PROTON Catat Prestasi Jualan Separuh Pertama Terbaik dalam Tempoh 15 Tahun
- Anna Chong

- 10 Jul
- 4 min membaca

PROTON mencatat prestasi jualan separuh pertama terbaik dalam tempoh 15 tahun selepas berjaya melepasi angka 100,000 unit bagi enam bulan pertama tahun 2026, sekali gus membuktikan momentum kukuh syarikat dalam segmen kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) serta kenderaan tenaga baharu (NEV). Sebanyak 16,052 unit telah diserahkan kepada pelanggan pada Jun lalu, menjadikan jumlah jualan keseluruhan Kumpulan bagi tempoh Januari hingga Jun meningkat kepada 100,346 unit, iaitu pertumbuhan 39.1% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pencapaian itu merupakan prestasi jualan separuh pertama terbaik PROTON sejak tahun 2011 serta meletakkan syarikat berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 200,000 unit jualan bagi tahun 2026.
Kejayaan tersebut turut mencerminkan permintaan pengguna yang terus kukuh terhadap barisan model PROTON yang diperbaharui, selain pertumbuhan pesat jenama kenderaan tenaga baharunya, Proton e.MAS, yang kini muncul sebagai penyumbang penting kepada prestasi keseluruhan syarikat.

Model ICE terus menjadi tunjang pertumbuhan PROTON
Walaupun industri automotif negara semakin beralih ke arah elektrifikasi, model-model ICE PROTON terus menjadi pemacu utama jualan dengan beberapa model mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam segmen masing masing.
Proton Saga kekal sebagai model paling laris syarikat apabila mencatat 7,000 unit jualan pada Jun, sekali gus meningkatkan jumlah jualan tahun ke tarikh (YTD) kepada 44,375 unit, meningkat 40% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Proton S70 pula terus mengukuhkan kedudukannya sebagai sedan segmen-C paling laris di Malaysia apabila mencatat tambahan 2,307 unit jualan pada Jun. Ini menjadikan jumlah jualan YTD meningkat kepada 12,832 unit, atau 37.3% lebih tinggi berbanding tahun 2025.
Dalam segmen SUV, Proton X50 terus mengekalkan status sebagai SUV segmen-B dan SUV paling laris di Malaysia dengan 2,378 unit diserahkan pada Jun, menjadikan jumlah jualan YTD mencecah 15,345 unit, meningkat 35.1%. Sementara itu, Proton X90 yang diperbaharui terus menguasai pasaran SUV tujuh tempat duduk segmen-D selepas mencatat 388 unit jualan pada Jun, sekali gus meletakkan prestasinya 50% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Kejayaan melepasi angka 100,000 unit jualan sebelum pertengahan tahun merupakan satu pencapaian penting buat PROTON dan mencerminkan keyakinan berterusan rakyat Malaysia terhadap produk serta jenama kami," kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato' Ir. Abdul Rashid Musa.
"Apa yang lebih membanggakan ialah pertumbuhan ini disokong secara menyeluruh oleh keseluruhan portfolio produk kami. Permintaan terhadap model-model ICE kekal kukuh, manakala Proton e.MAS terus berkembang pesat. Ini membuktikan keupayaan PROTON memenuhi keperluan pelanggan di setiap peringkat perjalanan mobiliti mereka dan memberi keyakinan kepada kami untuk mencapai sasaran jualan 200,000 unit tahun ini."

Proton e.MAS terus pacu pertumbuhan segmen NEV
Selain kejayaan model-model ICE, strategi PROTON dalam segmen kenderaan tenaga baharu turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan. Sepanjang enam bulan pertama 2026, sebanyak 17,920 unit Proton e.MAS berjaya diserahkan kepada pelanggan, mewakili peningkatan luar biasa sebanyak 321% berbanding tempoh sama tahun lalu sekali gus mengukuhkan kedudukan Proton e.MAS sebagai jenama kenderaan tenaga baharu paling laris di Malaysia.
Proton e.MAS 5, yang kini dipasang secara tempatan, terus mendominasi pasaran kenderaan elektrik (EV) negara dengan 1,436 unit diserahkan pada Jun, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat kepada 10,793 unit. Model Proton e.MAS 7, yang turut dipasang di kilang pemasangan NEV PROTON di Tanjung Malim, pula mencatat tambahan 659 unit jualan pada Jun untuk meningkatkan jumlah keseluruhan kepada 3,053 unit.
Sementara itu, Proton e.MAS 7 PHEV terus mengukuhkan kedudukannya sebagai model hibrid plug-in (PHEV) paling popular di Malaysia. Dilancarkan pada 4 Februari lalu, model tersebut mencatat bulan ketiga berturut-turut dengan jualan melebihi 1,000 unit, apabila 1,138 unit diserahkan kepada pelanggan pada Jun. Jumlah jualan YTD kini mencecah 4,074 unit.
"Sambutan pengguna terhadap Proton e.MAS terus melebihi jangkaan kami apabila semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada mobiliti elektrik," kata Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang. "Gabungan kos pemilikan yang kompetitif, pembangunan rangkaian pengecasan yang semakin meluas serta pertambahan rangkaian pengedar terus menarik pelanggan baharu kepada jenama Proton e.MAS. Kami akan terus memperkukuh portfolio produk dan pengalaman pelanggan bagi memastikan Proton e.MAS kekal sebagai jenama kenderaan tenaga baharu pilihan rakyat Malaysia."

PROTON optimis kekalkan momentum pada separuh kedua 2026
Selepas mencatat prestasi separuh pertama terbaik dalam tempoh 15 tahun, PROTON memasuki separuh kedua tahun ini dengan momentum positif merentasi kedua-dua segmen kenderaan konvensional dan elektrifikasi.
Syarikat akan terus meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi mengurangkan tempoh menunggu pelanggan, di samping memperkukuh pengalaman pelanggan menerusi penambahbaikan rangkaian pengedar serta penyertaan dalam pelbagai inisiatif nasional yang bertujuan mempercepatkan penggantian kenderaan lama dan menggalakkan pemilikan kenderaan baharu.
Susulan pratonton teknologi generasi baharu dan model-model akan datang semasa KLIMS 2026, PROTON kini bersedia memperkenalkan lebih banyak produk baharu dalam tempoh beberapa bulan akan datang sebagai sebahagian daripada usaha mencapai sasaran 200,000 unit jualan bagi tahun 2026.




















Komen