JETOUR Auto Malaysia Memperkenalkan SUV Baharu Dengan Pelancaran JETOUR VT9
- Anna Chong
- 9 Mei
- 4 min membaca
Updated: 6 hari lalu

JETOUR Malaysia meneruskan momentumnya dalam pasaran automotif tempatan dengan pelancaran rasmi JETOUR VT9 di Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung di MAEPS, Serdang. Model VT9 mencerminkan visi Jetour dalam memperluaskan keupayaannya menerusi rekaan dan kejuruteraan pintar.

Berteraskan semangat ‘Pengembara’, VT9 menggabungkan reka bentuk yang berani dengan kepelbagaian fungsi yang pintar. “VT” adalah singkatan kepada kata dasar “Venture”, yang selaras dengan falsafah JETOUR Travel+ untuk menzahirkan pengembaraan yang penuh makna berdasarkan pengalaman pemanduan sebenar. Angka “9” pula mendefinisikan ruangan dan keselesaan yang dipertingkatkan dan seterusnya menjadi pilihan ideal untuk perjalanan keluarga dan pengembaraan jarak jauh. Sebagai sebahagian daripada siri Travel+, VT9 menawarkan pengalaman pemanduan yang bergaya, praktikal dan bebas ke mana-mana destinasi yang dituju.
Dibina atas platform yang kukuh, JETOUR VT9 menampilkan lebar badan 1.9 meter dengan imbasan sisi yang anggun dan dinamik. Penampilannya yang ranggi dan elegan diserlahkan lagi melalui rekaan hadapan JETOUR X-Face yang ikonik, sistem pencahayaan LED, dan sisipan ekzos berkembar. Diinspirasikan oleh reka bentuk binaan tradisional Cina, lampu nyalaan siang LED adalah diinspirasikan daripada bentuk tanglung dan rekaan gril hadapan bermotifkan bulu pelepah yang menggabungkan warisan budaya dengan sentuhan kontemporari yang canggih.

Encik Fu Yong, Ketua Pegawai Eksekutif JETOUR Malaysia menyatakan: “Pelancaran ini merupakan langkah strategik kami dalam memenuhi keperluan pasaran yang pelbagai dan sentiasa berkembang. JETOUR VT9 mencerminkan kemajuan dalam strategi mengembangkan jenama JETOUR kerana ia merupakan sebuah SUV dinamik yang direka khas untuk menyerlahkan gaya, prestasi dan kepenggunaan pintar. Seiring dengan pengukuhan kehadiran kami di Malaysia, kami komited untuk memperkenalkan kenderaan yang menggabungkan fungsi dan rekaan dengan matlamat yang jelas dan inovasi dalam pembangunan model baharu”.


Ruang dalaman VT9 menawarkan keluasan yang selesa dengan kabin 7 tempat duduk di mana tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh dilipat untuk menyediakan sehingga 1,680L ruang kargo. Sentuhan premium merangkumi stereng bentuk-D balutan kulit, kemasan aluminium, dan tempat duduk kemasan kulit untuk keselesaan maksimum. Tarikan utama ruang dalamannya ialah sistem infotainmen pintar dwi-skrin LCD bersaiz 10.25 inci dengan resolusi tinggi 1920x720, skrin sentuh, serta sokongan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar dan sistem arahan suara pintar.
Direka untuk menyokong gaya hidup yang selesa, JETOUR VT9 meningkatkan pengalaman pemanduan dengan pelbagai ciri pintar termasuk bumbung suria panoramik yang lebar bersaiz 62 inci, pintu belakang bantuan kuasa, pengecasan pantas tanpa wayar 50W dan penapis udara kabin CN95. Direka untuk keselesaan dan kemudahan dengan menitikberatkan keselamatan, JETOUR VT9 turut dilengkapkan dengan enam beg udara, rangka keluli berketahanan tinggi, pemantauan video definisi tinggi 360°, serta sistem bantuan pemandu seperti Pengesanan Titik Buta (Blind Spot Detection), Amaran Trafik Belakang (Rear Cross Traffic Alert), dan sistem Kawalan Menaiki dan Menuruni Bukit (Hill Hold and Hill Descent Control) yang menjamin ketenangan pemandu dan penumpang dalam setiap perjalanan.

Dikuasakan oleh enjin 1.5L TCI yang digandingkan dengan transmisi 6DCT, ketahanan tren kuasa VT9 telah diuji secara professional melebihi 2 juta kilometer bagi memastikan perjalanan yang lancar dan efisyen dapat tercapai. Sesuai untuk kegunaan keluarga dan professional, JETOUR VT9 didatangkan dalam varian Comfort dan Prime, dengan pilihan ciri-ciri utama dan harga yang fleksibel menurut keperluan dan gaya hidup pengguna.
Varian Comfort ditawarkan pada harga jualan bermula daripada RM118,800, dan dilengkapi ciri-ciri seperti lampu depan LED automatik, kemasan luaran merah yang ranggi, rim aloi 19 inci, tempat duduk kulit dengan liang udara (perforated), pencahayaan sekitaran dan pengecas tanpa wayar 50W. Varian Prime pula, adalah pada harga jualan RM123,800 , dengan tambahan sentuhan premium seperti bumbung suria panoramik, sistem audio 6 pembesar suara, tempat duduk dengan fungsi memori, cermin pandang belakang malap secara automatik beserta sistem keselamatan lengkap termasuk BSD, RCTA, LCW dan DOW. Kedua-dua varian ditawarkan dalam pilihan warna Star Black, Khaki White, Phantom Grey, Tech Grey, dan Aurora Green.

“Susulan sambutan positif terhadap JETOUR Dashing, kami berhasrat untuk terus menetapkan penanda aras yang tinggi bagi masa depan landskap automotif tempatan. JETOUR VT9 mencerminkan evolusi seterusnya dalam perjalanan JETOUR di pasaran Malaysia yang mana pada masa hadapan kami akan menawarkan pelbagai pilihan mobiliti pintar, reka bentuk yang unggul untuk pengalaman yang lebih bermakna,” jelas Encik Fu. Sejak memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2024, JETOUR telah bergerak pantas dalam membina asas yang kukuh untuk menjamin pertumbuhan jangka panjang, bukan sekadar melalui pelancaran produk, malah dengan memberi tumpuan berterusan terhadap penyesuaian pasaran tempatan dan penglibatan pelanggan. Dengan lebih 15 pusat jualan dan servis yang sudah beroperasi dan banyak lagi dalam perancangan, fasa seterusnya bagi JETOUR turut merangkumi kerjasama yang lebih mendalam, inisiatif pemerolehan tempatan serta memperkenalkan kemudahan mobiliti masa hadapan yang disesuaikan dengan gaya hidup rakyat Malaysia.
Comments