Proton Skills Challenge 2026 Menobatkan Bakat Terbaik Selepas Jualan Negara
- Anna Chong

- 20 Jul
- 3 min membaca

PROTON terus mengukuhkan komitmennya dalam membangunkan tenaga kerja automotif berkemahiran tinggi menerusi PROTON Skills Challenge 2026, sebuah pertandingan di peringkat kebangsaan yang meraikan kecemerlangan teknikal di samping memperkukuh komitmen syarikat dalam memberikan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik kepada pelanggan.

Berlangsung di Centre for Instructor and Advanced Skill Training (CIAST), pertandingan tahun ini menghimpunkan 34 finalis daripada rangkaian pengedar PROTON di seluruh negara yang bertanding dalam lima kategori utama selepas jualan iaitu Juruteknik (Technician), Penasihat Servis (Service Advisor), Eksekutif Perhubungan Pelanggan (Customer Relations Executive – CRE/CRA), Penyelaras Kerja (Job Controller) dan Pembantu Alat Ganti (Parts Assistant). Kesemua finalis berjaya melayakkan diri selepas melalui pusingan kelayakan peringkat wilayah yang melibatkan 390 peserta dari seluruh Malaysia.

Lebih daripada sekadar sebuah pertandingan, PROTON Skills Challenge berfungsi sebagai platform untuk menanda aras kompetensi industri, mengiktiraf bakat cemerlang serta memupuk budaya pembelajaran berterusan dalam rangkaian selepas jualan syarikat. Ia turut mencerminkan pelaburan jangka panjang PROTON dalam pembangunan modal insan bagi memastikan tenaga kerjanya sentiasa dilengkapi dengan pengetahuan teknikal terkini serta keupayaan perkhidmatan pelanggan yang memenuhi keperluan pengguna kenderaan yang sentiasa berkembang.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Datuk Aminar Rashid Salleh, Pengerusi MARii, yang menekankan kepentingan kerjasama erat antara industri dan kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja automotif berkemahiran tinggi bagi menyokong agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara. Beliau turut memuji inisiatif seperti PROTON Skills Challenge yang menyediakan platform bernilai untuk meningkatkan kompetensi industri, melahirkan bakat bersedia masa hadapan serta memperkukuh daya saing sektor automotif Malaysia.

Turut hadir ialah wakil daripada Malaysia Productivity Corporation (MPC) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), yang mencerminkan kerjasama berterusan antara PROTON, agensi kerajaan dan pemain industri dalam memperkukuh ekosistem pembangunan bakat automotif negara menerusi TVET.
Para peserta dinilai melalui tugasan praktikal berasaskan situasi sebenar yang mencerminkan operasi harian di pusat servis PROTON, bagi memastikan kepakaran teknikal, keupayaan menyelesaikan masalah serta kemahiran mengendalikan pelanggan memenuhi piawaian industri dan jangkaan pelanggan.
Selain mengiktiraf kecemerlangan individu, PROTON Skills Challenge turut menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan rangkaian pengedar PROTON di samping mempromosikan penambahbaikan berterusan dalam kualiti perkhidmatan. Program ini memberi peluang kepada para peserta untuk meningkatkan kompetensi teknikal, berkongsi amalan terbaik serta mempertingkatkan standard perkhidmatan selepas jualan di seluruh rangkaian PROTON.
Seiring dengan perkembangan industri automotive yang semakin dipacu teknologi kenderaan moden, keperluan terhadap tenaga kerja yang mahir dan bersedia menghadapi masa hadapan semakin penting. Menerusi program latihan berstruktur, laluan pensijilan serta pertandingan berasaskan kemahiran seperti PROTON Skills Challenge, syarikat terus melabur dalam pembangunan bakat yang kompeten bagi memastikan pelanggan menerima perkhidmatan berkualiti tinggi secara konsisten sepanjang pengalaman pemilikan kenderaan mereka.
PROTON Skills Challenge: Membina Bakat Automotif Bersedia Masa Hadapan
Ketika Malaysia memperhebat usaha menjadikan TVET sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi menerusi Dasar TVET Negara, PROTON terus memainkan peranan aktif dalam membangunkan bakat yang memenuhi keperluan industri melalui kerjasama erat dengan agensi kerajaan, institusi latihan kemahiran serta rakan industri. Melalui latihan berstruktur, pensijilan berasaskan kompetensi, peluang perantisan serta program peningkatan kemahiran secara berterusan, syarikat membantu melahirkan tenaga kerja bersedia masa hadapan yang memiliki kepakaran dalam Perkhidmatan Teknikal (Technical Service) serta kecemerlangan Perkhidmatan Pelanggan (Customer Service) bagi memenuhi keperluan industri automotif yang semakin dipacu teknologi.
Selain meningkatkan kompetensi tenaga kerja, PROTON Skills Challenge turut melengkapkan ekosistem TVET negara dengan merapatkan jurang antara pembelajaran di bilik darjah dan keperluan sebenar industri. Program ini menyediakan laluan yang jelas kepada profesional automotif untuk terus meningkatkan kemahiran mereka, sekali gus mengukuhkan kedudukan PROTON sebagai majikan pilihan serta rakan strategik industri yang komited dalam membangunkan bakat tempatan dan menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab automotif serantau.
“Masa depan industri automotif bergantung kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersedia mengadaptasi teknologi baharu serta memenuhi jangkaan pelanggan yang sentiasa berubah. Menerusi PROTON Skills Challenge, kami bukan sahaja mengiktiraf bakat cemerlang, malah memperkukuh komitmen kami dalam membangunkan profesional Perkhidmatan Teknikal dan Perkhidmatan Pelanggan yang kompeten selaras dengan aspirasi TVET Kerajaan. Inisiatif ini mencerminkan pelaburan berterusan PROTON terhadap pembangunan modal insan, sekali gus memastikan pelanggan menerima standard perkhidmatan tertinggi di seluruh rangkaian kami di seluruh negara,” kata Dato’ Ir Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar Sdn Bhd.
Pertandingan ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan PROTON untuk meningkatkan kepuasan pelanggan, mempertingkatkan standard perkhidmatan selepas jualan serta membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memberikan pengalaman pemilikan kenderaan yang luar biasa kepada setiap pelanggan PROTON.


































Komen