top of page

Proton e.MAS 7 Catat Penghantaran Keseluruhannya Sebanyak 5,811 Unit, Kekal No. 1 EV di Malaysia

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 18 Sep
  • 2 min membaca

PROTON e.MAS 7

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat PROTON, hari ini mengumumkan bahawa Proton e.MAS 7 sekali lagi mengekalkan kedudukannya sebagai kenderaan elektrik No. 1 di Malaysia bagi bulan Ogos 2025. Jumlah penghantaran telah mencecah sebanyak 5,811 unit dari 1 Januari hingga 31 Ogos, merangkumi 5,455 unit jualan tempatan dan 356 unit dieksport ke 4 pasaran antarabangsa.


Dengan pencapaian ini, Proton e.MAS 7 kini telah menjadi kenderaan elektrik paling laris di Malaysia selama lapan bulan berturut-turut, mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran sejak awal tahun. Berdasarkan data pendaftaran terkini JPJ, model ini terus menguasai pasaran sehingga separuh kedua tahun 2025, dengan 5,455 unit didaftarkan pada bulan Ogos dan jumlah keseluruhan setakat ini mencecah 5,811 unit. Dengan pegangan pasaran sebanyak 24%, hampir satu daripada setiap empat EV yang terjual di Malaysia ialah Proton e.MAS 7.


“Kami amat berterima kasih kepada semua pemilik Proton e.MAS 7 atas kepercayaan dan sokongan mereka,” ujar Encik Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET. “Proton e.MAS 7 dibangunkan sebagai kereta untuk rakyat Malaysia, dan kami sentiasa mendengar maklum balas pelanggan untuk terus menambah baiknya. Hal ini dapat dilihat melalui pelancaran varian baharu Proton e.MAS 7 pada awal Julai lalu, yang memperkenalkan kemas kini over-the-air serta pilihan warna luaran dan rekaan dalaman baharu.”


“Setiap pencapaian yang kami raih adalah hasil daripada kepercayaan anda terhadap kami, dan kami tetap komited untuk memberikan nilai tambah yang berkekalan serta terus menambah baik pengalaman pemilikan untuk semua rakyat Malaysia,” tambahnya.


Memperkukuh Industri EV Malaysia melalui Pemasangan Tempatan

Pada bulan Ogos 2025 yang lepas telah menandakan satu pencapaian penting dengan perasmian rasmi kilang EV pertama PROTON di Tanjung Malim. Sejak diperkenalkan, Proton e.MAS 7 telah dipasarkan sebagai model CBU (completely built-up) dari China bagi memenuhi permintaan awal. Dengan kemudahan baharu yang sudahpun mula beroperasi, Proton e.MAS 7 akan beralih kepada pemasangan tempatan (CKD) dalam masa terdekat, sekali gus mencatat sejarah sebagai kenderaan elektrik pertama Proton yang dipasang di Malaysia.


Kilang baharu yang terletak di dalam Automotive High Technology Valley (AHTV) ini mempunyai kapasiti sebanyak 20,000 kenderaan setahun, dengan keupayaan untuk ditingkatkan sehingga 45,000 unit apabila permintaan meningkat. Pemasangan tempatan ini akan memperkukuh peranan PRO-NET dalam membangunkan ekosistem EV Malaysia dengan meningkatkan aksesibiliti, mewujudkan peluang pekerjaan, serta menggalakkan penglibatan lebih besar daripada vendor tempatan dalam rantaian bekalan.

 

Langkah ini turut mencerminkan aspirasi Kerajaan untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai hab EV Malaysia. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pengeluaran EV PROTON pada harga berdaya saing menjelang Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober 2025.

Komen


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

M 160x600.jpg

ADVERTISEMENT

Pandu Pandu Icon
PanduBabes Logo
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta. Bersama PanduBabes, kami membawa cerita, inspirasi dan acara untuk komuniti peminat automotif Malaysia.
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2025 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page