Toyota Eco Youth 2025 Tawar Ganjaran RM167,000 Perkasa Pemangkin Perubahan Generasi Muda
- Panduman

- 25 Mac
- 3 min membaca
Updated: 13 Apr

UMW Toyota Motor (UMWT), dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (MOE) mengumumkan pembukaan rasmi pendaftaran bagi Toyota Eco Youth (TEY) 2025. Inisiatif ini menggalakkan pelajar sekolah menengah di seluruh negara untuk membangunkan solusi isu-isu alam sekitar yang inovatif dan mampan.
Memasuki edisi ke-24, TEY 2025 berazam mencipta impak lebih besar dengan menggandakan jumlah penyertaan sekolah serta menaikkan jumlah dana kepada RM167,000. Langkah ini bukan sahaja membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda, malah memberi dorongan kepada mereka untuk menjadi pelopor perubahan demi masa depan yang lebih hijau dan mampan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2001, TEY telah memberi manfaat kepada hampir 600 sekolah dan lebih 300,000 pelajar di seluruh Malaysia, membimbing mereka membangunkan kemahiran kritikal untuk menjadi pemimpin perubahan dalam komuniti. Dengan pengaruhnya yang semakin meluas, Toyota tidak hanya membimbing para peserta sepanjang tempoh pertandingan, malah terus menyokong mereka dengan memberi bimbingan mendalam, pendedahan kepada industri, serta peluang untuk menerapkan pembelajaran mereka dalam menangani cabaran alam sekitar yang sebenar. Melalui usaha berterusan ini, TEY terus menjadi platform unggul dalam melahirkan generasi muda yang cakna dan proaktif terhadap kelestarian alam.

Sokongan Padu, Impak lebih Besar
Buat julung kalinya, sebanyak 30 sekolah akan mengambil bahagian dalam TEY—meningkat dua kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya. Setiap sekolah yang terpilih bakal menerima geran berjumlah RM3,000, menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM90,000 bagi merealisasikan projek kelestarian mereka.
Selain dana projek, pelajar juga berpeluang merebut hadiah wang tunai RM77,000 dalam pelbagai kategori:
Juara: RM 30,000
Naib Juara: RM 20,000
Tempat Ketiga: RM 10,000
Pemenang Sub-Kategori (RM5,000 setiap satu):
Kempen Media Sosial Terbaik
Pembentangan Terbaik
Pameran Terbaik
Guru Penasihat Terbaik: RM2,000

Memacu Impak Dunia Sebenar menerusi Kaedah Pembelajaran Praktikal
Sejak beberapa tahun lalu, peserta TEY telah membuktikan bahawa idea inovatif bukan sekadar impian, tetapi mampu diterjemahkan menjadi projek nyata yang memberi kesan mendalam kepada masyarakat. Di Kuala Bikam, sekumpulan pelajar telah mencipta sistem yang bukan sahaja mengurangkan sisa pertanian tetapi juga memperbaiki aspek pelupusan sampah tempatan, sekali gus meningkatkan tahap Kesihatan komuniti dan kelestarian alam sekitar di kawasan mereka.
Sementara itu, di Pulau Pinang, satu lagi kumpulan mengambil inisiatif berani dalam menangani pencemaran laut dengan mereka bentuk dan melaksanakan program pembersihan berasaskan komuniti, yang akhirnya membantu memulihkan ekosistem marin. Tidak ketinggalan di Sarawak, para pelajar memperkenalkan amalan pertanian lestari kepada penduduk kampung, mengurangkan kebergantungan terhadap bahan kimia berbahaya serta memacu usaha ke arah pemuliharaan alam sekitar jangka panjang.
Di sebalik kejayaan TEY, terselit satu pendekatan unik yang menjadi tunjang utama program ini—Metodologi Penyelesaian Masalah 8 Langkah (PSM) Toyota. Kaedah ini bukan sahaja membekalkan pelajar dengan kemahiran penyelesaian masalah secara sistematik, tetapi juga melatih mereka mengenal pasti isu alam sekitar dengan lebih mendalam, memahami punca utama sesuatu permasalahan, dan seterusnya merangka penyelesaian yang praktikal serta lestari.
Melalui kaedah ini, para peserta telah berjaya menangani pelbagai cabaran seperti pengurusan sisa, pemuliharaan air, serta penggunaan tenaga boleh diperbaharui, sekali gus mencipta perubahan bermakna yang terus berkekalan dalam komuniti mereka.
"Toyota Eco Youth bukan sekadar meningkatkan kesedaran terhadap isu alam sekitar—ia adalah tentang tindakan yang diambil. Dengan menggandakan jumlah penyertaan sekolah dan menyalurkan dana yang lebih besar, kami menawarkan lebih banyak peluang kepada pelajar untuk merangka penyelesaian inovatif yang mampu menggerakkan Malaysia ke arah masa depan yang lebih lestari. Kami teruja untuk menyaksikan bagaimana peserta tahun ini akan mencipta perubahan dan menginspirasi masyarakat dengan idea-idea mereka," kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.

Komitmen UMWT Ke Arah Masa Depan yang Lebih Lestari
Sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR), TEY mencerminkan dedikasi UMW Toyota Motor terhadap kelestarian alam sekitar. Inisiatif ini selari dengan Pelan Tindakan Alam Sekitar Toyota, yang menetapkan matlamat jangka panjang untuk mencapai sifar pelepasan CO₂ menjelang tahun 2050.
Menerusi TEY, para peserta bukan sahaja diberi peluang untuk menangani cabaran alam sekitar masa kini, malah dipersiapkan dengan ilmu dan kemahiran untuk memimpin perubahan ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan.
Pendaftaran TEY 2025 kini dibuka! Sekolah-sekolah yang berminat untuk mejadi sebahagian daripada pengalaman transformatif ini perlu mendaftar sebelum 3 April 2025. Majlis pelancaran rasmi, bengkel, dan upacara pembukaan akan berlangsung dari 28 April hingga 30 April 2025.
Jangan lepaskan peluang ini! Sertai TEY 2025 dan jadilah sebahagian daripada generasi perintis yang bakal menerajui perubahan alam sekitar di Malaysia!
Daftar sekarang: https://bit.ly/TEY2025_RegisterNow




















Komen