JETOUR Catat Kemajuan Di Malaysia Dengan Lebih 2,000 Tempahan Dan Pengembangan Pesat Rangkaian Pengedar
- Anna Chong

- 26 Ogo
- 3 min membaca

Sebagai jenama automotif yang sedang pesat meningkat dengan rekaan moden, teknologi inovatif, dan nilai luar biasa, JETOUR Malaysia (JETOUR) mencatat pencapaian yang membanggakan sejak memulakan pemasangan tempatan pada Jun 2025. Setakat ini, lebih 2,000 tempahan telah diterima, manakala lebih 1,000 unit SUV popular iaitu JETOUR Dashing dan VT9 telah pun diserahkan kepada pelanggan. Pencapaian ini menandakan penembusan kukuh ke dalam pasaran SUV Malaysia yang kompetitif, sekali gus mencerminkan pertumbuhan pesat jenama ini dalam hanya tempoh tiga bulan pertama operasi tempatan.

Kejayaan ini dapat didorong oleh peluasan pesat rangkaian jualan dan servis JETOUR di seluruh Semenanjung Malaysia. Menjelang Ogos 2025, sebanyak 20 pengedar sah telah beroperasi, lengkap dengan perkhidmatan Jualan, Servis, Alat Ganti serta Badan & Cat. Di Lembah Klang, lokasi yang beroperasi termasuk Bukit Jalil, Klang, Cheras, Sungai Long, Setia Alam, Kepong, Damansara, Puchong, Shah Alam (Glenmarie), Jalan Kuching, dan Ampang. Bagi Wilayah Utara, rangkaian perkhidmatan tersedia di Ipoh, Pulau Pinang, dan Alor Setar; manakala Wilayah Selatan meliputi Johor Bahru dan Melaka.

Menurut Encik Fu Yong, Ketua Pegawai Eksekutif JETOUR Malaysia, “Pertumbuhan rangkaian jualan dan servis kami di Malaysia membuktikan keyakinan serta sambutan menggalakkan daripada pelanggan tempatan terhadap JETOUR. Kami komited untuk menghasilkan kenderaan berkualiti tinggi serta menawarkan pengalaman pemilikan yang lancar supaya semangat pengembaraan JETOUR dapat dirasai oleh setiap pemandu di Malaysia.”

Rangkaian ini memberikan pelanggan akses kepada model-model terbaharu JETOUR, sesi perundingan peribadi, serta peluang menikmati pengalaman pandu uji dalam persekitaran moden yang selesa dan mesra pelanggan. Pusat pengedar turut dilengkapi dengan ruang rehat premium, kemudahan berkualiti, serta ruang servis khusus untuk penyelenggaraan berkala. Semua juruteknik yang berkhidmat diperakui oleh JETOUR Global Academy, bagi memastikan standard perkhidmatan bertaraf dunia yang konsisten untuk keselesaan dan keyakinan yang dipertingkatkan sepanjang pengalaman pemilikan.

Pengarah Jualan JETOUR Malaysia, Encik Mohd. Azhar, menekankan komitmen jenama terhadap ketercapaian dengan berkata, “Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap rakyat Malaysia berada dalam jarak yang dekat dengan pusat Jualan dan Servis JETOUR. Setiap pusat pengedar direka khas untuk menawarkan pengalaman premium yang mudah diakses, seiring dengan identity jenama kami.”

Menambah kepada komitmen ini, Pengarah Perkhidmatan Selepas Jualan JETOUR Malaysia, Encik Alex Wong, menekankan kepentingan penjagaan pelanggan secara menyeluruh: “Setiap aspek rangkaian selepas jualan kami dibangunkan untuk memberikan ketenangan fikiran kepada pemilik JETOUR. Daripada perlindungan waranti yang kompetitif dan jaminan ketersediaan alat ganti tulen hinggalah kepada rangkaian juruteknik terlatih serta bertauliah, kami komited untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan memastikan pelanggan dapat mengekalkan keyakinan di jalan raya untuk tahun-tahun yang akan datang.”

Berbekalkan momentum ini, JETOUR berada di landasan yang tepat untuk mengembangkan rangkaiannya kepada 30 pusat pengedar sah di seluruh negara menjelang akhir tahun 2025. Setiap pusat baharu ini akan menepati piawaian global 3S jenama, selain menampilkan zon pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan. Di Lembah Klang, lokasi baharu termasuk Petaling Jaya, Seri Kembangan, Putrajaya, Sunway, Kota Damansara, dan cawangan kedua di Kepong. Di Wilayah Utara, pengembangan meliputi Sungai Petani, Bayan Lepas, serta cawangan kedua di Ipoh, manakala Wilayah Selatan akan membuka cawangan kedua di Melaka dan juga Seremban. Di Pantai Timur, pusat pengedar sah baharu bakal dibuka di Kuantan, Temerloh, Bentong, dan Kota Bharu. Sementara itu, Malaysia Timur akan menyaksikan pembukaan pusat 3S JETOUR pertama di Kuching, Sibu, Miri, Kota Kinabalu, Sandakan, dan Tawau.

Komitmen ini turut diperkukuh untuk meliputi sokongan pemilikan, dengan pakej selepas jualan yang amat kompetitif, merangkumi jaminan enjin 10 tahun / 1,000,000 km, jaminan kenderaan 7 tahun / 150,000 km, serta lima kali servis percuma termasuk kos buruh dan alat ganti. Sokongan menyeluruh ini memastikan pelanggan bukan sahaja menikmati kenderaan berkualiti, malah nilai berpanjangan dan ketenangan fikiran sepanjang pengalaman pemilikan kenderaan.

Dengan rangkaian model baharu yang bakal diperkenalkan, akses perkhidmatan yang semakin meluas, serta kerjasama strategik untuk menambah titik sentuh pelanggan di seluruh negara merangkumi kawasan bandar dan separa bandar, JETOUR bersedia untuk membawa pengalaman pengembaraan yang lebih mengujakan kepada rakyat Malaysia mulai hari ini dan untuk masa hadapan.





















Komen