Perodua Ramal Prestasi TIV 2025 Lebih Kukuh
- Anna Chong

- 13 Jan
- 2 min membaca

Perodua menjangka jumlah keseluruhan industri (TIV) akan mencecah 820,000 bagi tahun 2025, mengatasi 816,747 unit yang diumumkan tahun lalu sekaligus memberi petunjuk bahawa permintaan untuk kenderaan kekal sihat didorong oleh minat pembeli yang mementingkan nilai produk.
Bagi tahun 2025, Perodua mengeluarkan 370,370 unit kenderaan, naik 0.6% daripada 368,100 kenderaan pada tahun 2024 manakala jualan pula meningkat sebanyak 0.5% kepada 359,904 unit berbanding 358,102 unit yang didaftarkan pada 2024.
“Berdasarkan jangkaan dalaman kami, pegangan pasaran Perodua kini adalah sebanyak 43.9%. Di samping itu, jumlah pengeluaran sebanyak 370,370 unit dan pendaftaran (359,904 unit) yang dicatatkan menunjukkan kami telah berjaya mengatasi rekod yang dicapai pada tahun 2024,” Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Untuk prestasi mengikut model, Perodua Bezza mengekalkan kedudukan teratas dengan 100,488 unit dijual pada 2025, tahun kedua model kenderaan itu mencatat jualan melebihi 100,000 unit. Ia diikuti oleh Perodua Axia dengan 84,291 unit dan Perodua Myvi sebanyak 72,724 unit.
“Ketiga-tiga model ini – Bezza, Axia dan Myvi – kekal sebagai tiga model tertinggi daripada aspek jualan di dalam negara ini dan kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana terus menyokong usaha kami untuk menawarkan nilai yang lebih baik terhadap produk-produk kami,” kata Dato’ Sri Zainal.
Tambahnya, untuk model QV-E dan Traz yang baru dilancarkan, impaknya terhadap jumlah jualan hanya akan diketahui pada tahun ini. “Dengan adanya sokongan kuat daripada rakyat Malaysia, keseluruhan ekosistem automotif di negara ini akan mendapat manfaat yang besar menerusi pembelian komponen bernilai RM11 bilion daripada vendor tempatan dan dalam masa yang sama memperkasakan usahawan tempatan seperti pengedar bertauliah dan stokis Perodua,” katanya.
“Kami akan terus memainkan peranan sebagai pembina negara dengan terus mengembangkan perniagaan di sini, terutama sekali dalam industri kenderaan elektrik serta tawaran digital lain. Kami juga akan terus mengukuhkan kerjasama yang telah dimeterai, dan dalam masa yang sama mencari kerjasama baharu yang boleh memberi manfaat kepada industri tempatan dan negara,” kata Dato’ Sri Zainal.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pembekal Perodua Tuan Haji Musa Zahidin Ahmad Zaidi berkata peningkatan dalam pengeluaran dan pembelian komponen alat ganti mempunyai impak yang mendalam terhadap ahlinya.
“Pembelian tambahan dan komitmen berterusan dari Perodua telah membolehkan kami untuk terus melabur untuk operasi kami di masa hadapan. Ini bermakna, kami boleh mengembangkan tenaga kerja, menambahbaik perniagaan dan untuk sesetengah ahli kami, mengembangkan perniagaan ke luar negara,” katanya.
Presiden Persatuan Pengedar Perodua, Cik Rabitah Shamsudin berkata: “Perodua telah memainkan peranan penting dalam membina rangkaian pengedaran yang kukuh dan dengan jumlah jualan yang terus meningkat, kami dapat terus mengembangkan perniagaan walaupun berhadapan dengan persaingan daripada jenama-jenama baharu. Bagi kami, Perodua mewakili jenama yang menjuarai operasi perniagaan tempatan dan berkongsi kejayaan industri dengan semua rakyat Malaysia – dan kami amat berterima kasih untuk itu,” kata Rabitah.




















Komen