15,000 Peserta Meriahkan Larian Bersarong dengan Irama dan Gaya — Malaysia Sarong Music Run (MSMR) Sempena Hari Malaysia 2025
- Anna Chong

- 2 Okt
- 2 min membaca

Malaysia Sarong Music Run (MSMR) yang dianjurkan Malaysia Marathon Official Sdn Bhd (Malaysia Marathon) terbukti mampu merangsang industri pelancongan negara dengan kehadiran peserta bukan sahaja dari Malaysia malah dari 26 buah negara. MSMR edisi ketiga itu yang dikenali sebagai MSMR Sempena Sambutan Hari Malaysia 2025 berjaya merekodkan 15,000 peserta yang menyertai pelbagai acara larian yang dianjurkan dan diunjurkan seramai 30,000 pengunjung membanjiri acara berkenaan.
MSMR Sempena Hari Malaysia 2025 yang diadakan pada hari ini di hadapan Menara Berkembar PETRONAS dipacukan oleh JETOUR Malaysia sebagai ‘Penaja Utama’ dan ‘Rakan Kereta Rasmi’. Acara ikonik itu turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). MSMR kini dikenali sebagai sebuah festival inklusif yang menggabungkan elemen gaya hidup sihat, busana tradisional, makanan, muzik dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia.

Majlis MSMR Sempena Hari Malaysia 2025 disempurnakan oleh Menteri MOTAC, Dato Sri Tiong King Siong bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato’ Seri TPr. (Dr.) Maimunah Mohd Sahrif. Presiden Malaysia Marathon merangkap Pengasas MSMR, Eddy Casmady berkata, MSMR kini berkembang sebagai acara masyarakat antarabangsa dengan penyertaan peserta dari dalam dan luar negara. “Meskipun baru tahun pertama MSMR diperkenalkan dengan tiga edisi, kami amat berbangga kerana ia bukan sekadar acara larian, malah kini diangkat sebagai festival masyarakat antarabangsa yang mempromosikan budaya dan warisan negara,” katanya.MSMR Sempena Hari Malaysia 2025 menawarkan tiga acara utama:
• EKI JETOUR X BSC - perlumbaan berganti menggunakan sarong sebagai selempang yang berlangsung pada 9 September 2025.
• Perlumbaan 5KM (5K Malaysia Speed) - terbuka kepada rakyat Malaysia sahaja - menonjolkan bakat pelari rekreasi dan elit Malaysia. Berlangsung pada 20 September 2025.
• Kategori 5KM Fun Run - terbuka kepada semua, termasuk pelancong antarabangsa. Berlangsung pada 20 September 2025.

Acara ini turut menjadi platform pelancongan inklusif bertaraf antarabangsa yang seiring dengan usaha MOTAC mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), sekali gus mengangkat MSMR sebagai ikon budaya dan gaya hidup Malaysia di mata dunia.
Eddy menambah, penggunaan sarong sebagai elemen utama di dalam di dalam acara itu turut mempromosikan kebersamaan antara generasi di dalam masyarakat, terutama membabitkan ahli keluarga yang menyertai acara larian bersama.

“Kita turut boleh melihat lautan manusia mengangkat satu elemen yang sama iaitu sarong, sebuah busana tradisi yang tidak asing di Malaysia di dalam MSMR Sempena Hari Malaysia 2025. Sekali gus, mencerminkan nilai kebersamaan dalam kalangan peserta,” ujarnya.
MSMR kali pertama diperkenalkan pada Februari lalu diadakan di Kuala Lumpur dengan 11,000 jumlah peserta. Kemudian edisi kedua, MSMR Edisi Sarawak diadakan di Matang, Kuching di Sarawak yang menarik lebih 5,500 peserta dan dibanjiri 20,000 orang pengunjung.





















Komen