang diperkukuhkan dengan gandar pelepas pantas, untuk penukaran tayar yang lebih mudah dan penghantaran kuasa yang lebih mantap. Gabungan kedua-dua sistem ini memberikan jarak gerak spring sebanyak 149 mm di hadapan dan 158 mm di belakang, lengkap dengan pelarasan elektronik untuk daya redaman, mampatan, dan kadar mampatan spring.


BMW R 1300 RT Serba Baharu

Selain sistem Pelarasan Suspensi Dinamik yang sedia ada, sistem Adaptasi Casis Dinamik elektronik yang terkini menawarkan dua posisi tunggangan yang boleh dipilih daripada mod tunggangan untuk memberikan prestasi maksimum antara keselesaan menunggang dan pengendalian dinamik, sekali gus menjadikan pengalaman menunggang lebih mengujakan dalam semua keadaan.


BMW R 1300 RT Serba Baharu

Sebagai standard baharu, BMW R 1300 RT Serba Baharu kini dilengkapi unit lampu hadapan LED penuh yang baharu, menampilkan pencahayaan luar biasa dan identiti visual yang tersendiri. Unit lampu yang dipertingkatkan ini mempunyai 12 LED untuk lampu rendah dan lima LED untuk lampu tinggi, diapit oleh lampu siang ikonik yang menyerlah, menjadikan kehadirannya di jalan raya sentaisa mencuri tumpuan. Sistem Lampu Hadapan Pro turut ditawarkan sebagai ciri standard untuk semua varian, dengan tambahan fungsi lampu membelok adaptif yang bertindak balas mengikut sudut condong motosikal dan perubahan kedudukan semasa memecut atau membrek, bagi memastikan pencahayaan kekal optimum. Mod Lampu Adaptif pula melaraskan pencahayaan mengikut kelajuan dan persekitaran untuk penunggangan waktu malam yang lebih selamat.


BMW R 1300 RT Serba Baharu

Keterhubungan Canggih dan Bantuan Dinamik untuk Setiap Pengembaraan Jauh

Untuk mengukuhkan lagi keyakinan dalam pengembaraan jarak jauh, BMW R 1300 RT Serba Baharu hadir dengan rangkaian sistem bantuan penunggang dan dinamik terkini. Antara ciri standard termasuklah Kawalan Cengkaman Dinamik, Kawalan Tork Seretan Enjin, Kawalan Brek Dinamik dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Integral Pro oleh BMW Motorrad, yang menjamin prestasi membrek yang konsisten dan responsif, termasuk ketika di selekoh tajam.


Pakej Bantuan Penunggangan membezakan aspek keselamatan model kembara ini melalui pelbagai teknologi pintar berasaskan radar, termasuk Kawalan Penunggangan Aktif dengan pelarasan jarak automatik, Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek, serta Amaran Pertukaran Lorong yang membantu pengesanan titik buta.

Tambahan lagi, Pakej Dynamic yang kini ditawarkan sebagai ciri standard untuk semua varian, menampilkan prestasi yang lebih hebat dan kawalan tambahan dengan kehadiran sistem Adaptasi Casis Dinamik dan Riding Modes Pro. Ciri-ciri ini dilengkapi Sistem Brek Sport yang menawarkan daya henti lebih tinggi serta gaya visual tersendiri menerusi angkup brek berwarna titanium, dan inovasi Bantuan Penukaran Gear Automatik yang membolehkan penukaran gear tanpa klac sama ada dalam mod manual dan automatik sepenuhnya.


BMW R 1300 RT Serba Baharu

BMW R 1300 RT Serba Baharu turut hadir standard dengan paparan TFT berwarna penuh bersaiz 10.25 inci beresolusi tinggi, memaparkan informasi seperti kelajuan, navigasi dan media dengan kejelasan yang unggul. Penunggang boleh memilih antara paparan skrin penuh atau pisah untuk menyusun navigasi, data motosikal atau kandungan media aktif. Unit TFT ini juga berfungsi sebagai hab keterhubungan menyeluruh, membolehkan padanan lancar dengan pelbagai peranti dan aksesori pintar seperti jaket pemanas dan kaca mata pintar. Butang Kawalan Pelbagai Fungsi yang intuitif dan panel butang Favourites yang direka semula memberikan akses pantas kepada fungsi utama seperti pemanas tempat duduk dan pemegang, kawalan media dan navigasi. Sistem ini turut disepadukan sepenuhnya dengan aplikasi Connected BMW Motorrad, membolehkan kemas kini navigasi masa nyata, perancangan laluan, penjejakan perjalanan serta analisis prestasi melalui telefon pintar.


