Chery Malaysia Menandatangani Perjanjian dengan Legenda Beringin; Memulakan Pembinaan Chery Smart Auto Industrial Park
- Panduman

- 23 Feb
- 3 min membaca

Legenda Beringin Holding Sdn Bhd (“Legenda Beringin”) dan Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd (“Chery Malaysia”) hari ini menandatangani perjanjian dan secara simbolik memulakan pembinaan Chery Smart Auto Industrial Park. Legenda Beringin merupakan pemaju utama bagi Beringin High-Tech Auto Valley (“Beringin HTA Valley”), yang akan menjadi lokasi pelaburan terkini oleh Chery Holding Group Co., Ltd di Malaysia. Peristiwa ini menandakan langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia dan Selangor sebagai hab pembuatan automotif maju serta inovasi teknologi.

Majlis menandatangani perjanjian ini disaksikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor yang juga Penaung Diraja Invest Selangor dan Yang Amat Berhormat (“YAB”) Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor.
Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah dan YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari turut mengambil bahagian dalam upacara pecah tanah bersama Yang Berhormat Tuan Ng Sze Han, EXCO Pelaburan, Perdagangan, dan Mobiliti Selangor; Pengerusi Chery Automobile Co., Ltd Yin Tongyue; Presiden Chery International Zhang Guibing; Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia Leo Chen; Pengerusi Legenda Beringin Chia Song Kooi; Pengerusi Bersama Ng Sai Bee; serta Pengerusi Ruby Technique Sdn Bhd (“Ruby Technique”) Dr Chia Song Kun. Ruby Technique, sebuah syarikat pelaburan milik Keluarga Chia, merupakan pemegang saham utama dalam Legenda Beringin.

Chery Smart Auto Industrial Park merupakan pembangunan fasa pertama dalam ekosistem seluas 800 ekar di Beringin HTA Valley. Projek ini bakal membawa teknologi pembuatan automotif bertaraf dunia ke Hulu Selangor. Dengan keluasan 200 ekar, pembangunan ini selari dengan visi berfasa Beringin HTA Valley dalam membina perbandaran bersepadu yang mampu menarik bakat, pelaburan, serta inovasi ke rantau ini.
Dijadualkan siap pada tahun 2026, Chery Smart Auto Industrial Park dijangka mempunyai kapasiti pengeluaran awal sebanyak 100,000 kenderaan setahun, dengan potensi untuk berkembang kepada 300,000 kenderaan setahun. Projek ini akan dibangunkan dengan pelaburan dan sumbangan bernilai RM2.2 bilion dalam tempoh lima tahun. Selebihnya akan diperuntukkan kepada pembangunan lain yang menyokong aspirasi untuk menjadikan kawasan ini sebagai hab utama inovasi automotif, rantaian bekalan, latihan vokasional, serta kemajuan teknologi di rantau ini.
Pelaburan berterusan oleh Chery Holding Group Co., Ltd. (“Chery”), sebuah syarikat Fortune Global 500, di Selangor mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap ekosistem pelaburan dan industri negeri ini.

“Chery berbangga menjadi sebahagian daripada pembangunan berwawasan ini, di mana kami akan menubuhkan fasiliti pembuatan bertaraf dunia, mengintegrasikan teknologi pintar terkini, serta menghasilkan pelbagai jenis kenderaan” daripada enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada teknologi terkini seperti plug-in hybrid (PHEV), kenderaan elektrik bateri (BEV), dan kenderaan cekap tenaga (EEV). Kami yakin bahawa apabila siap kelak, ia akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, menempatkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) canggih, memperluaskan eksport kenderaan ke negara jiran, mengukuhkan peranan Selangor melalui rantaian bekalan yang kukuh, dan menjadikan Malaysia sebagai hab automotif utama di ASEAN,” kata Presiden Chery International, Zhang Guibing.
“Projek ini bukan sekadar pelaburan tanah. Ia menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi ekonomi perindustrian berteknologi tinggi dan mampan menjelang 2030, selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu. Kami amat berterima kasih atas keyakinan yang diberikan oleh Chery, serta sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Selangor, Invest Selangor, dan pelbagai pihak berkuasa tempatan serta agensi lain. Dengan kesatuan, tekad, dan aspirasi bersama, kami yakin dapat merealisasikan visi ini,” kata Pengerusi Legenda Beringin, Chia Song Kooi.
Sebagai pemaju utama Beringin HTA Valley, Legenda Beringin terus memperkukuh daya tarikan Selangor sebagai destinasi utama pelaburan automotif berteknologi tinggi. Chery Smart Auto Industrial Park bakal mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri automotif serantau.





















Komen