Proton e.MAS 7 Mula Separuh Tahun Kedua 2025 Sebagai Model EV Terlaris di Malaysia
- Anna Chong

- 14 Ogo
- 2 min membaca

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat PROTON, hari ini mengumumkan bahawa Proton e.MAS 7 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai Model EV Nombor 1 di Malaysia selama tujuh bulan berturut-turut, dengan mencatatkan jualan dan tempahan kukuh sepanjang tahun pelancarannya.
Sehingga 31 Julai 2025, sebanyak 4,959 unit Proton e.MAS 7 telah diserahkan, merangkumi 4,689 unit di Malaysia dan 270 unit dieksport ke pasaran antarabangsa. Bulan Julai turut mencatatkan pencapaian baharu dengan 1,365 tempahan, iaitu angka bulanan tertinggi sejak pelancaran model ini, sekali gus mengukuhkan lagi populariti berterusan e.MAS 7 dalam kalangan pembeli EV.
“Sejak hari pertama, matlamat kami adalah untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia sebuah EV yang memberikan keselesaan luar biasa, prestasi seimbang dan ciri-ciri canggih pada harga yang berpatutan,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET. “Permintaan berterusan yang kami lihat hari ini adalah hasil daripada komitmen tersebut. Kami amat berterima kasih kepada para pelanggan kerana menaruh kepercayaan kepada PROTON dan jenama e.MAS, serta menjadikan e.MAS 7 sebagai pilihan nombor satu mereka.”

Memenuhi Keperluan Pelanggan daripada Pelbagai Lapisan Masyarakat
Proton e.MAS 7 menarik minat pelbagai lapisan masyarakat. Varian Prime mewakili 14% daripada jumlah penghantaran, digemari oleh pemandu bandar kerana kemudahan penggunaan dan keselesaan pemanduan, manakala varian Premium merangkumi 86% daripada penghantaran. Bagi kedua-dua varian, pelanggan secara konsisten menyatakan nilai berbaloi, keluasan ruang, ciri keselamatan, keselesaan pemanduan, kawalan pengendalian, serta teknologi inovatif sebagai sebab utama mereka memilih e.MAS 7.
Platinum Silver kekal sebagai pilihan warna paling popular, mewakili 25% daripada semua tempahan. Bagi memenuhi permintaan pasaran, PROTON baru-baru ini memperkenalkan warna luaran Obsidian Black yang elegan, bersama unit terhad Turquoise Green dan Quartz Rose yang dipadankan dengan rekaan dalaman premium Alabaster White bagi memberikan sentuhan personalisasi tambahan.
Gaya Pemanduan dan Kemudahan Pengecasan
Kajian terkini oleh PRO-NET mendapati kebanyakan pemandu di Malaysia memandu antara 21 km hingga 40 km setiap hari. Ini bermakna, dengan pemanduan yang biasa, pemilik e.MAS 7 lazimnya hanya perlu mengecas sekali sahaja dalam seminggu.
Akses pengecasan turut dipermudahkan melalui rangkaian integrasi pengecasan yang menawarkan lebih 3,400 titik pengecasan di seluruh Malaysia, merangkumi lebih 90% kawasan negara. Ini termasuk lebih 1,100 titik pengecasan di 930 bangunan kediaman bertingkat tinggi di seluruh negara.
e.MAS 7 disokong oleh ekosistem selepas jualan yang kukuh dengan 29 pusat servis, 10 pusat badan dan cat, serta 35 pengedar di seluruh negara, memastikan setiap pemilik menerima sokongan yang menyeluruh.

Nikmati Bonus Tukar Beli dengan Program Power Exchange
PRO-NET terus menggalakkan peralihan kepada mobiliti elektrik melalui program Power Exchange. Pelanggan yang menukar beli kenderaan mereka, tanpa mengira jenama atau usia, layak menerima bonus tukar beli sebanyak RM5,000 selain daripada nilai tukar beli yang dinilai, tertakluk kepada pemeriksaan dan kelulusan pihak yang berkaitan.
Inisiatif ini direka untuk menjadikan pemilikan EV lebih mudah dan lancar sekali gus membantu lebih ramai rakyat Malaysia menikmati manfaat pemanduan sifar karbon.
Pandu Uji e.MAS 7 Hari Ini
Untuk merasai sendiri pengalaman memandu Proton e.MAS 7, pelanggan boleh mengunjungi bilik pameran Proton e.MAS yang berdekatan atau menempah pandu uji melalui laman web Proton e.MAS.





















Komen