Proton Perkukuh Sokongan Selepas Jualan Bagi Kenderaan Tamat Waranti
- Anna Chong

- 2 hari lalu
- 2 min membaca
Updated: 20 jam lalu

PROTON melancarkan kempen servis peringkat kebangsaan yang berlangsung dari 30 Mac hingga 30 Jun 2026, bertujuan menggalakkan pemilik kembali ke pusat servis bertauliah bagi menjalankan penyelenggaraan berkala, khususnya bagi kenderaan yang telah lama tidak diservis. Kempen ini terbuka kepada kenderaan PROTON yang didaftarkan antara Januari 2018 hingga Januari 2021 dan tidak mempunyai rekod servis melebihi 12 bulan.
Melalui kempen ini, pemilik boleh menikmati pakej servis asas yang merangkumi penukaran minyak enjin, penapis minyak, kos upah serta pemeriksaan keselamatan percuma 40 titik yang meliputi komponen utama seperti sistem brek, tayar dan keadaan bateri.
Harga pakej bermula serendah RM120 bagi model Persona, Iriz, Exora dan Saga menggunakan minyak enjin separa sintetik, manakala model siri X ditawarkan pakej servis bermula dari RM216.
Meningkatkan Pengalaman Perkhidmatan Selepas Jualan untuk Pemilik PROTON
Dengan rangkaian 190 pusat servis bertauliah dan 77 pusat Body & Paint di seluruh negara, PROTON terus memperluas akses kepada sokongan selepas jualan yang boleh dipercayai untuk pelanggan. Rangkaian ini disokong oleh juruteknik dan penasihat servis yang terlatih secara profesional serta pusat alat ganti yang ditempatkan secara strategik bagi memastikan akses lebih pantas kepada alat ganti tulen.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh kualiti perkhidmatan, PROTON turut memperkenalkan inisiatif baharu tahun ini iaitu Service Experience QR (SEQR), yang membolehkan pelanggan berkongsi maklum balas mengenai pengalaman servis mereka melalui borang digital ringkas yang tersedia di pusat servis seluruh negara. Maklum balas ini memberi input penting bagi menyokong penambahbaikan berterusan dalam kualiti perkhidmatan.
Pusat servis PROTON juga menawarkan beberapa inisiatif sedia ada yang direka untuk menjadikan penyelenggaraan kenderaan lebih cekap dan mudah. Ini termasuk perkhidmatan Fast Service yang membolehkan servis asas disiapkan dalam tempoh 90 minit dari pendaftaran kenderaan hingga penyerahan kunci, serta ProCare Smart Plan (PSP) yang menawarkan pakej penyelenggaraan dengan pilihan bayaran yang fleksibel.
Selain itu, PROTON turut menyediakan perkhidmatan Body & Paint yang komprehensif bersama Proton Insurance Programme (PIP) bagi menyokong keperluan pembaikan kemalangan dan insurans. Pelanggan juga boleh mendapatkan bantuan tepi jalan 24 jam melalui talian bantuan PROTON di 1-800-888-8398, yang sedia membantu pada bila-bila masa dan di mana sahaja.




















Komen