Perodua perkenal SUV terbaharu - Perodua Traz, harga bermula dari RM76,100
- Anna Chong

- 3 jam lalu
- 1 min membaca

Perodua menutup tirai 2025 dengan pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharu – Perodua Traz – kenderaan lima tempat duduk yang direka untuk mereka yang menggemari pengembaraan bandar dan mereka yang berkeluarga.
Perodua Traz direka untuk menjadi kenderaan Perodua paling mesra pengguna dengan slogan ‘Engineered Simply’, yang mana SUV itu dibuat mengikut kehendak pemandu Malaysia.
Dengan harga antara RM76,100 hingga RM82,000 (harga atas jalan, tidak termasuk insurans), kenderaan itu dijangka melengkapi rangkaian SUV Perodua seperti Aruz dan Ativa.

“Kami percaya model ini mempunyai pasarannya yang tersendiri dan kami menyasar jualan adalah sekitar 1,900 unit sebulan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Dato’ Sri Zainal berkata kos projek kenderaan berkenaan adalah sekitar RM563.3 juta dan dihasilkan di kilang Perodua Manufacturing Sdn Bhd di Sungai Choh, Rawang. Perodua Traz mempunyai 95 % kandungan tempatan.

Tambahnya lagi, Perodua menjangka kenderaan itu akan memberi impak secara positif kepada jumlah pendaftaran kenderaan Perodua untuk tahun 2026 dan seterusnya. Penghantaran kenderaan baharu itu dijangka bermula secepat mungkin di Semenanjung Malaysia.
Para pelanggan digalakkan untuk melawat bilik pameran Perodua untuk pandu uji dan membuat tempahan.
Tahap kecekapan bahan api Perodua Traz adalah sebanyak 21.3 kilometer per liter bergantung kepada Mod Kitaran Pemanduan Malaysia.
Perodua Traz juga didatangkan dalam beberapa warna termasuklah Cranberry Red, Electric Blue with Black Roof, Glittering Silver, Ivory White dan Granite Grey.
Antara ciri khas lain yang ada pada kenderaan itu adalah ‘Power Back Door with Kick Sensor’ dan corong penyaman udara di kerusi penumpang belakang.






























































Komen