Raikan Hari Raya Bersama Proton e.MAS PIONEER, Perkukuh Semangat Komuniti EV!
- Anna Chong

- 16 Apr
- 3 min membaca

Dengan penuh rasa muhibah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat pembuat kereta nasional PROTON, telah mengalu-alukan kehadiran para pemilik Proton e.MAS 7 ke Rumah Terbuka Hari Raya yang eksklusif. Sambutan ini berlangsung di PROTON Centre of Excellence pada 12 April 2025, menggabungkan tradisi dan teknologi dengan penuh makna. Sebagai perjumpaan kali kedua untuk para pemilik e.MAS 7 tahun ini, majlis ini menjadi peluang istimewa untuk beramah mesra dalam suasana perayaan, berkongsi kisah, serta membincangkan masa depan mobiliti lestari secara bersama.
Bertemakan semangat Syawal dan perjalanan ke arah elektrifikasi, rumah terbuka ini mengumpulkan pemilik Proton e.MAS 7 dari seluruh negara dalam mewujudkan suasana yang meriah untuk terus berhubung, berkongsi pengalaman, dan menghargai sumbangan mereka terhadap pembangunan kenderaan EV negara. Lebih 200 tetamu hadir bagi menyemarakkan majlis dengan suasana yang penuh meriah dan mesra.

Sambutan yang Penuh Makna
Di sebalik kemeriahan sambutan Hari Raya, acara ini turut menjadi platform perbincangan terbuka antara pemilik, wakil PRO-NET dan pakar teknologi. Para tetamu diberi peluang untuk berkongsi maklum balas mengenai produk, ekosistem, serta ciri-ciri yang diharapkan pada kemas kini akan datang untuk memastikan Proton e.MAS 7 terus berkembang seiring dengan keperluan pengguna.
“Sambutan ini bukan sekadar satu sambutan perayaan, malah ia adalah simbolik tentang penghargaan dan penyatuan,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET. “Proton e.MAS 7 tidak mungkin mencapai kedudukan Nombor 1 tanpa sokongan daripada pemilik e.MAS 7 ini. Anda semua adalah nadi kepada komuniti yang semakin berkembang ini. Ketika kami terus membina ekosistem Proton e.MAS bersama-sama, kehadiran dan maklum balas anda memberi semangat untuk kami terus melakukan yang lebih baik setiap hari.”

Mendengar, Menambah Baik, dan Terus Berkembang
Sambutan ini turut memberi pelanggan gambaran lebih dekat tentang pelan Over-The-Air (OTA) PRO-NET untuk Proton e.MAS 7, termasuk kemas kini dan penambahbaikan ciri-ciri yang akan datang. Antaranya ialah kawalan pengecasan yang lebih mudah melalui skrin sentuh dan aplikasi mudah alih, keselesaan pemanduan yang dipertingkatkan melalui penalaan ABS, serta penambahbaikan pada fungsi pra-pemanasan bateri dan kemas kini lokasi semasa kenderaan berada dalam mod pegun. Satu lagi ciri baharu membolehkan perjalanan berjadual menjadi lebih lancar dengan fungsi buka kunci automatik sebaik sahaja bateri selesai dicas.
Pelanggan turut didedahkan dengan tip penjagaan bateri yang penting bagi kedua-dua jenis bateri LFP dan NMC, bagi membantu mereka memanjangkan jangka hayat dan prestasi bateri. PRO-NET juga menekankan perkembangan ekosistem EV yang semakin meluas, dengan lebih 2,300 poin pengecasan awam kini tersedia di seluruh negara—meliputi 90% kawasan di Malaysia.
Pandangan dari pemilik e.MAS 7 sepanjang sambutan Rumah Terbuka Hari Raya “Saya sangat bangga melihat PROTON melangkah ke arah kenderaan elektrik. Bagi saya, memilih e.MAS 7 adalah satu keputusan yang mudah, ia kerana jenama nasional yang saya percayai, dan dengan rangkaian pengedar di seluruh negara, membuatkan saya rasa lebih yakin dan tenang,” kongsi Encik Azwan, pemilik e.MAS 7 dari Perak.
Seorang lagi tetamu, En Amin menambah, “e.MAS 7 benar-benar mengubah cara saya memandu harian. Prestasinya, teknologi, dan kos servis yang rendah, itulah yang dikatakan pengalaman yang lancar. Tapi yang paling penting, Proton sendiri sudi dengar suara kami secara terus.”

Mengeratkan Komuniti, Menuju Masa Depan
Dengan lebih 1,853 unit telah diserahkan pada Suku Pertama 2025 dan pegangan pasaran (YTD) mencecah 26%, Proton e.MAS 7 kekal sebagai EV paling laris di Malaysia. Sambutan seperti ini bukan sahaja meraikan pencapaian, tetapi juga memperkukuh keyakinan pelanggan dan ikatan dalam komuniti EV.





















Komen