top of page

Hotel Casuarina@Meru Dan Tenaga Nasional Berhad Perkukuh Kerjasama Memacu Infrastruktur Pengecas Kenderaan Elektrik Di Perak

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 5 Mei 2025
  • 4 min membaca
Hotel Casuarina@Meru Dan Tenaga Nasional Berhad Perkukuh Kerjasama Memacu Infrastruktur Pengecas Kenderaan Elektrik Di Perak
(Dari kiri ke kanan) Puan Sabrina Ahmad Tah, Pengurus Besar Casuarina Meru Sdn Bhd, Tuan Syed Omar Albar Bin Syed Abdullah, Timbalan Ketua Eksekutif Perancangan dan Pembangunan) Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Yang Berhormat Tuan Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Yang Berhormat Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad, Menteri Besar Perak, Yang Berhormat Dato’ Mohd Zaki Bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Yang Berbahagia Datuk Ir. Megat Jalaluddin Bin Megat Hassan, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Tenaga Nasional Berhad, Yang Berbahagia Dato’ Mohd Azhar Bin Jamaluddin, Pengerusi Lembaga Pengarah Casuarina Meru Sdn. Bhd., Tuan Ir. Dr. Mohd Fadzil bin Mohd Siam, Ketua Pegawai Strategik dan Ventures, Bahagian Strategik dan Ventures (SVD) semasa Majlis Menandatangani Perjanjian antara Casuarina Meru Sdn. Bhd. (CMSB), anak syarikat Perak Corporation Berhad; sebuah syarikat tersenarai awam di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pengoperasian stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di Hotel Casuarina@Meru.

Dalam usaha memperkukuh agenda pembangunan mampan dan pelancongan hijau di Negeri Perak, Casuarina Meru Sdn. Bhd. (CMSB), anak syarikat milik penuh Perak Corporation Berhad di bawah naungan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), hari ini memeterai kerjasama strategik bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pemasangan fasiliti pengecas kenderaan elektrik (EV) di Hotel Casuarina@Meru.


Kerjasama ini dimeterai secara rasmi menerusi Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian yang turut menyaksikan penglibatan aktif sektor awam dan swasta dalam mendukung pelaksanaan infrastruktur mobiliti rendah karbon selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.


Majlis yang berlangsung di Casuarina Convention Centre itu telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak. Turut hadir ialah YB Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak; Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB; Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, Ketua Eksekutif PKNPk; En. Rosmin Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perak Corporation Berhad; Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin, Pengerusi Casuarina Meru Sdn. Bhd.; serta Puan Sabrina Ahmad Tah, Pengurus Besar Hotel Casuarina@Meru.


Menerusi perjanjian ini, TNB akan memasang satu (1) unit pengecas pantas DC 120kW dengan muncung berkembar (CCS2) dan dua (2) unit pengecas AC 22kW di perkarangan hotel. Kemudahan ini akan dilengkapi ruang parkir khas untuk EV, akses 24 jam dan sistem pembayaran digital menerusi aplikasi mudah alih — menawarkan pengalaman pengecasan yang mudah, efisien dan mesra pengguna.


“Majlis hari ini bukan sekadar simbolik, bahkan memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam mengorak langkah ke arah pembangunan berteraskan kelestarian,” ujar YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak.


“Aspirasi yang digariskan menerusi Perak Sejahtera 2030 di bawah Flagship 12 - Sumber Air dan Tenaga Boleh Diperbaharui, bertujuan membina ekonomi hijau yang inklusif, dengan menekankan inovasi, pelaburan dan penciptaan peluang pekerjaan. Peranan aktif TNB dalam menerajui teknologi tenaga bersih serta komitmen Casuarina Meru sebagai institusi hospitaliti milik kerajaan negeri jelas menunjukkan bahawa sinergi rentas sektor mampu menghasilkan impak nyata terhadap kelestarian alam dan pembangunan ekonomi negeri.”


Sehingga kini, Negeri Perak telah berjaya membangunkan sebanyak 149 petak pengecas EV di 56 lokasi strategik merangkumi kawasan bandar, luar bandar, lokasi eko-pelancongan serta zon pertumbuhan komersial. Pembangunan ini bersamaan hampir 30% daripada sasaran 500 pengecas menjelang 2025, dan inisiatif terbaharu ini dijangka akan mempercepatkan lagi pencapaian tersebut.


