Saga Serba Baharu Catat 10,000 Tempahan – Satu Setiap 43 Saat Selepas Pengumuman Harga Anggaran!
- Anna Chong

- 19 Nov
- 3 min membaca

Rakyat Malaysia sekali lagi membuktikan sokongan padu mereka terhadap kereta paling ikonik negara apabila Saga Serba Baharu mencatat 10,000 tempahan hanya dalam tempoh lima hari sejak harga anggaran diumumkan dan tempahan dibuka pada 10 November.
Permintaan luar biasa ini bersamaan 2,000 tempahan sehari, 83 setiap jam, atau satu tempahan baharu setiap 43 saat — menggambarkan keyakinan berterusan rakyat Malaysia terhadap evolusi terbaharu sedan kesayangan mereka daripada PROTON, yang menggabungkan Impressive Performance, Comprehensive Safety, Optimised Intelligence, dan Next-Gen Styling – menjadikannya kereta dengan nilai terbaik dalam kelasnya.
“Saga Serba Baharu bukan sekadar sebuah kereta; ia adalah simbol kemajuan negara yang diolah semula untuk generasi baharu. Pencapaian 10,000 tempahan hanya dalam lima hari amat kami hargai dan memberi inspirasi kepada kami, dan kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas kepercayaan dan sokongan mereka,” kata Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.
“Bagi memastikan pelanggan dapat merasai pengalaman memandu Saga Serba Baharu secepat mungkin, pasukan pengeluaran kami di Tanjong Malim telah bekerja keras untuk meningkatkan kapasiti bekalan, dengan penyerahan kereta kepada pelanggan dijadualkan bermula sebaik sahaja pelancaran rasmi diadakan,” tambah beliau.

Ciri Generasi Baharu, Nilai Tiada Tandingan
Dibangunkan di atas Advanced Modular Architecture (AMA) baharu, Saga Serba Baharu mewakili langkah seterusnya dalam rekaan, kejuruteraan dan pengesahan yang dipacu oleh kepakaran tempatan, disokong oleh keupayaan R&D PROTON yang semakin kukuh. Dengan pemilikan penuh terhadap harta intelek serta hala tuju baharu dalam mobiliti pintar, Saga Serba Baharu menyerlahkan sejauh mana kejuruteraan automotif Malaysia telah berkembang – daripada simbol kebanggaan negara kepada pencabar di peringkat global. Dikuasakan enjin i-GT 1.5L serba baharu yang dipadankan dengan Transmisi Bervariasi Berterusan (CVT) yang lancar dan jimat bahan api, Saga Serba Baharu meneruskan tradisi PROTON dalam menawarkan prestasi halus untuk pemanduan harian. Ciri keselamatan turut dipertingkat dengan sembilan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) dan enam beg udara, bagi memastikan perlindungan menyeluruh dan keyakinan memandu yang lebih tinggi. Di bahagian dalaman, Paparan Skrin Berkembar Bersepadu 16-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar menonjolkan komitmen PROTON terhadap mobiliti pintar dan terhubung. Melengkapkan keseluruhan pengalaman ialah rekaan diperbaharui yang menggabungkan identiti abadi Saga dengan sentuhan moden, diserikan perincian berinspirasi Sulaman Songket yang meraikan kekayaan warisan budaya Malaysia.

Walaupun menerima pelbagai penambahbaikan besar, Saga Serba Baharu kekal menepati apa yang paling disukai rakyat Malaysia – nilai hebat untuk wang. Dengan julat harga indikatif antara RM40,000 hingga RM50,000, ia menawarkan prestasi, teknologi dan keselamatan pada titik harga ini, sekali gus menjadikannya mampu dimiliki ramai.

IKONIK TOGETHER-GATHER Bawa Saga Serba Baharu Lebih Dekat Dengan Rakyat
Bagi meraikan sambutan hangat ini, Saga Serba Baharu dibawa lebih dekat kepada orang ramai melalui IKONIK TOGETHER-GATHER di lokasi tumpuan makanan popular. Selepas singgahan poertama di Tapak Urban Street Dining, KLCC dan Tebing, Bandar Dato’ Onn, Johor pada 15 hingga 16 November 2025, IKONIK TOGETHER-GATHER akan diteruskan di Tapak Gravitas Jalan Baru, Pulau Pinang dan CarBoot Sale Taman Kerang, Kuantan dari 21 sehingga 23 November. Ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melihat dengan lebih dekat Saga Serba Baharu sebelum pelancaran rasminya.
Menggabungkan elemen makanan, muzik, gaya hidup dan pengalaman komuniti, IKONIK TOGETHER GATHER mencerminkan bagaimana Saga terus berkembang seiring mereka yang menjadikannya sebuah ikon, dengan pelbagai aktiviti menarik, sesi interaksi secara langsung dan hadiah hebat untuk dinikmati semua.

Tempah Sekarang untuk Nikmati Tawaran Awal Eksklusif!
Dengan 10,000 tempahan telah pun diterima, hanya 10,000 pelanggan lagi layak untuk menikmati tawaran eksklusif tempahan awal. Tawaran ini sah untuk tempahan yang dibuat sehingga hari pelancaran rasmi dan dengan pendaftaran kenderaan lengkap selewat-lewatnya pada 31 Disember 2025.
Dengan unit sedia untuk dihantar sejurus selepas pelancaran, pelanggan digalakkan membuat tempahan awal bagi menikmati tawaran masa terhad berikut:
Servis Percuma 1 Tahun atau 20,000 KM, yang mana terdahulu (termasuk caj buruh dan alat ganti servis)
Kad Touch ‘n Go Edisi Terhad Saga Serba Baharu
*Tertakluk kepada terma dan syarat
Saga Serba Baharu dengan bangganya membawa semangat sebuah negara – dicipta oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia, dan bersedia mengorak langkah ke pentas global. Dengan 10,000 tempahan dalam tempoh hanya lima hari, jelas bahawa bab baharu Saga ini terus menginspirasikan hubungan, kebanggaan dan keyakinan dalam kalangan pemandu di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut atau untuk membuat tempahan bagi sedan paling ikonik di Malaysia ini, sila kunjungi mana-mana wakil jualan PROTON yang sah di seluruh negara. Jangan lupa untuk mengikuti Proton Cars Official di semua platform media sosial utama untuk perkembangan terkini, promosi menarik dan pelbagai aktiviti berkaitan Saga Serba Baharu.




















Komen