PRO-NET dan AMTEL Cellular Jalin Kerjasama untuk Urus Pelupusan Bateri EV Secara Lestari
- Anna Chong

- 10 Jul 2025
- 3 min membaca

Proton New Energy Technology (“PRO-NET”), anak syarikat tenaga baharu PROTON, hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan AMTEL Cellular Sdn Bhd (“AMTEL”), anak syarikat AMTEL Holdings Berhad, bagi mengurus pengangkutan, pemisahan komponen dan pelupusan bateri kenderaan elektrik (EV) dengan cara yang betul dan selamat.
Melalui kerjasama ini, PRO-NET akan memanfaatkan kepakaran AMTEL dalam memastikan bateri EV dapat digunakan sepenuhnya dan tidak dibazirkan. Bahan bernilai daripada bateri terpakai akan dipulihkan dan digunakan semula untuk tujuan seperti pembuatan bateri baharu atau sebagai sistem penyimpanan tenaga, satu langkah penting ke arah ekonomi kitaran yang lebih lestari.
Menurut anggaran oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), menjelang tahun 2050, sebanyak 870,000 bateri EV dijangka perlu dikitar semula di Malaysia. Jumlah ini menunjukkan keperluan mendesak untuk adanya sistem dan rangka kerja yang teratur bagi memastikan bateri terpakai dikumpul, diproses dan dilupuskan dengan cara yang selamat dan bertanggungjawab. Hal Ini penting untuk memastikan kelestarian jangka panjang ekosistem EV di negara ini, terutamanya dengan kadar penggunaan yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, “PRO-NET komited sepenuhnya terhadap kelestarian. Dalam usaha kami membantu negara beralih kepada mobiliti hijau, kami juga mahu memastikan keseluruhan proses ini adalah mesra alam. Walaupun belum ada garis panduan rasmi daripada pihak kerajaan, kami mengambil langkah awal untuk memastikan pelupusan bateri EV dilakukan dengan cara yang betul agar proses kitar semula ini tidak menjejaskan alam sekitar.”
Pelupusan bateri EV akan dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan di bawah Sistem Maklumat Sisa Berjadual Elektronik (eSWIS) yang digunakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). AMTEL turut melabur secara aktif dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk meneroka kegunaan baharu untuk sel bateri EV. Fokus utama adalah memanfaatkan semula sel bateri ini untuk kegunaan seperti sistem penyimpanan tenaga, sekali gus menyokong ekosistem tenaga yang lebih lestari.
Ketua Pegawai Eksekutif AMTEL Cellular Sdn Bhd, Encik Lim Hun Teik berkata, “Kerjasama ini menunjukkan komitmen bersama kami bukan sahaja memacu mobiliti elektrik, tetapi juga membina ekosistem lengkap yang menyokongnya, daripada khidmat selepas jualan yang boleh dipercayai, pengurusan bateri yang selamat hinggalah kepada pelupusan yang bertanggungjawab. Kami sepenuh hati menyokong misi PRO-NET dalam membawa inovasi ke jalan raya dan berbesar hati dapat memainkan peranan penting dalam memastikan pemilik EV terus yakin sepanjang tempoh pemilikan kenderaan mereka.”

Proton e.MAS 7 menggunakan bateri LFP short-blade berteknologi tinggi yang direka khas untuk mengurangkan risiko berkaitan bateri dan memastikan keselamatan kenderaan serta penumpangnya. Ciri ini menjadi antara tarikan utama yang menjadikan Proton e.MAS 7 sebagai EV paling laris di Malaysia bagi tahun 2025 setakat ini, selain turut diiktiraf sebagai EV paling selamat di negara ini dengan pencapaian skor tertinggi dalam penilaian ASEAN NCAP.
Bateri Tahan Lasak, Tidak Musnah dan Mampu Menahan Tekanan Dari Tangki Seberat 36 tan
Proton e.MAS 7 dilengkapi teknologi Cell-to-Body (CTB) bersama bateri Aegis Short Blade, di mana bateri bukan sekadar diletakkan di bawah lantai tetapi menjadi sebahagian daripada struktur badan kereta itu sendiri. Hal ini bukan sahaja menjadikan kenderaan lebih kukuh malah lebih selamat. Ketahanan bateri ini terbukti apabila ia berjaya melepasi ujian ekstrem apabila bateri mampu menahan beban tangki seberat 36 tan tanpa sebarang kebakaran, letupan atau kegagalan haba. Malah, ujian ini melebihi 1.8 kali ganda tekanan maksimum yang ditetapkan dalam piawaian keselamatan semasa.
Walaupun berdepan tekanan melampau, bateri kekal utuh tanpa sebarang tanda kembung, kebocoran atau kerosakan. Ini melengkapkan ujian terdahulu yang dikenali sebagai "6 Devil", satu siri ujian ekstrem termasuk api, banjir, beku, beban tekanan, geseran dan pelanggaran bagi memastikan ketahanan dan kebolehpercayaannya dalam pelbagai situasi. Dengan hampir sejuta kenderaan dijual di seluruh dunia dan tiada kes kebakaran semasa dilaporkan, teknologi keselamatan bateri AEGIS terbukti boleh dipercayai dalam dunia sebenar.

Nikmati Tambahan RM5,000 Apabila Menukar Kereta Lama untuk e.MAS 7 yang Baharu
Untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati pengalaman pemanduan elektrik, PRO-NET tampil dengan tawaran tukar beli khas. Tak kira jenama atau usia kereta anda sekarang, anda layak menerima tambahan RM5,000 apabila menukarnya dengan Proton e.MAS 7 baharu. Ini merupakan inisiatif PRO-NET dalam membantu anda beralih ke kenderaan yang lebih canggih, selamat dan efisien. Setiap kenderaan tukar beli akan melalui proses pemeriksaan standard untuk kelulusan.
Kalau anda masih belum memiliki Proton e.MAS, tunggu apa lagi? Stok sedia ada untuk varian e.MAS 7 Prime dan Premium kini tersedia, jadi anda tak perlu tunggu lama untuk mula menikmati pemanduan elektrik yang lestari. Harga bermula serendah RM105,800 untuk Prime dan RM119,800 untuk Premium.




















Komen