top of page

Proton Diktiraf Sebagai Pengeluar Kenderaan Penumpang Pertama Di Malaysia Terima Pensijilan ISO 50001:2018

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 5 hari lalu
  • 2 min membaca

Updated: 4 hari lalu


Proton Diktiraf Sebagai Pengeluar Kenderaan Penumpang Pertama Di Malaysia Terima Pensijilan ISO 50001:2018

PROTON mencatat satu lagi pencapaian penting dalam agenda kelestarian syarikat apabila menjadi pengeluar kereta penumpang pertama di Malaysia yang menerima pensijilan ISO 50001 bagi Sistem Pengurusan Tenaga (EnMS). Pengiktirafan ini membuktikan komitmen PROTON dalam meningkatkan kecekapan tenaga serta menyokong usaha negara ke arah masa depan rendah karbon.


Pensijilan berkenaan selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh amalan pengurusan tenaga menerusi Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga 2024 (EECA 2024). Ia juga menyokong inisiatif nasional seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), selain aspirasi sifar bersih syarikat induk PROTON, DRB-HICOM.


Proton Diktiraf Sebagai Pengeluar Kenderaan Penumpang Pertama Di Malaysia Terima Pensijilan ISO 50001:2018

Pengiktirafan kepada usaha kecekapan tenaga

Pensijilan ISO 50001:2018 yang dianugerahkan oleh British Standards Institution (BSI) menunjukkan PROTON telah membangunkan sistem pengurusan tenaga yang tersusun bagi memantau, mengawal dan menambah baik penggunaan tenaga secara berterusan di seluruh operasi syarikat.


Pelaksanaan sistem ini melibatkan operasi pembuatan PROTON termasuk kilang di Tanjung Malim, Perak yang mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 250,000 unit setahun. Dengan skala pengeluaran tersebut, penggunaan tenaga berkait rapat dengan jumlah kenderaan dihasilkan, menjadikan kecekapan tenaga bagi setiap unit sebagai fokus utama. Walaupun penambahbaikan kecil dibuat bagi setiap kenderaan, kesannya mampu memberi impak besar kepada keseluruhan operasi.


Proton Diktiraf Sebagai Pengeluar Kenderaan Penumpang Pertama Di Malaysia Terima Pensijilan ISO 50001:2018

Melalui sistem ini, PROTON menyasarkan peningkatan kecekapan tenaga sebanyak 2% setiap tahun, selaras dengan pertumbuhan pengeluaran dan matlamat kemampanan jangka panjang syarikat.Usaha itu digerakkan menerusi pelan hala tuju tenaga berfasa di kilang Tanjung Malim yang merangkumi pelbagai inisiatif seperti pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) berskala besar, pendigitalan tenaga serta pemantauan masa nyata, penggunaan lampu LED, pengoptimuman sistem kipas dan penyejuk, peningkatan kecekapan pemampat udara serta pelaksanaan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) pada masa hadapan bagi mengurus permintaan tenaga pada waktu puncak.


Selain itu, program penjimatan tenaga turut dijalankan secara berterusan di kawasan pengeluaran seperti Stamping, Body, Painting, Trim & Final (TF) serta Assembly.


Proton Diktiraf Sebagai Pengeluar Kenderaan Penumpang Pertama Di Malaysia Terima Pensijilan ISO 50001:2018

Menyokong pembangunan industri mampan negara

Pencapaian ini turut memperkukuh peranan PROTON sebagai peneraju automotif nasional dalam menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon. Ketika Automotive High-Tech Valley (AHTV) berkembang sebagai hab pembuatan maju serantau, PROTON terus menunjukkan bagaimana kelestarian boleh digabungkan dengan pertumbuhan industri.


Pensijilan ini juga melengkapkan inisiatif terdahulu syarikat termasuk pemasangan kemudahan panel solar dwimuka terbesar di kawasan parkir di Malaysia di PROTON Tanjung Malim pada tahun 2021. Langkah itu mencerminkan usaha berterusan syarikat ke arah penggunaan tenaga lebih bersih dan operasi lebih bertanggungjawab.


Proton Diktiraf Sebagai Pengeluar Kenderaan Penumpang Pertama Di Malaysia Terima Pensijilan ISO 50001:2018

Sehingga Disember 2025, kemudahan solar tersebut berjaya mengurangkan kira-kira 48,450 tan pelepasan karbon dioksida, bersamaan 10,500 kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dikeluarkan dari jalan raya Malaysia selama setahun.


Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa berkata, kecekapan dan kelestarian akan menjadi faktor utama daya saing industri automotif pada masa depan.



“Bagi PROTON, kami perlu memperkukuh keupayaan hari ini supaya operasi syarikat sentiasa bersedia menghadapi masa depan, lebih anjal dan selari dengan perkembangan industri automotif global. Sebagai pengeluar kereta penumpang pertama di Malaysia yang menerima ISO 50001:2018, kami bukan sahaja menetapkan penanda aras baharu dalam operasi sendiri, malah kepada ekosistem automotif yang sedang dibangunkan di Tanjung Malim,” katanya.

Komen


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page