“Inisiatif ini bukan sekadar mempertingkatkan kualiti pengalaman penginapan para tetamu, malah mencerminkan komitmen kami dalam memikul tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar. Dalam masa yang sama, pelaksanaan inisiatif ini turut memperkukuh kedudukan hotel sebagai destinasi pilihan berteraskan kelestarian tambahan lagi dengan fasiliti pengecas disini adalah terpantas dalam kalangan semua hotel di Ipoh; sekali gus menyumbang secara langsung kepada usaha menjadikan Negeri Perak sebagai peneraju pelancongan hijau yang progresif dan berwawasan,” ujar Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin, Pengerusi Casuarina Meru Sdn. Bhd.

Hotel Casuarina@Meru Dan Tenaga Nasional Berhad Perkukuh Kerjasama Memacu Infrastruktur Pengecas Kenderaan Elektrik Di Perak
(Sebelah kanan dari kiri ke kanan): YAB Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad, Menteri Besar Perak, Yang Berhormat Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Yang Berhormat Tuan Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Perak and Yang Berhormat Dato’ Mohd Zaki Bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak. (Sebelah kiri dari kanan ke kiri):Yang Berbahagia Datuk Ir. Megat Jalaluddin Bin Megat Hassan, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Tenaga Nasional Berhad, Yang Berbahagia Dato’ Mohd Azhar Bin Jamaluddin, Pengerusi Lembaga Pengarah Casuarina Meru Sdn. Bhd., Encik Wan Ahmad Zam Zam Wan Abd Wahab, Program Director (Pmo Ev) Tenaga Nasional Berhad, Encik Mohd Razif Bin Abd Halim, Managing Director Of TNB, Tuan Ir. Dr. Mohd Fadzil bin Mohd Siam, Ketua Pegawai Strategik & Ventures, Bahagian Strategik dan Ventures (SVD), (di belakang): Tuan Syed Omar Albar Bin Syed Abdullah, Timbalan Ketua Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

“Hotel Casuarina@Meru sentiasa menyahut aspirasi negeri dalam menerapkan prinsip kelestarian dalam operasi kami,” tambah beliau lagi.


Majlis turut diserikan dengan sesi lawatan ke zon pengecas EV hotel, di mana para tetamu kehormat termasuk YAB Menteri Besar telah menyaksikan demonstrasi langsung pengecasan menggunakan model Proton e.MAS, iaitu kenderaan elektrik sepenuhnya keluaran nasional. Demonstrasi ini memberikan gambaran jelas kepada para tetamu berhubung kebolehlaksanaan teknologi pengecas EV tempatan serta kesesuaian infrastruktur yang telah disediakan.


Kemudahan ini dijangka siap dan mula beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2025, di bawah jenama Elektron milik TNB. Pelaksanaan projek ini akan menyumbang kepada sasaran negara untuk menempatkan 10,000 pengecas EV menjelang tahun 2025, yang kini telah mencapai 36% daripada jumlah tersebut. Inisiatif ini turut memperkukuh agenda nasional dalam memperkasa prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) dalam semua lapisan pembangunan.


Datuk Redza Rafiq, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) turut menambah:


“Selaras dengan komitmen berterusan Negeri Perak terhadap kelestarian, kami di PKNPk telah mengambil langkah proaktif untuk menerapkan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui dalam pelbagai aspek operasi perniagaan di bawah kumpulan PKNPk.


Sebagai sebahagian daripada usaha melengkapkan ekosistem mampan ini, panel solar telah dipasang di bumbung Casuarina Convention Centre serta di bumbung kawasan parkir hotel, bagi membolehkan kami menjana tenaga bersih, mengurangkan pelepasan karbon dan memperkukuh peranan kami sebagai peneraju hospitaliti hijau di negeri ini.


Di samping itu, lampu jalan berkuasa solar turut dipasang di Bulatan Sultan Azlan Shah, bukan sahaja bagi meningkatkan aspek keselamatan, malah mengurangkan penggunaan tenaga secara menyeluruh.”


Dengan kepimpinan strategik PKNPk serta keupayaan pelaksanaan Perak Corporation Berhad dalam sektor pelabuhan, hartanah, pelancongan dan perkhidmatan pengurusan, Perak berada di landasan tepat untuk muncul sebagai negeri mesra pelaburan yang mengutamakan kelestarian.


Majlis ini bukan sahaja mencerminkan penaiktarafan infrastruktur, malah memperlihatkan aspirasi bersama dalam membentuk masa depan negeri yang lebih hijau, inovatif dan progresif melalui kerjasama strategik sektor awam dan swasta.


Komen


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page