Proton Kini Terima Tempahan Untuk Saga Serba Baharu
- Anna Chong

- 17 Nov 2025
- 3 min membaca

PROTON mengumumkan bahawa tempahan untuk Saga Serba Baharu kini dibuka secara rasmi, menandakan satu detik penting dalam evolusi sedan ikonik Malaysia.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1985, Saga telah berkembang seiring dengan rakyat Malaysia — menjadi simbol kemajuan nasional yang sebenar. Saga Serba Baharu kini membuka lembaran baharu dengan reka bentuk pintar, prestasi dipertingkat, dan ketersambungan canggih — hasil kejuruteraan oleh bakat tempatan di bawah keupayaan R&D PROTON yang semakin berkembang.
Dibangunkan di atas Platform Advanced Modular Architecture (AMA) yang baharu, Saga Serba Baharu merupakan model pertama yang direka bentuk, dibangunkan dan disahkan sepenuhnya di Malaysia dengan kerjasama teknikal daripada Geely, selaras dengan perkongsian strategik yang terjalin sejak tahun 2018. Pencapaian ini menonjolkan keupayaan berdikari PROTON dalam pembangunan produk, pemilikan penuh Hak Harta Intelek (IPR), serta kesiapsiagaan untuk teknologi pintar dan autonomi masa depan.
Dengan slogan baharu “Intelligence That Thrills”, Saga Serba Baharu menggabungkan gaya, keyakinan dan inovasi — menetapkan penanda aras baharu dalam aspek keselamatan, ketersambungan dan keselesaan dalam segmen sedan A Malaysia.
“Saga Serba Baharu menyerlahkan kematangan kejuruteraan Malaysia — mengubah PROTON daripada simbol kebanggaan negara kepada pesaing automotif global,” kata Dato' Ir. Abdul Rashid bin Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.

Legasi Diilham Semula. Masa Depan Direka Semula.
Mengambil inspirasi daripada falsafah I.C.O.N. yang diperkenalkan semasa pra-tonton, Saga Serba Baharu menambah baik setiap elemen bagi mempertingkat pengalaman pemanduan harian dengan prestasi, keselamatan dan gaya yang lebih pintar.
I – Impressive Performance
Dikuasakan oleh enjin i-GT 1.5 baharu dengan Transmisi Variabel Berterusan (CVT), Saga Serba Baharu menawarkan pemanduan yang lancar dan efisien dengan penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km (MDC). Sistem Stereng Berkuasa Elektrik (EPS) baharu meningkatkan kecekapan kawalan, manakala talaan pemanduan dan pengendalian PROTON memastikan keselesaan serta kestabilan yang unggul.
C – Comprehensive Safety
Dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) dengan sembilan fungsi keselamatan pintar, enam beg udara, serta PROTON Reinforced Safety Structure (RESS) dengan komponen Hot Press Forming (HPF), Saga Serba Baharu menawarkan perlindungan dan keyakinan pemanduan yang cemerlang.
O – Optimised Intelligence
Dwi-skrin bersepadu 16-inci menggabungkan paparan meter digital dan sistem infotainmen dalam satu reka bentuk, kini menyokong Apple CarPlay® dan Android Auto™ tanpa wayar. Ciri kemudahan harian turut dipertingkat dengan fungsi pintar seperti lampu utama automatik, pencahayaan Follow-Me-Home, dan pelarasan aras lampu utama.
N – Next-Gen Style
Dengan Lampu Utama Projektor LED Penuh, Bar Lampu Belakang LED penuh, serta reka bentuk kabin yang diperbaharui, Saga Serba Baharu menampilkan gabungan kemodenan dan identiti tempatan — diserlahkan oleh Gril Hadapan bermotif ‘Sulaman Songket’ dan rim aloi dua tona 15 inci.
Dicipta untuk Rakyat Malaysia, Sedia untuk Dunia.
Sebagai kereta rakyat yang terus berkembang seiring dengan negara, Saga Serba Baharu menggabungkan teknologi pintar, kejuruteraan halus dan pemilikan mampu milik bagi memperkukuh komitmen PROTON untuk menjadikan mobiliti maju dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Sebagai model yang diangkat oleh rakyat Malaysia sendiri, setiap pemilik baharu menjadi sebahagian daripada kisah legasi ini untuk meneruskan perjalanan sebuah kereta nasional yang terus menggerakkan negara ke hadapan.
Ditawarkan dalam tiga varian – Standard, Executive dan Premium, Saga Serba Baharu hadir dengan lima warna menarik: Marine Blue, Space Grey, Ruby Red, Armour Silver dan Snow White – mencerminkan gaya moden serta kebanggaan nasional abadi, dengan harga anggaran bermula daripada RM40,000 hingga RM50,000.

Tawaran Eksklusif untuk Tempahan Awal!
Tempahan kini dibuka di semua wakil pengedar sah PROTON di seluruh negara, dengan ganjaran tempahan eksklusif untuk pelanggan yang membuat tempahan sebelum pelancaran rasmi. Pelanggan yang membuat tempahan bagi Saga Serba Baharu dari 10 November 2025 hingga tarikh pelancaran rasmi, dan melengkapkan pendaftaran kenderaan sebelum 31 Disember 2025, akan menjadi antara 20,000 pembeli terawal yang layak menikmati tawaran eksklusif tempahan awal berikut:
Servis Percuma 1 Tahun atau 20,000 KM, yang mana terdahulu (termasuk upah dan alat ganti servis)
Kad Touch ‘n Go Edisi Terhad Saga Serba Baharu
*Tertakluk kepada terma dan syarat
IKONIK TOGETHER-GATHER – Jadikan Langkah Anda Seterusnya Ikonik
Bagi meningkatkan keterujaan menjelang pelancaran rasmi, PROTON akan mengadakan IKONIK TOGETHER-GATHER di seluruh negara — satu aktiviti pra-pelancaran yang meraikan Saga Serba Baharu melalui kecintaan rakyat Malaysia terhadap makanan, gaya hidup dan komuniti.
Bermula dari 14 hingga 23 November 2025, jelajah ini akan menjelajah ke pelbagai lokasi utama di seluruh negara. Dengan gabungan cita rasa tempatan, pengalaman budaya dan penglibatan pempengaruh tempatan, IKONIK TOGETHER-GATHER bertujuan untuk mendekatkan Saga Serba Baharu dengan kehidupan seharian rakyat Malaysia — mencerminkan bagaimana sedan paling ikonik negara ini terus berkembang bersama rakyatnya.




















Komen