Proton e.MAS 7 Mencecah Lebih 4,000 Unit Dihantar dan Kini Menjadi EV Paling Laris di Malaysia bagi Separuh Pertama Tahun 2025
- Anna Chong

- 23 Jul
- 3 min membaca

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat PROTON, hari ini mengumumkan bahawa Proton e.MAS 7 sekali lagi muncul sebagai kenderaan elektrik paling laris di Malaysia bagi bulan Jun 2025. Sejumlah 4,003 unit telah berjaya dihantar dari 1 Januari hingga 30 Jun, menunjukkan prestasi yang konsisten dan kehadirannya dalam pasaran tempatan sejak awal tahun. Dengan penguasaan pasaran sebanyak 23.4%, Proton e.MAS 7 terus mengekalkan kedudukannya sebagai model EV No. 1 negara untuk enam bulan berturut-turut.
Selain prestasinya yang kukuh, Proton e.MAS turut telah mengeksport sebanyak 250 unit e.MAS 7 ke beberapa pasaran antarabangsa, termasuk pengembangan terbaharu ke Trinidad dan Tobago. Perkembangan ini mengukuhkan lagi potensi model tersebut di peringkat global, melangkaui pasaran Malaysia.
Pencapaian pada bulan Jun menyerlahkan reputasi e.MAS 7 sebagai pilihan praktikal dan berbaloi untuk pemanduan harian. Dengan mengekalkan harga yang konsisten bagi kedua-dua varian e.MAS 7, Proton telah mengukuhkan nilai jangka panjang model ini serta meningkatkan keyakinan pelanggan.

“Kami sangat berterima kasih atas sokongan luar biasa daripada rakyat Malaysia terhadap e.MAS 7,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET. “Sejak dari awal, kami tetapkan harga yang berpatutan kerana kami mahu pastikan e.MAS 7 memberikan nilai tambah kepada pengguna. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan, dan ia membolehkan kami berkembang secara konsisten setiap bulan. Fokus utama kami bukan semata-mata pada jualan melalui diskaun besar-besaran, tetapi lebih kepada membina kepercayaan dan menawarkan nilai yang berpanjangan kepada pelanggan kami.
Bersama-sama Ke Arah Masa Depan Sifar Karbon
Sebelum e.MAS 7 diperkenalkan kepada orang ramai, Proton telah memberi komitmen sepenuhnya dengan melaburkan sumber yang besar untuk memastikan kenderaan ini benar-benar menepati keperluan pemandu Malaysia. Usaha ini juga seiring dengan aspirasi negara untuk mencapai matlamat sifar pelepasan karbon menjelang tahun 2050. Sepanjang program ini dibangunkan, lebih 700,000 jam kerja teknikal telah dilaksanakan bersama lebih 100,000 kilometer ujian pemanduan di jalan raya sebenar bagi memastikan e.MAS 7 mampu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca, corak pemanduan, dan permukaan jalan di Malaysia.
PRO-NET mula membangunkan rangkaian pengedarnya untuk kenderaan elektrik (EV) seawal Januari 2024, hampir setahun sebelum pelancaran rasmi e.MAS 7 ke pasaran. Setiap daripada 35 pengedar menerima pelaburan melebihi RM2 juta bagi menyediakan kemudahan lengkap, peralatan khusus serta ruang servis yang direka khas untuk kenderaan elektrik. Inisiatif ini turut merangkumi pemasangan infrastruktur pengecasan pantas DC di lokasi terpilih, demi memastikan pengalaman pemilikan EV yang lancar bagi pelanggan. Secara kolektif, usaha ini telah mewujudkan lebih 700 peluang pekerjaan di seluruh negara, sekali gus mencerminkan komitmen Proton dalam menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan dan pembangunan bakat dalam industri automotif masa depan.
PRO-NET terus memberikan sokongan yang strategik kepada rakan pengedar melalui bantuan pelancaran pusat pengedaran, insentif pelaburan, serta program penghargaan yang dirangka khas untuk menggalakkan kecemerlangan dalam memastikan pelanggan menerima perkhidmatan yang terbaik.

Menyokong Usaha Mobiliti Lestari di Seluruh Negara
Pada masa yang sama, PRO-NET turut memperluas kerjasama dengan pengendali stesen pengecasan di seluruh negara. Melalui kerjasama ini, Peta Pengecasan Bersepadu (Live Integrated Charging Map) kini merangkumi lebih 3,300 titik pengecasan, sekali gus memudahkan akses pengguna kepada kemudahan pengecasan yang lebih menyeluruh. Ketika ini, lebih 1,100 kemudahan pengecasan tersedia di 390 kediaman bertingkat. Asas kepada perkembangan ini bermula sejak tahun 2022 menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman antara PRO-NET dan Gentari. Sejak itu, PRO-NET telah membina rangkaian kerjasama bersama sepuluh pengendali utama termasuk Charge+, ChargeSini, RExharge, Charge N Go, JomCharge, chargEV, DC Handal, Carput Zap dan Shell Recharge.
PRO-NET terus menunjukkan komitmen dalam membina ekosistem kenderaan elektrik yang lengkap demi memastikan setiap pemilik menikmati pengalaman yang lancar dan menyeluruh. Usaha ini turut menyumbang kepada pertumbuhan tenaga kerja di pelbagai bahagian dari ibu pejabat hinggalah ke operasi pengedar dan bahagian teknikal. Bermula sebagai sebuah pasukan kecil pada tahun 2022, PRO-NET kini telah berkembang menjadi organisasi yang tersusun dengan pasukan khusus dalam bidang jualan, pemasaran, pembangunan produk dan infrastruktur pengecasan. Asas yang kukuh ini menjadi pemacu utama kepada kejayaan berterusan e.MAS 7 dan mengukuhkan kedudukan PRO-NET sebagai peneraju dalam agenda mobiliti lestari negara.

Tukar Beli dan Naik Taraf ke e.MAS 7
Bagi menggalakkan lagi penggunaan kenderaan elektrik, PRO-NET telah memperkenalkan program Power Exchange. Menerusi inisiatif ini, pelanggan yang menukar beli kenderaan lama mereka layak menerima rebat bernilai RM5,000, sekali gus memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia merasai pengalaman memandu kereta elektrik. Sebarang jenis kenderaan, tanpa mengira jenama atau usia, boleh ditukar beli di bawah program ini, tertakluk kepada pemeriksaan dan kelulusan pihak berkuasa yang berkenaan.





















Komen