Proton Memperkenalkan Saga Serba Baharu Kepada Media Sebelum Pelancaran Rasmi
- Anna Chong

- 3 Nov 2025
- 3 min membaca

PROTON hari ini mengadakan pra-tonton eksklusif kepada media untuk Saga Serba Baharu, menandakan detik penting dalam evolusi syarikat. Selepas terjalinnya kerjasama antara DRB HICOM dan Geely pada September 2017, model ini merupakan yang pertama dalam sejarah PROTON dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan – meliputi reka bentuk, kejuruteraan dan pengesahan – dengan sokongan teknikal daripada Geely. Ia menjadi bukti kukuh terhadap kemampuan dan kematangan kejuruteraan PROTON yang semakin berdikari.
Dibina atas platform baharu Advanced Modular Architecture (AMA), Saga Serba Baharu menawarkan asas yang fleksibel, berskala dan bersedia untuk masa depan bagi memenuhi piawaian antarabangsa dari segi keselamatan, prestasi dan emisi. Seni bina elektronik termaju ini membolehkan integrasi lancar sistem pintar generasi baharu, membuka laluan kepada teknologi sambungan pintar dan pemanduan autonomi dalam model akan datang.

Dengan pemilikan sepenuhnya Hak Harta Intelek (IPR), platform AMA memperkukuh lagi keupayaan kejuruteraan PROTON serta membuka peluang kerjasama baharu dalam ekosistem kumpulan Geely. Ini sekali gus berpotensi meletakkan Malaysia sebagai hab kejuruteraan serantau bagi pembangunan model masa depan.
Mengusung tagline “Intelligence That Thrills”, Saga Serba Baharu menggabungkan gaya, kepintaran dan keyakinan pemanduan sekaligus mencerminkan aspirasi PROTON untuk menampilkan kecemerlangan automotif Malaysia di pentas global. Dengan 35 ciri baharu, model ini menetapkan penanda aras baharu dalam segmen sedan A tempatan, menawarkan tahap keselamatan, teknologi pintar dan kehalusan pemanduan yang unggul.

“Saga Serba Baharu ini mewakili lebih daripada fasa seterusnya dalam legasi sedan kita,” kata Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar. “Ia ialah kemuncak pembangunan selama bertahun-tahun oleh jurutera dan pereka Malaysia, disokong oleh kerjasama global. Detik ini menandakan transformasi PROTON daripada pengeluar kereta nasional kepada inovator automotif global yang dibangunkan oleh bakat tempatan.”
Intipati I.C.O.N. – Saga Serba Baharu Diolah Semula
I – Impressive Performance
Dikuasakan oleh enjin baharu i-GT 1.5-liter bersama Transmisi Variabel Berterusan (CVT), Saga Serba Baharu menawarkan pemanduan yang lancar, efisien dan meyakinkan dengan penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km (MDC). Sistem Stereng Berkuasa Elektrik (EPS) yang baharu meningkatkan kelincahan, manakala kawalan dan pengendalian PROTON yang terkenal mengekalkan keseimbangan sempurna antara keselesaan dan kawalan.

C – Comprehensive Safety
Dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 1, Saga Serba Baharu menawarkan sembilan fungsi keselamatan pintar iaitu Brek Kecemasan Berautonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Bantuan Menukar Lorong (LCA), Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA), Kawalan Lampu Suluhan Tinggi Pintar (IHBC) dan Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak (FDA). Sistem ADAS ini berfungsi bersama enam beg udara dan disokong oleh PROTON Reinforced Safety Structure (RESS) dengan komponen Hot Press Forming (HPF), memastikan tahap kekakuan dan perlindungan terbaik dalam kelasnya.
O – Optimised Intelligence
Dwi-skrin bersepadu 16-inci menggabungkan paparan meter digital dan sistem infotainmen dalam satu reka bentuk, kini menyokong Apple CarPlay® dan Android Auto™ tanpa wayar. Ciri kemudahan harian turut dipertingkat dengan fungsi pintar seperti lampu utama automatik, pencahayaan Follow-Me-Home, dan pelarasan aras lampu utama.

N – Next-Gen Style
Menampilkan Lampu Utama Projektor LED Penuh dengan Lampu Siang, Bar Lampu Belakang LED Penuh, serta ruang dalaman moden, Saga Serba Baharu menyerlah dengan gril hadapan bermotifkan Sulaman Songket dan rim aloi dua tona 15-inci – gabungan gaya kontemporari dengan identiti unik PROTON.
“Model ini menunjukkan sejauh mana PROTON telah melangkah ke hadapan bermula daripada pengeluar kereta nasional kepada jenama global berwawasan,” tambah Zhang. “Ia merupakan kereta yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia, dan kini bersedia untuk mempamerkan keupayaan kejuruteraan negara ke seluruh dunia.”
Menjelang pelancaran rasminya, PROTON akan melancarkan kempen promosi nasional yang menampilkan kolaborasi media, kandungan digital dan acara siaran langsung untuk memperkenalkan kisah di sebalik sedan ikonik Malaysia yang kini dilahirkan semula.




















Komen