Satu ciri ikonik yang sentiasa dihargai oleh komuniti penunggang RT iaitu sistem audio, kini dipertingkatkan lagi pada BMW R 1300 RT Baharu. Berasaskan platform audio 2.0 daripada model BMW R 1250 RT terdahulu, sistem baharu ini menawarkan pengalaman audio yang lebih mengasyikkan, kejelasan bunyi yang lebih jelas, serta keupayaan yang diperluas. Dilengkapi radio digital DAB/DAB+, profil bunyi adaptif dan sambungan Bluetooth yang lancar sebagai ciri standard, audio boleh dinikmati menerusi sistem komunikasi dalam topi keledar atau melalui pembesar suara terbina dalam.


BMW R 1300 RT Serba Baharu

Eksklusif untuk BMW R 1300 RT Serba Baharu, semua varian Standard, Triple Black, dan Impulse hadir dengan sistem audio baharu yang menampilkan komponen audio premium seperti ‘tweeter’ berasingan, pembesar suara frekuensi pertengahan dan wufer, semuanya dipacu oleh empat saluran audio yang berasingan. Bagi varian Edisi Terhad, sistem Audio Pro turut dipertingkatkan dengan teknologi keseimbangan bunyi dinamik yang melaras tona dan intensiti mengikut kelajuan tunggangan. Manakala, gril pembesar suara berwarna perak dengan elemen kubah emas yang terdedah memberikan sentuhan estetik yang tersendiri pada ruang kokpit.


BMW R 1300 RT Serba Baharu

Kuasa Pilihan dalam Tunggangan: Varian Edisi Terhad Jentera Pengembaraan Terunggul

Sempena pelancaran rasmi BMW R 1300 RT Serba Baharu di Malaysia, BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan dua varian edisi terhad eksklusif iaitu BMW R 1300 RT Triple Black Limited Edition dan BMW R 1300 RT Impulse Limited Edition, masing-masing terhad kepada lima unit sahaja di seluruh negara.


BMW R 1300 RT Triple Black Limited Edition tampil menawan dengan gaya agung serba hitam yang misteri dan sofistikated menerusi kemasan Blackstorm Metallic dengan pakej Style Triple Black. Manakala, BMW R 1300 RT Impulse Limited Edition pula menonjolkan sisi lebih dinamik dan ekspresif dengan kemasan Racing Blue Metallic serta ciri-ciri reka bentuk daripada pakej Style Impulse.


Sebagai lambang kehebatan jentera kembara berkelas tinggi, kedua-dua varian edisi terhad ini dilengkapi Pakej Comfort. Pakej ini merangkumi Sistem Kunci Berpusat bagi meningkatkan keselamatan dan kemudahan tambahan semasa mengendalikan kotak simpanan di sisi dan bahagian atas, Tongkat Tengah Utama untuk parkir yang stabil dan memudahkan pemuatan barangan, sistem penggera Anti-Kecurian untuk ketenangan fikiran, serta sistem kotak simpanan boleh laras berkuasa elektrik bagi membolehkan penunggang melaras lebar dan kapasiti kotak simpanan bagi mencapai kecekapan aerodinamik dan kemudahan navigasi di kawasan bandar. Untuk hiburan dan pengalaman audio yang menyeluruh, sistem Audio Pro turut disediakan sebagai ciri standard, menawarkan audio empat saluran berkualiti studio yang amat jelas menerusi pembesar suara premium dengan jeriji berwarna perak dan ‘tweeter’ berkubah emas yang terdedah.


BMW R 1300 RT Serba Baharu

Kedua-dua varian edisi terhad ini menzahirkan keupayaan motosikal kembara terbaik dalam kelasnya yang ditawarkan oleh model RT, yang dipertingkatkan dengan gabungan ciri premium yang direka khas serta elemen reka bentuk yang berani – melambangkan komitmen BMW Motorrad terhadap keunikan individu, kejuruteraan berfokuskan penunggang, dan prinsip Kuasa Pilihan.

Komen


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

M 160x600.jpg

ADVERTISEMENT

Pandu Pandu Icon
PanduBabes Logo
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta. Bersama PanduBabes, kami membawa cerita, inspirasi dan acara untuk komuniti peminat automotif Malaysia.
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2025 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page