top of page

Kia Meningkatkan Keyakinan Pelanggan MenerusiKia Ownership Experience

  • Writer: Anna Chong
    Anna Chong
  • 2 hari lalu
  • 4 min membaca

Kia Sales Malaysia
Pengalaman Pemilikan Kia yang pertama seumpamanya akan diadakan di pusat 3S utama Kia Glenmarie yang baru dilantik di Lembah Klang dari 11-17 Mei.

Kia Sales Malaysia (KSM) memperkukuhkan komitmennya terhadap pengalaman pemilikan yang lebih berfokuskan pelanggan menerusi program Kia Ownership Experience yang diadakan dari 11 hingga 17 Mei 2026 di Pusat 3S Utama Kia Glenmarie di Lembah Klang.


“Melalui Kia Ownership Experience, kami berhasrat untuk membina hubungan lebih rapat bersama pelanggan di samping menyokong penambahbaikan yang boleh diukur dalam penawaran selepas jualan di seluruh rangkaian kami yang semakin berkembang,” kata Presiden dan Pegawai Eksekutif KSM, Hyung Ho Kim.


Inisiatif selama seminggu ini memberi peluang kepada pelanggan, pihak media serta komuniti Kia untuk melihat dengan lebih dekat usaha berterusan KSM dalam memperkukuhkan operasi selepas jualan, piawaian perkhidmatan dan penjagaan pelanggan jangka panjang untuk memberikan pengalaman pemilikan yang terbaik kepada semua pelanggan di Malaysia. 


Kia Sales Malaysia
Inisiatif pertama Kia Sales Malaysia yang berfokuskan pemilikan ini menyentuh inti pati komitmen jenama untuk Mengembalikan, Membina Semula dan Menetapkan Semula Kia di Malaysia, bermula dengan perjalanan pelanggan. (Dari kiri) Kia Sales Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif, Hyung Ho Kim; Kia Sales Malaysia, Pengarah Urusan, Emily Lek; Pasukan Operasi Pemilikan Kia, Pengurus Teknikal Kanan, Hyung Gyu Choi (H.G. Choi)

Berpandukan tiga keutamaan utama — Return, Rebuild, and Reposition — KSM kekal komited dalam memperkukuhkan keyakinan pelanggan menerusi pertumbuhan mampan, inovasi serta pengalaman pemilikan yang lebih baik secara menyeluruh.


Sebagai sebahagian daripada komitmen ini, program ini turut menjadi platform penting buat KSM untuk kembali berhubung dengan pemilik sedia ada, memahami keperluan pelanggan Malaysia yang sentiasa berkembang, serta meningkatkan pengetahuan teknikal dalam rangkaian pengedar tempatan.


Beberapa kenderaan yang mengambil bahagian telah mencatat jarak pemanduan melebihi 400,000 km, mencerminkan ketahanan jangka panjang kenderaan Kia dalam pemilikan dan penggunaan sebenar di Malaysia.


Pengarah Urusan Kia Sales Malaysia, Emily Lek berkata, “Fokus pemilikan kami di Kia Sales Malaysia adalah untuk memperkukuh operasi pengedar, menawarkan nilai terbaik dari segi kos pemilikan, serta memastikan bekalan alat ganti yang mencukupi menerusi gudang alat ganti khusus kami seluas hampir 35,000 kaki persegi bagi meningkatkan kecekapan servis dan mempercepatkan tempoh penyelesaian.


“Selain itu, proses servis 10 langkah kami mencerminkan komitmen terhadap kecemerlangan servis —daripada tempahan janji temu dan konsultasi peribadi, sehinggalah penghantaran kenderaan dan susulan pelanggan— ia diwujudkan bagi meningkatkan keyakinan serta memberi ketenangan fikiran kepada pelanggan sepanjang pengalaman pemilikan mereka,” tambah beliau. 


Kia Sales Malaysia
Encik H.G. Choi akan memeriksa sendiri lebih 100 kenderaan Kia, bagi membantu pemilik memahami kenderaan mereka dengan lebih baik sambil menangani sebarang kebimbangan penyelenggaraan dan pertanyaan teknikal.

Kia Ownership Experience – Rasai Pengalaman Pemilikan Sebenar Kia

Kia Ownership Experience turut menampilkan demonstrasi teknikal yang diketuai oleh Hyung Gyu Choi (H.G. Choi), Pengurus Kanan Teknikal bagi pasukan Operasi Pemilikan Kia, yang menyertai Kia sejak 1993 dan memiliki pengalaman tahap global dalam perkhidmatan selepas jualan serta teknikal melebihi 34 tahun.


Sepanjang program selama satu minggu ini, Choi bersama pasukan teknikal KSM akan memeriksa secara peribadi lebih 100 kenderaan Kia termasuk Forte, Cerato, Optima, Picanto, Sorento, Grand Carnival, Sportage dan Sephia, bagi membantu pemilik memahami keadaan kenderaan mereka dengan lebih baik di samping menangani isu penyelenggaraan dan pertanyaan teknikal tertentu. Pelanggan yang mengambil bahagian dan mempunyai janji temu yang disahkan dalam Kia Ownership Experience turut menerima minyak enjin percuma, pengelap cermin hadapan Kia serta cucian kereta selepas pemeriksaan dilakukan.


