Mercedes-Benz EQV 300-Kemewahan Dalam Pergerakan - Dipertingkatkan, Didefinisikan Semula
- Anna Chong

- 2 Jul
- 3 min membaca
Updated: 8 Jul

Dalam usaha memperkenalkan kenderaan mewah mesra alam di Malaysia, Hap Seng Trucks Distribution (HSTD) selaku pengedar rasmi Mercedes-Benz Vans telah mempersembahkan model baharu Mercedes-Benz EQV 300 dalam satu acara khas bersama media. Ini merupakan kali pertama model ini didedahkan secara rasmi oleh HSTD, sekaligus memperkenalkan rakyat Malaysia kepada generasi terbaharu MPV elektrik sepenuhnya dengan spesifikasi AVANTGARDE.

EQV 300 baharu ini tampil dengan gaya lebih moden dan segar, sesuai dengan keperluan orang zaman sekarang yang mahukan kenderaan berteknologi tinggi tapi tetap bergaya. Rekaan luarannya sememangnya begitu kemas dan elegan, dengan gabungan teknologi digital pintar serta prestasi elektrik generasi baharu yang lebih cekap. Varian AVANTGARDE pula menyerlah dengan lampu utama adaptif MULTIBEAM LED, ditambah kemasan krom bersama logo Mercedes-Benz di bahagian belakang yang pasti menarik perhatian. Rim aloi 17 inci yang lebih bergaya dan pilihan warna yang lebih menarik turut melengkapkan penampilan MPV elektrik ini, menjadikannya pilihan tepat untuk mereka yang sukakan gaya mewah dan moden.

Masuk ke bahagian dalam, EQV 300 menawarkan pengalaman seperti berada di ruang lounge mewah dengan paparan skrin lebar berkembar bersaiz 12.3 inci, corong penyaman udara yang direka semula, kawalan stereng sentuhan pintar dan pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna.
Dilengkapi dengan sistem bunyi Burmester® surround yang mengasyikkan, dengan amplifier dan sistem pembesar suara yang ditala secara optimum. Dengan 15 pembesar suara dan bass reflex box, sistem ini mampu menghasilkan output sehingga 640W, memastikan bunyi berkualiti tinggi dapat dinikmati dari setiap tempat duduk hasil teknologi bunyi surround multichannel. Tempat duduk dibalut kulit Lugano, manakala pintu gelangsar automatik di kedua-dua sisi menambah keselesaan dan kemudahan buat pemandu serta penumpang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hap Seng Trucks Distribution, Encik Derrick Sim, “Mercedes-Benz EQV 300 rasmi didedahkan hari ini membawa maksud besar dalam cara kami mendefinisikan semula gabungan kemewahan, prestasi dan kelestarian. Dengan pengalaman digital yang dipertingkatkan, rekaan yang diperbaharui serta komitmen terhadap teknologi hijau, EQV baharu ini menjadi simbol arah tuju kami dan mengajak semua untuk terus melangkah ke hadapan dengan penuh makna.”

EQV 300 dikuasakan oleh bateri lithium-ion berkapasiti 90 kWh yang boleh digunakan, digabungkan dengan motor elektrik yang dipasang di bahagian hadapan yang menghasilkan kuasa maksimum 150 kW (204 PS) dan tork 365 Nm. Model ini menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 418 km berdasarkan kitaran NEDC. Bagi kemudahan pengecasan, EQV 300 menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW serta pengecasan pantas DC sehingga 110 kW, yang membolehkan tahap pengecasan dari 10% hingga 80% dicapai dalam tempoh kira-kira 40 minit. Empat mod pemanduan disediakan, iaitu Comfort, Sport, Eco dan Maximum Range (ECO+), dengan kelajuan maksimum mencecah 160 km/j, sekali gus menawarkan keseimbangan antara kehalusan pemanduan dan tindak balas prestasi.

Dari segi keselamatan, EQV 300 mengekalkan komitmen tinggi Mercedes-Benz terhadap perlindungan pemandu dan penumpang dengan menawarkan rangkaian lengkap sistem bantuan pemandu terkini.
Antara ciri yang disediakan termasuk Active Brake Assist, Lane Keep Assist, Blind Spot Assist, Active Distance Assist DISTRONIC, Pemantauan Tekanan Tayar (Tyre Pressure Monitoring) dan ATTENTION Assist. Model ini turut dilengkapi dengan beg udara untuk pemandu dan penumpang hadapan termasuk beg udara thorax-pelvis, beg udara tengah serta tirai udara keselamatan. Ciri Parking Package dengan kamera 360° dan Active Parking Assist turut ditawarkan bagi memudahkan proses mencari dan memasuki ruang parkir dengan lebih selamat dan efisien.

Selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia, EQV 300 mencerminkan peranan jenama ini dalam membentuk masa depan automotif yang lebih bertanggungjawab dan lestari.

Bagi meraikan ketibaan model ini, HSTD menawarkan pakej pengenalan eksklusif kepada pelanggan yang merangkumi pengecas Mercedes-Benz Wallbox secara percuma, tiga tahun servis penyelenggaraan berjadual tanpa caj serta rebat tempahan khas sebanyak RM10,000. EQV 300 turut disertakan dengan jaminan kenderaan selama dua tahun atau 200,000 km (mana-mana yang terdahulu), manakala bateri voltan tinggi dilindungi selama lapan tahun atau sehingga 160,000 km, bergantung kepada mana yang dicapai terlebih dahulu.

Bagi mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman kenderaan elektrik mewah generasi baharu ini, EQV 300 kini ditawarkan untuk pendaftaran persendirian dan korporat dengan harga anggaran bermula RM450,000 (atas jalan, tanpa insurans).
Untuk memberi peluang lebih ramai rakyat Malaysia melihat lebih dekat model ini, Hap Seng Trucks Distribution akan mengadakan siri jelajah pop-up di Bangsar Shopping Centre (BSC) bermula 21 hingga 27 Julai 2025, dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari di kawasan co-entrance pusat beli-belah tersebut. Pengunjung dijemput untuk meneroka lebih dekat kenderaan ini, berinteraksi bersama pakar produk serta merasai sendiri gabungan mobiliti elektrik dan kemewahan Mercedes-Benz.





















Komen