Rakan utama Kia Ownership Experience, TotalEnergies, membawa bersama warisan kejuruteraan melebihi satu abad yang merangkumi mobiliti harian, kejuruteraan berprestasi tinggi serta sukan permotoran bertaraf dunia. Program ini turut disokong oleh rakan industri seperti Goodyear, TRAPO dan EV Connection (EVC). Sepanjang program berlangsung, pelanggan dan pengunjung juga boleh menikmati promosi eksklusif, tawaran istimewa, pameran produk serta hadiah daripada rakan industri yang mengambil bahagian, sekali gus menambah nilai dan kemeriahan kepada pengalaman sepanjang minggu tersebut.


Kia Sales Malaysia

Pemilik Kia, keluarga dan orang ramai dijemput menyertai Kia Ownership Experience dari 15 hingga 17 Mei 2026 bagi menikmati program Family Day yang menampilkan aktiviti berkaitan servis, sesi perkongsian teknikal mengenai kaedah terbaik penyelenggaraan kenderaan, jamuan ringan, aktiviti kanak-kanak, promosi eksklusif serta peluang melihat dengan lebih dekat produk dan servis terkini Kia—di mana pemilik sedia ada juga boleh menikmati rebat menerusi program Kia Circle Loyalty tanpa perlu menukar beli kenderaan Kia mereka yang sedia ada.


Kia Maintenance Plan – ‘Inspired Movement’ Bermula dengan Keyakinan

Program ini turut memperkenalkan beberapa inisiatif berfokuskan pelanggan termasuk pelancaran Kia Maintenance Plan yang direka untuk memberi kemudahan lebih baik, kos servis yang lebih terancang serta ketenangan minda untuk jangka panjang kepada pemilik.


Inisiatif ini membolehkan pelanggan memiliki kos servis yang tetap sepanjang tempoh perlindungan tanpa dipengaruhi oleh kenaikan harga buruh, alat ganti atau minyak enjin pada masa hadapan.


Kia Sales Malaysia
KSM telah memperkenalkan Pelan Penyelenggaraan Kia untuk Carnival dan Sportage baharu, yang membolehkan pelanggan membuat prabayar sehingga 5 tahun penyelenggaraan bagi memberikan ketenangan fikiran dan keyakinan pemilikan jangka panjang.

Kia Maintenance Plan merangkumi perkara berikut:

  • Penukaran minyak enjin sintetik penuh dan penapis minyak

  • Penukaran penapis kabin

  • Penukaran penapis udara enjin

  • Penukaran cecair brek

  • Penukaran palam pencucuh

  • Pemeriksaan kenderaan pelbagai titik secara menyeluruh


Kia Maintenance Plan kini ditawarkan untuk varian terpilih Kia Sportage dan Kia Carnival. Bagi Kia Sportage, varian 1.6T ditawarkan pada harga RM2,980 untuk tempoh lima tahun atau 50,000km berdasarkan sela servis satu tahun atau 10,000km, manakala varian 2.0 ditawarkan pada harga RM3,680 untuk tempoh lima tahun atau 75,000km berdasarkan sela servis satu tahun atau 15,000km.


Sementara itu, semua varian Kia Carnival 2.2D — termasuk 7-tempat duduk, 8-tempat duduk dan 11-tempat duduk — ditawarkan pada harga RM3,580 untuk tempoh lima tahun atau 50,000km berdasarkan sela servis satu tahun atau 10,000km.


Kia Glenmarie Baharu – Membawa Pengalaman Pelanggan ke Tahap Seterusnya

Kia Ownership Experience berlangsung di Pusat 3S Utama Kia Glenmarie yang bakal dikendalikan oleh kumpulan pengedar baharu, Cycle & Carriage, sekali gus memperkukuh lagi rangkaian pengedar dan perkhidmatan selepas jualan Kia di Lembah Klang. Dengan keluasan binaan 39,240 kaki persegi, fasiliti utama ini direka untuk memberikan pengalaman pelanggan premium dengan kapasiti mempamerkan sehingga lapan kenderaan dalam satu masa.


Pusat ini juga dilengkapi fasiliti selepas jualan terkini termasuk 20 ruang servis operasi yang disokong sistem diagnostik terkini yang diluluskan pengeluar, peralatan penyelenggaraan khusus dan kelengkapan teknikal bagi memastikan piawaian kualiti servis tertinggi dan penjagaan pelanggan.






Komen


KERETA TERKINI

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

PP-Icon-Light-Blue-Rounded-1200px.png
Pandu Pandu ialah platform automotif & gaya hidup yang lebih daripada sekadar info kereta dan acara automotif.
PP-Tagline.png
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • Youtube

Maklumat di laman ini disediakan untuk tujuan maklumat dan umum sahaja. Pandu Pandu tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang timbul daripada penggunaan kandungan ini. Lihat Penafian Penuh untuk maklumat lanjut.

© 2026 Pandu Pandu, Spacerae Sdn. Bhd. 202001029234 (1385554-M). All rights reserved.

bottom of page